Wednesday, September 28, 2011

Mengajar Amalan Baik vs Mengajar Amalan Jahat

Rasulullah pernah berpesan kepada kita untuk menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Amalan yang baik ini jika disampaikan kepada seseorang itu amatlah besar ganjaran yang bakal diterima daripada Allah swt. Tambahan pula jika orang itu terus mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Maka pahala yang diterima oleh si pengajar akan berterusan. Begitulah sebaliknya, jika kita mengajar orang berbuat jahat dan kemungkaran, maka selagi mana orang itu melaksanakannya maka dosa merupakan ganjaran ke atas kita.


Rasulullah bersabda, ‘Barangsiapa membuat kelakuan (amalan) maka diamalkannya dan diajarkannya(orang lain) dengan kebaikan itu baginya pahala, seperti orang yang mengamalkan dari amalan yang dia beramal dengannya tidak mengurangi dari pahala mereka (yang mengamalkannya) sedikitpun. Dan barang siapa membuat kelakuan yang jahat (tidak baik) maka beramal dengannya dan mengajarkan orang lain (diberatkan atasnya) dosa dan dosa barangsiapa yang mengamalkannya dengan kelakuan tidak baik itu tidak mengurangi dari dosa (orang lain yang beramal) tersebut sedikit pun.’ [Hadith Ibnu Majah] 

Maka jelas di sini bahawasanya setiap ajaran yang kita sampaikan sama ada baik atau pun jahat pasti akan mendapat balasan samada berbentuk pahala atau pun dosa yang berpanjangan. Oleh yang demikian, perbanyakkanlah mengajak orang lain melakukan amal yang soleh supaya kita akan memperoleh pahala daripada Allah swt. Sebaliknya jika kita pernah membimbing orang melakukan kejahatan, maka perbetulkanlah ia supaya amalan yang jahat itu terhenti di situ dan kita tidak akan berterusan mendapat dosa yang pastinya akan membawa kepada kemurkaan Allah. Bimbinglah kembali mereka itu ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun kecuali atas dosa mensyirikkanNya.

Monday, September 26, 2011

Gay Ancaman Fitrah Kehidupan Manusia

Entry kali ni aku kutip daripada laman web rasmi IKIM sebagai renungan dan mutiara hati di pagi yang indah ini. Marilah sama-sama kita hayati dan fikirkan isu yang sedang melanda masyarakat kini.

===================

Isu tentang seorang paderi gay berasal dari Malaysia ingin membuat satu resepsi perkahwinan sejenis di tanahair setelah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan beliau di New York, Amerika Syarikat menjadi bualan khalayak ramai. Apa yang menarik resepsi perkahwinan sejenis ini ingin dilakukan dalam negara Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan aliran agama, budaya yang menolak gay apatah lagi perkahwinan sejenis. Walaupun perkara ini melibatkan seorang yang bukan Muslim tetapi kegairahannya untuk menonjolkan kehidupan gay beliau secara terang-terangan dalam kehidupan masyarakat perlu dipandang serius oleh kita sebagai umat Islam. Ini kerana penerimaan secara terbuka pengikutnya di Malaysia sudah tentu memberi kesan secara langsung atau tidak kepada umat Islam di tanahair. Dengan pelbagai hujah seperti kerana kasih sayang, keadilan, toleransi, hak asasi manusia yang ditafsir secara melencong, golongan ini boleh mempengaruhi ramai di kalangan umat Islam yang boleh bersimpati, bahkan terjebak ke dalam gejala negatif ini serta bangga dengan perlakuan mereka.


Kita perlu memahami bahawa kehidupan dan perkahwinan gay sendiri merupakan satu aliran minoriti di Barat dan bukan menjadi dokongan masyarakat majoriti mereka. Bahkan dalam tahun 1988 Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton telah menandatangani satu Akta Perlindungan Perkahwinan yang mentakrifkan perkahwinan di sisi undang-undang ialah ikatan yang sah di antara lelaki dan wanita sebagai suami dan isteri. Di negara Amerika Syarikat iaitu sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang mengandungi 50 buah negeri, hanya sepuluh buah negeri sahaja yang tidak menghalang perkahwinan sejenis berbanding negeri-negeri baki yang lain.

Di Malaysia, perundangan negara telah jelas termaktub bahawa hubungan gay atau homoseks adalah satu kesalahan samada di sisi perundangan sivil atau pun syariah. Dalam perundangan sivil kesalahan ini adalah mengikut Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii melalui dubur. Hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. Dalam perundangan syariah seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25 liwat iaitu mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Dalam aspek melangsungkan perkahwinan bagi bukan Islam di Malaysia, mereka tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Sebarang perkahwinan yang diupacarakan tetapi tidak mengikut di bawah akta ini adalah satu perkahwinan yang tidak sah. Perlu dimaklumi bahawa upacara perkahwinan yang disebut di bawah akta ini ialah upacara perkahwinan yang sah mengikut undang-undang, agama, adat atau kelaziman masyarakat. Jadi perkahwinan sejenis bukan daripada norma dan adat masyarakat Malaysia.

Bagi umat Islam, ulama telah mendefinisikan perkahwinan dengan jelas. Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud berkumpul, bercampur atau bercantum. Pada maksud syarak pula ialah akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan kelamin di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Umat Islam yang ingin berkahwin perlu mengikut undang-undang Syariah dan bukan Undang-undang Sivil. Undang-undang Syariah diperjelaskan dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri.

Perkahwinan dalam Islam merupakan satu institusi yang memenuhi keperluan fitrah manusia. Berkahwin merupakan satu Sunnah. Nabi SAW sendiri bersabda "Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan daripada golonganku". (Riwayat Ibnu Majah).

Tujuan asas perkahwinan mengikut syariah ialah untuk menghalalkan perhubungan kelamin di antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga bertujuan untuk menghasilkan zuriat manusia demi meramaikan umat. Sabda Nabi SAW "Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat". (Riwayat al-Baihaqi).

Jika kita lihat kepada proses penambahan umat manusia, tidak dapat tidak ia memerlukan percantuman sperma lelaki dan wanita. Maka perkahwinan sejenis golongan gay terang-terangan telah menolak fitrah kejadian manusia dengan menghalang proses kesinambungan zuriat manusia.

Apabila kita melihat kepada Syariah Islam itu sendiri, amalan gay atau homoseks sudah pun berlaku khasnya pada zaman nabi Luth a.s. Ia merupakan perkara haram dan suatu yang dikeji. Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab daripada Allah (yang Engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Luth berdoa dengan berkata:"Wahai Tuhanku! tolonglah akan daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)!" (Al-Ankabut: 29-30).

Umat nabi Luth a.s. yang mendatangi kaum lelaki sejenis akhirnya ditimpa bala bencana yang amat dahsyat akibat perbuatan mereka.

Oleh itu usaha yang boleh menonjolkan gay di negara kita atas sebarang alasan atau yang dicetuskan oleh golongan yang mengaku sebagai cendiakawan sekalipun maka masyarakat perlu menongkah aliran ini secara bersungguh-sungguh kerana sistem gay yang songsang itu bukan daripada budaya dan sistem nilai hidup masyarakat majmuk negara kita. Bahkan gay melanggar hukum Syarak yang memelihara fitrah kejadian manusia.

Saturday, September 24, 2011

Alim Kucing

Simpulan bahasa ini sering kita dengar dan sering meniti bibir umat
Melayu. Sejak di bangku persekolahan lagi aku telah mempelajarinya.
Aku ada sebuah buku Himpunan Simpulan Bahasa yang sering menjadi
rujukan ketika itu. Mulanya aku tertanya-tanya kenapa kucing itu
dikatakan alim? Kemudian suatu hari barulah aku tahu jawapannya.
Ketika itu emakku sedang membersihkan ikan di dapur. Kucingku hanya
memerhatikan saja dengan matanya yang kuyu. Sebaik emakku berpaling,
dengan pantas kucing itu mencuri sisa ikan yang telah disiang.
Nah....baru aku tahu jawapanya.


Sebenarnya entry kali ni bukan nak bercerita tentang kucing. Tapi aku
nak bercerita tentang sisi gelap kehidupan seorang insan yang pada
mata kasar kelihatan sempurna, namun disebaliknya tidak. Aku nak
merujuk kembali entry sebelum ini tentang kondom yang dijumpai di
dalam beg sekolah remaja perempuan di Hulu Selangor. Bagaimana
terbongkar kegiatan seksnya dengan teman lelaki. Inilah apa yang aku
maksudkan dengan sisi gelap kehidupannya. Mungkin pada zahirnya dia
kelihatan amat baik di hadapan ibu bapanya. Namun sebaliknya terjadi
kegiatan yang amat dahsyat.

Setakat coretan ini dibuat, aku masih lagi bujang. Cuma aku ingin
menyelami perasaan kedua ibu bapa remaja terbabit jika kita berada di
tempat mereka. Perasaan seorang ibu yang mengandungkannya selama
sembilan bulan. Perasaan seorang ayah yang membanting tulang mencari
rezeki untuk menyara keluarga. Ya Allah, aku tak dapat gambarkan
betapa luluhnya hati mereka di saat mengetahuinya. Sekarang bukan
masa untuk menuding jari menyalahkan ibu bapa yang kurang memberi
didikan agama atau pun menyalahkan pihak lain. Sebaliknya individu
tersebutlah yang akan menentukan setiap keputusan yang dibuatnya. Di
samping persekitaran yang akan mempengaruhi keputusan tersebut. Kita
biasa mendengar orang berkata, kalau berkawan dengan tukang besi,
bahang dan busuk tentu akan dirasai. Kalau berkawan dengan penjual
minyak wangi, tentu haruman itu akan melekat jua.

Ada orang yang lahir dari keluarga yang alim, diberikan didikan agama
yang secukupnya samada secara formal atau tidak, dibesarkan dengan roh
jemaah Islamiah, menghafal al-Quran, menjadi pimpinan masyarakat,
menganggotai gerakan dakwah di kalangan NGO atau pun parti politik dan
pelbagai lagi aktiviti harian yang baik dan banyak lagi untuk
disenaraikan. Pendek kata orang baik dan alimlah. Namun, di sisi
gelap kehidupannya dia tewas. Apa yang akan terjadi jika ianya
diketahui masyarakat? Pengikutnya? Rakannya? Keluarganya? Paling
penting kedua ibu bapanya? Yang pasti Allah sememangnya tahu.

Kumpulan Nasyid Raihan pernah berpesan, iman tak dapat diwarisi
mahupun dijual beli. Kisah murtadnya Aisyah Bukhari masih segar dalam
ingatan umat Islam negara ini. Beliau berpendidikan agama, menghafal
surah Yasin dan Sajadah, didedahkan dengan gerakan Islam ketika di
kampus. Namun ketika ayahnya sedang mengimamkan solat tarawih, dia
dimurtadkan. Begitulah jadinya dengan anak isteri nabi Nuh yang
mengingkari perintah Allah dan akhirnya lemas ditenggelam air.

Persoalan yang harus kita fikirkan ialah sanggupkan kita melihat anak
seorang alim hanyut dalam dosa? Atau pun sanggupkah kita mencemarkan maruah keluarga disebabkan nafsu kita? Kita merancang, Allah merancang, tapi ketahuilah sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang sebaik-baiknya.

Entry aku kali ini agak panjang. Diharapkan agar kalian semua beroleh
sedikit iktibar yang boleh kita amal dan sampaikan untuk kemaslahatan
diri, keluarga dan masyarakat. Diri aku ini tidaklah lari dari
kesilapan dan diharapkan coretan ini dapat membetulkan diriku jua.
Wassalam....

--
Sent from my mobile device

Thursday, September 22, 2011

Puasa Enam: Hari Terakhir


Maha suci Allah tuhan sekalian alam. Tuhan yang menjadikan siang. Menciptakan malam dengan taburan bintang di langit. Aku dah selesai melengkapkan puasa enamku hari ini. Setelah menempuhi segala dugaan dan cabaran. Cewahh...hehe

Hari ni aku makan agak lewat iaitu pada jam 8.30 malam. Aku berbuka hanya dengan air kosong dan kuih kacang tumbuk sahaja. Lepas maghrib aku pergi membeli barangan keperluan untuk jamuan hari raya bagi tingkat 13 di tempat kerjaku. Disebabkan berstatus bujang, aku hanya membawa pinggan, mangkuk, sudu dan garfu. Majlis esok adalah berbentuk "pot luck". Lepas tu baru la aku pegi makan di warung wak mus yang terletak di depan guard post.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Seks Remaja


Kondom dalam beg sekolah anak
HULU SELANGOR: Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.
Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.
Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.
Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.  “Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.
“Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan.
Sumber: Harian Metro (22/09/2011)

Wahai remaja, anda adalah pewaris bangsa dan agama. Ketahuilah keseronokan dunia hanya sementara.  Kehidupan di akhirat kekal abadi.  Setiap yang muda pasti akan tua.  Itu adalah sunnatullah.  Cuba bayangkan jika anda berada di tempat ibu atau bapa budak tu.  Apa perasaan anda di kala menjumpai kondom dalam beg sekolah anak anda?  Tambah pula jika anda tahu bahawa anak anda telah berzina?  Siapa yang patut dipersalahkan?  Padahal ketika muda, anda sendiri pernah melakukannya.  Nauzubillah.....

Ya Allah Ya Rabbuljalil, jauhkanlah aku dari lemas dalam keseronokan dunia. Hindarilah aku, keluargaku, saudaraku serta umat Islam keseluruhannya dari leka mengingatimu, cintakan dunia, takutkan mati. Sesungguhnya aku berpesan kepada para pembaca sekalian serta diriku sendiri juga.

Wassalam.....

Wednesday, September 21, 2011

Puasa Enam: Hari Kelima


Aku dah berjaya melengkapkan puasaku untuk hari ke-5.  Alhamdulillah.  Sahur aku seperti biasa pada jam 5.15 pagi dengan menu yang sama seperti semalam iaitu roti High5 perisa blueberry.  Hahaha.... Pagi tadi cuaca cerah.  Tapi menjelang tengahari, hujan turun dengan lebatnya.  Memang amat menyejukkan. 

Menu berbuka puasa hari ni ialah agar-agar dan air kosong. Seterusnya aku beli nasi lemak berlauk ayam goreng dan sambal petai. Sambil-sambil tu tengok bola perlawanan kelayakan olimpik 2012 antara Jepun melawan Malaysia. Minit ke 10, Jepun dah mendahului satu gol. Permainan di separuh masa pertama agak hambar. Tapi pada separuh masa kedua pula sebaliknya. Kesudahannya Malaysia tewas 0-2 di tangan Jepun.

Sekian saja coretan buat kali ni. Wassalam.....

Send from my iPad

Tuesday, September 20, 2011

Puasa Enam: Hari Keempat


Hari ini bermula dengan sahurku pada jam 5.15 pagi. Aku hanya makan sebungkus roti High5 Blueberry. Sebelum ni aku tak suka makan roti keluaran Silver Bird ni. Tapi disebabkan kedai runcit tu hanya menjual roti tu, maka terpaksalah aku beli juga.

Aktiviti seharian aku hanyalah di pejabat. Semuanya seperti biasa. Oh ya, tengahari tadi bos lama aku yang kini menjadi pengurus cawangan datang ke pejabat. Dia baru balik bercuti ke Bandung. Alhamdulillah rezeki orang berpuasa agaknya, dia menghadiahkan aku sehelai t-shirt.

Selepas berbuka tadi, barulah aku bertolak balik ke rumah. Aku dan Asyraf singgah makan malam di kedai Nasi Kukus Ayam Berempah. Kali ni rasanya tidaklah sesedap dulu. Tak tahulah apa yang kurang.

Oklah, sekian saja coretanku. Wassalam....

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, September 19, 2011

Puasa Enam: Hari Ketiga

Alhamdulillah aku berjaya menyambung kembali puasa enamku yang tertangguh tempoh hari.  Minggu lepas aku hanya berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Rabu dan Khamis.  Hari Jumaat aku pulang ke kampung.  Jadi aku tak berpuasa la.  Jadi hari niaku menyambung kembali puasaku.


Aktiviti seharian di pejabat adalah seperti biasa.  Cuma banyak kerja la disebabkan awal minggu.  Pagi tadi aku ada mesyuarat pertama untuk persediaan bajet syarikat.  Bos maklumkan bahawa persidangan bajet akan diadakan pada minggu pertama bulan Disember.  Lokasi yang telah dipilih adalah di Kuantan.  Tahun lepas aku ke Langkawi.  Mungkin tahun ni bos nak kurangkan belanja kot.  Belanjawan berhemah. Hehehe....  Apa-apa pun, akan bermula la kerja yang memeningkan kepala.  Harap-harap tahun ni tak seteruk tahun lepas la.

Sekian saja, wassalam....

Saturday, September 17, 2011

Negara Kita Tak Pernah Dijajah?


Mutakhir ini kita digemparkan dengan satu polemik baharu.  Secara tiba-tiba Majlis Professor Negara (MPN) mengatakan bahawa negara kita tak pernah dijajah, hanya dinaungi.  Ketika mana Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dihentam ekoran kenyataannya yang dikatakan menyokong perjuangan Mat Indera.  Manipulasi media arus perdana seperti utusan yang tak putus-putus memutarkan berita tersebut.  Mereka mungkin berjaya mempengaruhi orang kampung.  Namun bagi golongan muda seperti aku, sudah tentu aku akan mencari kebenaran sesuatu berita terlebih dahulu sebelum mempercayainya.  

Ketika itu timbullah pula kenyataan dari MPN.  Aku jadi keliru.  Selama ini apa yang aku belajar di sekolah mengatakan bahawa kita dijajah.  Maknanya selama ini apa yang diajar oleh cikgu sejarah kat sekolah tu hanya rekaan?  Setelah kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 54, kenapa baru timbul kenyataan sebegini?  Tentu sekali cikgu sejarah di sekolah yang ikhlas mengajar anak murid mereka akan tersentak.  Tidak hairanlah kalau selepas ini para pelajar akan kurang meminati sejarah.

Ok lah, aku bawa petikan tulisan Datuk Dr Anwar Ridhwan yang merupakan sasterawan negara ke-10.
Negara yang bertamadun dan berdaulat terlebih dahulu harus bebas daripada penjajahan politik.

Mutakhir ini timbul polemik sama ada Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris, atau hanya dinaungi oleh Inggeris.

Kali ini mari kita kembali kepada pandangan pakar sejarah. Mereka ialah Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya yang telah menghasilkan buku Sejarah Malaysia (Petaling Jaya: Macmillan, 1982, 391 halaman).

amin iskandar article 291008 merdekaBarbara Watson Andaya pernah bertugas sebagai tutor kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Beliau merupakan pengarang buku berjudul Perak, the Abode of Grace: A Study of an Eighteen Century Malay State (1979), dan telah bersama-sama menterjemahkan satu edisi anotasi teks Melayu abad ke-19,Tuhfat al-Nafis (1982).

Leonard Y Andaya pula pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Buku-buku beliau termasuklah The Kingdom of Johor 1641 - 1728 (1975), dan Heritage of Arung Palaka: A History of South Sulawesi (Celebes) in the Seventeen Century (1981).

Kedua-dua mereka pernah mengajar di Universiti Malaya dan telah mengadakan Research Fellowship di Australian National University (ANU).

Berikut ialah petikan daripada buku mereka Sejarah Malaysia. Diturunkan sub bab dalam buku tersebut, bersama-sama petikannya yang relevan dengan judul tulisan ini.
Hidupnya sebuah masyarakat kolonial 1919-57
"Menjelang tahun 1919, seluruh Semenanjung Tanah Melayu tertakluk kepada satu corak penguasaan Inggeris. Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) telah berada paling lama di bawah pengaruh Inggeris, dan akibatnya berbagai-bagai institusi adalah lebih erat diselaraskan daripada institusi yang sama di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB)...

"Sebaik saja Inggeris berjaya menjadi kuasa yang agung di Semenanjung Tanah Melayu, mereka meneruskan dasar 'berbaik-baik' dengan Raja-raja Melayu dan 'campur tangan yang minimum' dengan kaum petani Melayu... Namun mereka tidak dapat mengenepikan pertimbangan utama yang telah membawa mereka ke Semenanjung: mengekalkan keamanan dan ketenteraman supaya pihak pedagang Inggeris dapat mengambil kesempatan dari kekayaan daerah itu.

"Ke arah inilah pihak Inggeris mendirikan jentera politik dan pentadbiran untuk menggemblengkan sumber-sumber negeri di Semenanjung... Semasa zaman kolonial, kebanyakan tulisan penting mengenai sejarah awal dan kebudayaan orang Melayu telah diterbitkan oleh sekumpulan sarjana-pentadbir terutama dalam Journal Malayan Branch of the Royal Asiatic Society ." (halaman 238-240).
Mengadakan rangka bagi ekonomi eksport
"Kekuasaan pemerintah kolonial baru yang hampir-hampir tidak boleh dicabar itu segera mendorong perubahan-perubahan yang dikatakan mustahak bagi memudahkan pembangunan serta membawa keuntungan yang berterusan dari ekonomi eksport.

"Mereka mencari serta mengadakan 'rangka politik dan pentadbiran yang cocok sekali' yang dengan demikian pengusahaan swasta boleh berkembang maju.

"Tanpa cabaran dari kelompok kepentingan tempatan yang kuat, pihak Inggeris dengan bebas dapat melakukan penyusunan semula masyarakat tempatan dengan mengaturkan semula kegunaan sumber-sumber untuk maklumat kemajuan ekonomi yang lebih besar.

"Sehingga tahun 1919, Semenanjung Tanah Melayu telah melihat perubahan-perubahan yang begitu pesat dalam bidang sosio ekonominya. Kini wajarlah istilah 'British Malaya' mula digunakan, sebab sesungguhnya Malaya telah menjadi 'British' dalam ertikata matlamat sosial dan ekonominya." (halaman 240).
Kemerdekaan
"Pada bulan April 1949, Parlimen Inggeris telah membuat pengikatan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan disahkan dalam bulan Mac berikutnya oleh Perdana Menteri Inggeris.

NONE"Apabila Leftenan-Jeneral Sir Gerald Templer sampai di Tanah Melayu pada awal Februari 1952 sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru, beliau mengumumkan bahawa objektifnya yang segera ialah ialah membentuk satu bangsa Malaya yang bersatu padu.

"Ke arah matlamat ini, juga bagi melemahkan dan seterusnya menghancurkan PKM, Templer telah memperkenalkan pilihanraya setempat, majlis mesyuarat kampung, dan kewarganegaraan kepada lebih separuh daripada orang-orang Cina; menggabungkan Majlis Perang dengan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan; dan membolehkan orang-orang Cina, buat pertama kalinya, memasuki Perkhidmatan Awam Tanah Melayu.

NONE"Dalam bulan April 1954, Templer mengumumkan bahawa pilihan raya yang awal akan diadakan untuk Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955, dengan itu membayangkan bahawa Tanah Melayu sudah berada di ambang pintu kemerdekaan." (halaman 304) ...

"Sungguhpun kemenangan muktamad menentang komunis masih belum dicapai pada tahun 1957 apabila kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan, ancaman komunis itu telah hampir-hampir hapus.

"Namun, ancaman perkauman masih kekal, warisan pemerintah kolonial, yang akan menentukan kehidupan terus atau pun kehancuran muktamad negara yang baru itu." (halaman 308). 


Justeru, aku rasa kita semua boleh berfikir akan kebenaran sesuatu hujah sebelum mempercayainya.  Jangan hanya disebabkan politik atau apa saja sebab, kita dengan sewenangnya mengubah fakta atas kekuasaan yang ada.  

Wassalam.....


Sent from my iPad

Friday, September 16, 2011

Jamuan Hari Raya & Majlis Khatam Quran

Pagi tadi aku bertolak dari Kuala Kangsar untuk terus balik ke Gerik. Sebelum tu kami ke pasar dulu untuk membeli barang-barang yang telah dipesan oleh emak.

Kami tiba di kampung pada jam 12.15 tengahari. Ketika itu emak sedang sibuk di dapur bersama mak long. Seterusnya, aku bersiap untuk ke masjid menunaikan solat jumaat.

Pada jam 3 petang, majlis khatam quran baru bermula. Selepas asar, barulah jemaah masjid tiba. Kami membuat bacaan tahlil doa selamat.

Majlis jamuan bermula. Antara menu yang tersedia ialah lontong, nasi impit, kuah kacang, soto, lemang dan kuih-muih. Ramai juga tetamu yang hadir walaupun hujan turun dengan lebatnya.

Sebentar tadi kami selesai memasang kipas yang baru dibeli. Alhamdulillah.

Sekian saja, wassalam.....

Sent from my iPad

Thursday, September 15, 2011

Puasa Enam: Hari Kedua


Alhamdulillah, aku berjaya menghabiskan hari kedua aku berpuasa enam. Sekarang dalam perjalanan balik kampung. Esok tak puasa la. Aku sambung hari Isnin nanti. Cadangnya minggu depan nak habiskan lagi empat hari. Kebetulan hari Jumaat tu akan diadakan jamuan hari raya untuk tingkat 13.

Hari ni aku bawa kereta ke pejabat. Disebabkan semalam terpaksa meredah hujan waktu balik kerja. Tapi nasib baik tak hujan hari ni.

Tadi aku ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk ambil adik iparku sebelum ke Ampang pula untuk mengambil Saza. Sekarang ni sedang menjamu selera depan Ampang Point. Lepas ni akan terus bergerak menuju Kuala Kangsar.

Ok la, sekian saja buat kali ni. Wassalam......

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Wednesday, September 14, 2011

Puasa Enam: Hari Pertama


Alhamdulillah, aku berjaya habiskan puasa 6 aku untuk hari yang pertama. Bermula pada pukul 5.15 pagi aku bangun untuk bersahur. Aku memang dah beli roti gardenia coklat yang berharga RM 0.70 tu sebagai sahurku. Kiranya sebagai alas perutku sepanjang hari ni la.

Waktu rehat tengahari, aku tido kat surau. Minggu ni giliran kaum adam rehat pukul 12, jadi senang la aku nak tido kat surau. Yer la, pukul 1 zohor blom masuk lagi. Jadi takde gangguan la.

Petang tadi bos dah panggil aku, rizal dan pn aida untuk memberitahu kami tentang persediaan untuk persidangan bajet tahunan syarikat. Dato' Shukree dah beritahu yang bajet tahun ni akan diadakan pada minggu pertama bulan disember di Kuantan, Pahang. Lokasinya akan ditentukan kelak. Tapi biasanya bos akan main golf lepas tu. Jadi, hotel tu mesti la dekat dengan padang golf. Macam tahun lepas diadakan di Sheraton, Langkawi.

Balik keje tadi aku redah hujan. Maklum la sekarang ni aku pegi keje naik motor. Tapi aku bonceng je moto asyraf tu. Tumpang dia la. Disebabkan musim hujan yang sedang melanda ni, aku rasa macam nak naik kereta balik je. Tengok la keadaan macam mana nanti.

Ok la, sekian saja buat kali ni. Aku pun dah nak tido. Esok nak bangun sahur lagi. Wassalam.....

Sent from my iPad

Tuesday, September 13, 2011

Jamuan Hari Raya Kowamas


Hari ni Kowamas ada buat jamuan hari raya bertempat di perkarangan pejabat tingkat 9. Pukul 12 tengahari semua staf dah sibuk menghias diri. Aku pun tak terkecuali. Aku mengenakan baju melayu ungu yang mak aku buat masa kenduri kahwin adikku tempoh hari.


Kami mula bergerak ke lokasi jamuan. Maklum la pejabat aku terletak di tingkat 13 blok C. Manakala lokasi jamuan di blok B. Tahun ni pihak pentadbiran masih menggunakan khidmat katering yang sama seperti tahun lalu. Sedap katanya. Memang sedap pun. Tambah-tambah ada kambing golek. Hehehe.....


Lepas habis jamuan apa lagi, balik buat kerja la. Dah la aku tak siap closing account lagi ni. Mampus..... Ok la, sekian saja. Wassalam.....

Sent from my iPad

Monday, September 12, 2011

Trial: Post from my iPad


Posting kali ini aku nak cuba hantar daripada iPad pulak. Orang cakap kalau kita tak ikut peredaran teknologi, kita akan ketinggalan. Orang dah bercakap pasal iPad, takkan kita cakap pasal PC lagi. Hehehe......

Oh ya, hari Sabtu dan Ahad lepas aku tak sempat nak update blog ni. Yer la, aku sibuk bangat hujung minggu lepas. Hari Sabtu aku ke Puchong beli kipas dengan Faiz, Ahad pulak ada rumah terbuka hari raya di rumah Zani.

Ok la, sampai jumpa lagi ye. Wassalam.

Sent from my iPad

Friday, September 09, 2011

Wahai Jiwa Yang Tenang

Wahai jiwa yang tenang, ketahuilah oleh mu bahawa Allah itu maha berkuasa. Allah itu maha penyayang. Allah masih memberikanmu peluang.

Tika engkau resah, gelisah, khuatir atas keputusan itu, Dialah tempat engkau bergantung harap. Doa dipanjatkan setinggi gunung dan seluas lautan sebagai pengharapan agar keputusan itu tidak akan menjadi bebanan ataupun hukuman kelak.

Ketika itu engkau dibebani dengan pelbagai ranjau berduri. Kawan-kawanmu sudah tak kelihatan. Kekasihmu sudah pergi jauh. Orang yang kau sayang juga mula menjauhimu. Tidak kurang mereka yang terpaksa meninggalkanmu. Saat itu engkau tidak ada tempat untuk mengadu nasib.



Engkau mula berdoa, "Ya Allah...hanya kepada Mu sahaja tempat aku berharap. Aku tidak ada tempat lain lagi yang boleh aku bergantung. Ampunilah segala dosaku. Aku menyesal atas segala kemungkaran yang telah aku lakukan. Berikanlah aku peluang."

Kini, Allah telah memperkenankan permintaanmu. Keputusan itu telah pun engkau peroleh. Engkau pun mula tersenyum lebar. Segala resahmu telah hilang. Orang yang disayangi telah kembali.

Wahai jiwa yang tenang, aku amat berharap agar engkau tidak akan melupai segala janjimu. Janganlah engkau alpa dan lupa diri atas kurniaan Allah itu. Jangan jadikan keputusan itu sebagai tiket untuk engkau mengulangi kesilapan lampau. Sebaliknya jadikanlah ia iktibar untuk hari mendatang.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, September 08, 2011

Mentari Pagi

Tika saat berlabuhnya tirai malam, umat manusia masih diulit mimpi.  Ada yang indah, tidak kurang yang sedih.  Ada juga yang telah bangun mengadap Allah dengan ibadah qiamullail.  Ada juga yang masih leka melayan mainan tidur.  Sang mentari akan mula menyinari alam ini dengan cahayanya.

Begitulah ibaratnya kehidupan kita.  Kadang-kadang kita terlalu asyik dan leka dengan keseronokan dunia.  Kita lupa bahawa ianya hanya sementara.  Kerana malam pasti akan menjelma.

Ada juga mereka yang sedar akan hakikat itu.  Lalu mereka cuba untuk bersiap sedia menunggu kedatangan malam.  Suis dihidupkan.  Maka sinar cahaya memancar dari lampu itu.  Pasti malam ini cahayanya akan menyinari kegelapan malam. 

Ada juga yang bersiap sedia dengan menyalakan lilin atau pelita.  Namun tika cahaya mula menyinari segenap ruang rumah, tiba-tiba angin bertiup kencang lalu memadamkan cahaya itu tadi. 

Arghhh......aku tertewas lagi, bentaknya.

Wednesday, September 07, 2011

Ramadhan Itu


 Aku masih ingat akan petang itu. Kedai itu. Iftar itu. Masjid itu. Terawih itu. Malam itu. Sahur itu. Ramadhan itu. Semuanya berlaku tanpa dirancang.

Masa beredar begitu pantas. Dari saat ke minit. Minit ke jam. Jam ke hari. Hari ke minggu. Minggu ke bulan. Nah.... Syawal kini menjelma lagi.

Tapi aku masih inginkan Ramadhan itu. Biar pun ia telah pergi meninggalkan ku. Namun, apa yang pasti ia akan muncul kembali pada tahun hadapan. Persoalannya, adakah sama lagi Ramadhan itu?

Syawal yang dirayakan hampir ke pertengahannya. Aku masih belum mula berpuasa enam. Bukan malas. Bukan tak nak bepuasa. Tapi aku masih ingat akan janji itu. Mungkirkah aku kalau berpuasa sekarang? Entahlah.....

Api itu panas. Air itu basah. Ku sangka panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengahari. Mungkinkah pelangi akan muncul selepas ini?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, September 06, 2011

Wahai Hati


Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa Hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu.

Hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu.

Maka, eratkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antaranya. Tunjukkanlah kepada Hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu.

Hidup suburkanlah Hati ini dengan ma'rifat tentang Mu. Jika Engkau takdirkan mati, maka matikanlah pemilik Hati ini sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu.


Justeru, janganlah Engkau biarkan Hati ini bersedih atas pemergiannya. Tabahkanlah pemiliknya untuk menempuh hari-hari mendatang. Sesungguhnya Engkau maha mengetahui sesuatu daripada yang lain.

Wahai Hati.....janganlah engkau bersedih.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, September 05, 2011

Selamat kembali Ke Pejabat

Setelah sekian lama bercuti (27/08/11 - 04/09/11), aku kembali ke opis. Jalan pun tak berapa nak jem. Tapi kat jalan airport, blkg Paremba Square tu, ada orang kene langgar dan mati kat atas jalan tu. Jalan tu memang lebar. Takde jejantas. So, diorang dok main lintas kat situ la. Sedih lak aku. Nak salahkan sape sekarang ni? Sama-sama la pikir.

Arini gak ada staff baru kat bahagian akaun. Account Assistant yang akan ganti Asyraf. Asyraf lak akan ganti Rizal. Rizal lak ganti Selly yang dah berenti. Owh ya, namanya Ila.

Ok la...sekian aje... Wassalam.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sunday, September 04, 2011

La Tahzan @ Jangan Bersedih


Aku pernah baca tentang terbaca tentang buku ni. Dengarnya buku ni amat laris dan bagus. Rasanya nak beli la.
Setelah aku try search kat internet, berikut adalah 5 topik yang diperbincangkan dalam buku ni:

1. Merenunglah dan Bersyukurlah

Saya belajar tentang pentingnya kita sebagai Hamba Allah ni, tunjuk rasa syukur kita pada Allah yang menjadikan kita. Siapalah kita kalau bukan Allah yang berkehendak menjadikan kita dan beri kita peluang untuk menikmati hidup di dunia ni. Kita perlu belajar bersyukur dengan apa yang ada, tangan, kaki, mulut, hidung dan semuanya Allah yang jadikan. Sempurna kejadian saya. Jadi, saya perlu bersyukur sebab ada manusia yang dilahirkan kurang fizikal sana sini. 

2. Yang Lalu, Biarlah Berlalu

Saya belajar tentang apa yang ada depan mata, kita perlu jalani seadanya dan lupakan semua perkara yang dah lepas. Saya tidak akan kemana-mana kalau terus dibayangi dengan perkara lepas. Dapat apa? Buang masa sebab perkara yang lepas memang TIDAK AKAN boleh diulang. Jadi, baik tutup buku dan move on.

3. Hari Ini Milik Anda

Saya belajar tentang menghargai hidup. Allah sudah berikan saya peluang untuk hidup dan bernafas pada hari ini dan saya perlu lakukan yang terbaik pada hari ini , seolah-olah esok KEMUNGKINAN peluang ini saya tidak akan dapat lagi *mati, senang cerita*. Jadi, saya perlu buat semuanya sebaik mungkin. Bahagiakan diri sendiri, dan lupakan semua kejahatan orang lain pada saya. Buang masa.

4. Masa Depan Akan Datang Dengan Sendirinya

Saya belajar tentang dalam hidup ni, kita tak perlu menjadi tukang tilik untuk diri sendiri. Manusia yang bersedih, rupanya terlalu memikirkan masa depan yang dia pandai-pandai mereka sendiri. hahahaha! Sebenarnya tak perlu. Masa depan kita, masih dalam genggaman Allah. Tak perlu difikirkan. Bila sampai masa, masa depan kita akan datang dengan diri sendirinya.

5. Allah Akan Menggantikan Yang Lebih Baik

Saya belajar tentang bersangka baik pada Allah itu perlu. Tak mungkin Allah saja-saja "ambil" sesuatu daripada kita tanpa sebab. Mesti ada hikmah. Apa hikmahnya? Wallahualam.  Tengok saja kejadian Tanah Runtuh Hulu Langat lepas, Allah saja yang tahu tetapi yang pasti mesti lebih baik daripada apa yang di "ambil" tu. Senang cerita, belajarlah bersangka baik pada Allah. Jadi, kita tak akan bersedih.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Membersihkan peti sejuk

Lepas lunch tadi aku tengok tv jap sementara menunggu waktu zohor. Tak lama lepas tu, roomate aku, Asyraf pun dah sampai dari Hutan Melintang. Dia perasan yang plug peti sejuk dah dimatikan. Cepat-cepat aku bukak pintu peti sejuk. Alamak....abis berbau...

Lantas, operasi membersihkan peti sejuk bermula. Hasilnya, gambar kat atas ni menunjukkan bahawa peti sejukku berwajah baru. Hehehe.... Kosong....takde apa-apa barang.

Urmm.....ape cite ye kat highway sekarang ni? Kesian kat sape-sape yang sangkut dalam jam tu. Nasib baik aku dah selamat sampai semalam lagi. Sabo je la.

Ok la. Sekian aje coretanku. Wassalam.....


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Saturday, September 03, 2011

Malam yang membosankan

Perjalanan aku dari Hulu Selangor tadi amat lancar. Langsung tak sesak. Kiranya idea aku untuk lalu ikut ulu yam tu kira menjadi la.

Sampai je aku terus gi cari kedai makan untuk mengalas perutku yang kosong ni. Mana tak nya, aku langsung tak makan tengahari tadi. Cuma jamah sikit kuih raya di Kuala Kangsar tadi.

Malam ni tido je la jawabnya. Badan pun lenguh-lenguh ni. Sekian.....


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Solat Jamak Ta'khir

Setelah bersusah payah menempuh jem, akhirnya aku sampai ke destinasi pertama iaitu Rasa. Aku dah hantar sepupuku ke rumahnya. Seterusnya aku singgah sebentar untuk bersolat dan berehat di masjid ini.

Sekarang ni nak terus balik ke rumah di Shah Alam. Aku akan melalui Batang Kali, Hulu Yam Bharu, Batu Caves dan seterusnya naik MRR 2. Itu aku punya plan la.

Sekian....


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Kembali ke Shah Alam

Sekarang ni aku dalam perjalanan pulang ke Shah Alam. Tadi aku singgah mengambil sepupuku di Gerik. Sekarang kat Taman Jati K.Kangsar untuk persinggahan kedua mengambil sepupunya pula.

Tadi laporan trafik dalam radio mengatakan kesesakan berlaku menghala ke RnR Sungai Perak. Lepas tu jem naik ke terowong menora. Pastu Gopeng ke Slim River.... Adoiyai...camne ni...huhu

Ok la...nanti aku update lagi... Wassalam...


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Friday, September 02, 2011

Jamuan Hari Raya & BBQ

Malam ni kami sekeluarga mengadakan majlis jamuan hari raya dan BBQ utk keluarga terdekat.  Ini merupakan kali ke-2 majlis seumpama ini diadakan.  Pagi-pagi lagi aku, ayah dan abgku ke pekan Gerik untuk membeli bahan-bahan yg diperlukan.  Tahun ini kami memasak 4 ekor ayam yg telah dipotong 16.  Tahun lepas hanya 2 ekor ayam.  Setelah semua barangan dibeli, kami terus pulang ke rumah untuk membuat persiapan.

Perkara pertama yang aku buat ialah menyediakan dapur tempat untuk bakar ayam.  Kali ini aku menyediakan 2 buah dapur.  Manakala adik-adik dan kakak-kakak iparku menyediakan ayam dan bahan lain untuk dimasak.


Selepas solat asar, aku mula membasuh dapur buatan ku itu.  Selepas itu, aku mula menyalakan api menggunakan kayu api yang sedia ada.  Aku menggunakan kayu getah.  Sengaja aku nyalakan api lebih awal, takut-takut lambat pula nanti.   Maklumlah 4 ekor ayam yang akan dibakar.  Itu tidak termasuk daging burger dan sosej lagi.


Pukul 7 malam barulah ayam mula dibakar.  Disebabkan dapur yang besar, 3/4 ayam tersebut telah berada di atas api.  Nah, tahun ni takdelah lambat siap.  Tambahan pula sepupu dan adik iparku turut membantu.  Selepas solat maghrib, kebanyakan ayam dah siap dibakar.


Majlis yang telah dirancang selepas solat Isyak berjalan dengan lancar.  Juadah telah siap berada di atas meja.  Antaranya ialah bihun sup tulang, ayam, sosej, daging burger, salad, kentang goreng dan coslow (betul ke aku eja ni).  Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang diketuai oleh sepupuku yang merupakan seorang ustaz di KAGAT.  Setelah itu, sesi menghabiskan juadah pun bermula.

Alhamdulillah, tahun ni lebih teratur dan lancar berbanding tahun lepas.  Ada sedikit penambahbaikan yang perlu dibuat untuk tahun depan.

Sekian.....

Thursday, September 01, 2011

Trial: Post from my BlackBerry


Posting kali ni aku saja nak cuba hantar dari blackberry aku. Yer la, nak cuba gak teknologi terkini katakan. Maklum la sejak ada blog ni....hehe

Aku pakai Bold 1 jer

Nampaknya amalan kunjung-mengunjung masih diteruskan dalam bulan Syawal ni. Jadi teruskanlah amalan tersebut. Dlm semangat raya mcm ni la kita nak eratkan silaturrahim sesama kita. Sedara mara yg jarang jumpa pun dpt kita jumpa.

Oh ya.... Dgr cite hari ni jualan roti di sepanjang lebuhraya utara selatan begitu laris. Sampaikan kehabisan stok. Kwn aku, Joe pun tak ketinggalan merasai jem tanpa roti. Hahaha...

Sekian, coretan buat kali ni. Wassalam....

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...