Friday, October 14, 2011

Isu Arak Di Malaysia: Mungkinkah Ada Penyelesaian?

Seingat saya penggunaan arak di kalangan orang Islam di Malaysia sudah lama berlaku. Ia selalunya berlaku di kalangan pengunjung kelab malam atau hotel. Arak dihidangkan bagai air dan orang Islam tanpa segan silu meminumnya. Sejak akhir-akhir ini ramai remaja Islam pula kelihatan mendapatkan tin mengandungi arak dan minum bersama kawan-kawan. Antara sebabnya ia mudah didapati di kebanyakan kedai sehingga sesiapa saja boleh membelinya.


Sebagai orang Islam tentunya mereka tahu bahawa arak itu adalah haram. Kita telah diajar tentang perkara itu sejak dari zaman sekolah lagi. Namun timbul persoalan mengapa masih ramai lagi orang Islam yang meminum arak? Juga mengapa begitu mudah mendapatkan arak di kedai-kedai?

Satu penyelidikan yang dijalankan di Britain baru-baru ini mendapati kesan arak adalah lebih teruk lagi kepada individu dan masyarakat berbanding dengan dadah heroin. Ini kerana ia digunakan secara meluas dan mempunyai kesan yang buruk bukan saja terhadap peminumnya tetapi juga mereka yang di sekeliling.

Bila diminum berlebihan, arak atau alkohol akan merosakkan hampir kesemua organ badan. Alkohol juga merupakan antara penyebab kadar kematian dan jenayah terus meningkat.

Justeru, kesan arak atau alkohol adalah lebih dahsyat dari dadah. Maka sepatutnya kawalan dan undang-undang yang lebih ketat lagi harus diadakan. Sebagai sebuah negara Islam kita sepatutnya merasa malu dan jijik apabila melihat penjualan arak di merata-rata.

Di antara alasan orang Islam yang minum arak adalah mereka hanya sekadar merasa atau mengambilnya sedikit sahaja; tidak sampai memabukkan. Ada yang memberi alasan mereka hanya menghidangkan arak, bukan meminumnya. Ada yang memberi alasan mereka sekadar kerja membancuh minuman bercampur arak di kelab, bukan meminumnya. Kita juga berasa sedih melihat orang Islam yang bekerja di kilang-kilang arak.

Tidakkah mereka ini sedar hukum berkenaan arak? Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily pengharaman arak atau seumpamanya bukan sekadar meminumnya atau mengambilnya bahkan termasuk memilikinya atas apa juga alasan, menjual, membeli, menghadiahkan dan sebagainya adalah tertakluk dalam hukum yang sama.


Di Malaysia pemberian lesen penjualan arak adalah di bawah seksyen 35 Akta Eksais 1976 oleh Lembaga Pelesenan. Seksyen 35 Akta ini memberikan kuasa kepada Lembaga Pelesenan untuk mengeluarkan lesen penjualan arak di rumah awam(public house), rumah bir(beer house), kedai jualan runcit(retail shop) dan lesen pemborong(wholesale dealer).

Lesen yang diberikan adalah untuk perniagaan memborong dan menjual arak yang memabukkan yang mengandungi lebih daripada dua peratus alkohol. Ini bermakna bahawa sebarang minuman yang mengandungi kurang dua peratus(2%) alkohol tidak memerlukan lesen daripada Lembaga Pelesenan.

Bandingkan ini dengan undang-undang berkaitan alkohol di negara barat. Norway contohnya, mempunyai undang-undang yang sangat ketat di Eropah. Undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman yang berat iaitu penjara terhadap pemandu yang meminum alkohol. Tahap maksimum kandungan alkohol dalam darah adalah 0.02%.

Di negara Islam contohnya Saudi Arabia, melarang sepenuhnya pembuatan, impot atau pengambilan alkohol dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut. Hukuman termasuk penjara dan sebatan.

Di Qatar, undang-undangnya sama dengan Arab Saudi tetapi hukuman untuk kesalahan yang berkaitan alkohol adalah penjara dan kemungkinan didiportasi. Walau bagaimanapun, alkohol boleh diperolehi di hotel dan bar yang mempunyai lesen menjual alkohol. Pekerja asing yang bukan beragama Islam perlu mendapat permit untuk membeli alkohol.

Kelihatan undang-undang di negara lain lebih ketat berbanding negara kita. Mungkin tiba masanya perkara ini dinilai semula dengan adanya undang-undang yang lebih ketat berkaitan arak agar sesuai dengan imej sebagai sebuah negara Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa di dalam kawasan pentadbiran masing-masing yang memberikan lesen kepada pengusaha perniagaan. Bagi orang Islam pula, terdapat Enakmen Jenayah Syariah Negeri. Timbul persoalan sejauh mana enakmen tersebut berkesan menangani gejala arak, bukan hanya setakat menangkap mereka yang bersalah tetapi juga menasihati mereka.

Justeru semua pihak harus bekerjasama dan memain peranan menangani isu ini. Sehubungan dengan itu, IKIM akan mengadakan Persidangan Meja Bulat “Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan” pada 24 Februari ini dengan harapan agensi-agensi terlibat dapat menyumbang ke arah usaha untuk membanteras arak di kalangan umat Islam; sekaligus mendatangkan kemakmuran kepada negara.

Thursday, October 13, 2011

Nikmati Buah Sebelum Hidangan Utama


Buah-buahan sebagai pencuci mulut ternyata menjadi satu amalan dan tradisi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Tabiat memakan buah setelah hidangan utama dianggap baik untuk mengekalkan kesihatan oleh kebanyakan orang disebabkan oleh sifat buah sebagai pencuci mulut. Namun, hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Ramai yang tidak faham mengenai kitaran sistem pencernaan. Masyarakat kita suka mengambil buah dalam keadaan di mana tidak memberi faedah yang optimum kepada tubuh badan. Walaupun pada dasarnya, buah-buahan memberikan manfaat yang banyak kepada kesihatan manusia tetapi jika diambil tidak mengikut masa dan aturannya, tidak akan memberikan pulangan yang baik kepada kesihatan.

Seharusnya, buah-buahan diambil terlebih dahulu sebelum kita menikmati hidangan utama. Ia akan menggalakkan penyerapan tenaga dan zat daripada buah tersebut untuk tubuh secara optimum. Di samping itu, ia membantu melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan manusia. Ini kerana, buah-buahan yang dimakan tidak akan berada dalam salur penghadaman begitu lama dan menyebabkan ia senang dikumuh.

Tabiat memakan buahan mengikut waktu yang terbaik akan memberikan impak yang maksimum kepada kesihatan kita. Seboleh-bolehnya, buah perlu diambil pada ketika perut kosong tanpa sebarang makanan. Namun begitu, ia boleh diambil sepanjang hari selagi mana perut dalam keadaan kosong dan tidak dipenuhi dengan hidangan yang berat. Selepas mengambil buah-buahan, sewajarnya kita tidak mengambil sebarang makanan lain lebih kurang 30 minit untuk memberikan laluan kepada penghadaman buah-buahan tersebut berjalan secara lancar dan optimum.

Terdapat kajian yang dijalankan oleh pengamal perubatan alternatif Amerika yang mendapati bahawa corak pemakanan seseorang yang memakan buah dengan cara yang betul merupakan rahsia untuk kelihatan cantik, sihat, bertenaga, panjang umur dan mempunyai berat badan yang ideal. Walaupun dapatan ini terlalu subjektif untuk menentukurkan kesihatan, kecantikan dan kecergasan seseorang tetapi ianya tidak mustahil. Ini kerana, dengan memakan buah secara teratur akan menentukan penyerapan zat yang terbaik untuk tubuh badan kita. Jika tidak, mungkin kita hanya memakan buah-buahan tetapi zat yang bermanfaat untuk badan tidak dapat diserap secara optimum. Dan ternyata ia hanyalah amalan yang sia-sia.

Kita perlu faham bahawa buah-buahan dihadamkan di usus pencernaan dan bukannya di dalam perut. Oleh sebab itu, ia akan dicernakan secara cepat melalui sistem pencernaan dalam tempoh lebih kurang setengah jam sahaja. Otak kita memerlukan glukosa untuk berfungsi dan buah-buahanlah merupakan sumber yang sangat baik untuk glukosa darah. Pengambilan buah-buahan yang mencukupi akan menormalkan tahap gula dalam darah dan menjadikan sistem tubuh kita dapat berfungsi dengan baik. Di samping itu, ia boleh mengelakkan kita daripada terlebih makan dan fenomena obesiti yang kerap melanda masyarakat pada hari ini. Ini kerana, glukosa yang terdapat pada buah-buahan dapat mengawalatur mekanisma kelaparan tubuh badan kita supaya dapat berfungsi secara optimum.

Makan buah semasa perut masih lagi kosong dapat membantu memulihkan sistem pencernaan. Ini bermakna saluran pencernaan kita dapat menjalani proses penyahtoksikan secara semulajadi. Buah yang dimakan ketika perut kosong akan mempercepatkan proses penghadaman berbanding dengan kumpulan makanan lain. Namun, jika dimakan sejurus selepas makanan lain, ia akan mengalami fermentasi kerana lambat dihadam. Zat-zat yang terkandung didalamnya akan rosak dan akhirnya menyumbang kepada ketidakselesaan kepada perut.


Setelah mengambil hidangan utama, kita perlu memastikan sekurang-kurangnya 3 jam sebelum mengambil sebarang jenis buah-buahan. Ini untuk memastikan agar makanan sebelum itu dihadamkan sempurna di dalam perut dan tidak menjadi berasid serta proses penapaian makanan tersebut dapat dielakkan. Sebenarnya, keadaan sebegini kerap kali berlaku dalam kalangan kita. Seringkali terdengar rungutan seperti perut terasa sebu, berangin dan kembung selepas menikmati hidangan diakhiri dengan buah sebagai pencuci mulut. Keadaan tersebut berlaku kerana buah yang dimakan akan bercampur dengan makanan yang belum sempat dihadamkan lagi akan menghasilkan asid dan perut akan menjadi kembung. Ketidakselesaan ini kadangkala menyebabkan kita cenderung untuk tidak lagi mengambil buah-buahan kerana menyangka sesetengah buah-buahan yang dimakan tersebut bersifat angin. Perkara inilah yang memerlukan masyarakat prihatin terhadap kepentingan dan khasiat buah-buahan agar kita tidak terus menerus dengan sangkaan sedangkan amalan atau tabiat itulah yang akan menentukan baik buruk kesannya kepada kesihatan.

Jika kita perhatikan, sudah banyak sekarang berlaku anjakan pemikiran masyarakat kita contohnya dalam menyediakan juadah ringan untuk mesyuarat atau perbincangan ringkas di tempat kerja. Kalau sebelum ini, tidak dapat tidak hidangan kuih-kuih manis menjadi pilihan utama, tetapi kini digantikan dengan hirisan buah-buahan. Ia merupakan satu tabiat pemakanan yang baik. Di samping bagus dijadikan sebagai "snack food", buah-buahan juga sebagai sumber glukosa untuk otak kita berfungsi dengan baik. Ini dapat memastikan agar kita dapat menjalankan kerja dengan sempurna dan bertenaga.

Saranan memakan buah amat mudah dan tampak remeh namun jika diamalkan ia pasti memberikan natijah yang baik untuk kesihatan. Malah ia juga merupakan sunnah Rasulullah SAW di mana baginda tidak akan memakan buah-buahan selepas memakan gandum, roti dan juga makanan berat berat lain. Amalan Rasulullah SAW ini sudah pasti memberikan impak yang baik untuk kecergasan dan kesihatan tubuh badan baginda. Walaubagaimana pun, kita perlu mengelakkan daripada mengambil buah-buahan dalam tin, buah yang diproses atau dijeruk kerana ia mengandungi sejumlah gula yang tersembunyi, bahan tambah dan perisa lain yang tidak diperlukan oleh tubuh badan. Justeru itu, saranan memakan buah sebelum kita menikmati hidangan yang lain perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita tidak kiralah sama ada di rumah atau di pejabat. Kita perlu kikiskan budaya yang sekian lama bertapak dalam masyarakat kita yang menganggap buah adalah pemanis dan pencuci mulut diambil selepas makan hidangan utama. Walaupun langkahnya kelihatan amat mudah tetapi kesan daripadanya amat signifikan untuk kesihatan yang berkekalan.

Monday, October 10, 2011

Kahwin Lewat: Reaksi dan Realiti


Bukan sekali kita mendengar kekhuatiran pihak kerajaan berhubung dengan permasalahan institusi kekeluargaan yang semakin membimbangkan. Ini termasuklah mengenai tren memilih untuk berkahwin lewat semakin meningkat terutama bagi wanita. Tidak dinafikan wanita adalah pusat bagi sesebuah keluarga dengan tanggungjawab mulia melahirkan zuriat maka apabila keadaan ini berterusan maka kekhuatiran itu tidak hanya berlaku diperingkat keluarga malah diangkat secara makro oleh pihak kerajaan.

Kita mengetahui bahawa pembangunan negara perlu diiringi dengan jumlah populasi yang baik dan seimbang dan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi dan prasarana semata-mata. Sekiranya berlaku salah satu pihak bertindak untuk mengurangkan populasi sama ada secara sedar ataupun tidak, maka agenda pembangunan negara barangkali tidak dapat dicapai sepenuhnya. Selain dari itu, masalah sosial juga dikhuatiri akan meningkat dan membimbangkan kerana institusi perkahwinan dan kekeluargaan tidak lagi dipercayai.

Mengambil contoh yang paling dekat iaitu Singapura, walaupun jumlah populasinya semakin meningkat tetapi kadar kelahiran kasar bagi negara itu telah menurun dari 13.7 (per 1000 orang penduduk) pada tahun 2000 kepada kadar 9.9 pada tahun 2009. Selain itu, Singapura mencatatkan nisbah 1000 wanita bersamaan dengan 976 lelaki bagi tahun 2009. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna lebih ramai wanita di Singapura tidak berkahwin kerana data pada tahun yang sama menunjukkan kadar 19.4% penduduk lelaki yang menetap di republik itu yang berusia 35 hingga 39 tahun yang masih bujang berbanding wanita pada julat usia yang sama iaitu sebanyak 15.6%.

Berbanding dengan Malaysia, nisbah jantina bagi tahun 2009 mencatatkan 103 lelaki bagi 100 wanita. Manakala munurut laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menyatakan penduduk lelaki melebihi penduduk wanita dengan nisbah 105:100. Sungguhpun demikian, peratusan wanita berusia 25 hingga 29 tahun yang masih bujang dikatakan lebih tinggi berbanding lelaki yang berumur di antara 30 hingga 34 tahun.

Kenyataan tersebut sama sekali tidak menunjukkan jumlah wanita bujang adalah lebih tinggi daripada lelaki. Sebaliknya, data tersebut membantu kita membuat anggapan bahawa wanita kini lebih selesa untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan ke atas atau dengan erti kata lain, cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat. Selain itu juga, kita boleh membuat andaian bahawa kadar kelahiran kasar pada masa akan datang berkemungkinan semakin menurun disebabkan faktor umur wanita yang lewat melahirkan anak. Apabila ini berlaku, populasi negara dikhuatiri bakal mengalami pertumbuhan yang perlahan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.


Antara sebab yang dinyatakan sebagai punca wanita hari ini cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat adalah disebabkan oleh faktor pendidikan. Kesedaran ibu bapa pada hari ini yang beranggapan bahawa pendidikan kepada anak-anak baik lelaki dan perempuan sama penting menyebabkan mereka memastikan wanita mendapat pendidikan sebaik lelaki berbanding dengan gaya pemikiran tradisional dahulu. Semestinya pendidikan yang baik menghasilkan modal insan yang berkualiti termasuklah wanita yang kini menjawat jawatan yang lebih baik berbanding dahulu.

Hakikatnya, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh gaya hidup yang semakin berubah. Adalah sukar bagi sesebuah keluarga untuk bergantung hanya kepada satu punca pendapatan sahaja disebabkan faktor kelangsungan hidup manusia. Zaman ini kita telah dihimpit oleh desakan kemahuan material yang semakin meningkat dan sedikiti sebanyak mengikis nilai-nilai murni dan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

Para pelajar yang mendalami ekonomi pasti mendengar istilah "tiada makan tengah hari percuma" yang membayangkan kepada kita bahawa hampir semua kegiatan dan keperluan hendaklah dibayar dengan balasan tertentu. Hakikatnya, persaingan yang tidak adil juga kebergantungan kepada pihak lain menyukarkan kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih berdikari dan tidak bergantung kepada pemikiran kapitalis yang berorentasikan keuntungan maksimum dan kepentingan sendiri.

Apabila faktor material menjadi keutamaan, maka ramai manusia tidak mempunyai pilihan selain daripada berterus-terusan berusaha meningkatkan kepanjangan faktor kelangsungan hidup mereka dan akhirnya meninggalkan fitrah menjadi seorang manusia itu sendiri. Maka timbullah pelbagai masalah lain seperti bersekedudukan, lewat berkahwin atau sama sekali tidak berkahwin kerana merasakan bahawa institusi perkahwinan itu tidak memberi kepuasan dan tidak dapat menjamin kelangsungan hidup mereka.

Inilah yang menjadi kegusaran ramai pihak sekiranya lebih ramai individu memilih untuk bujang akibat hilang kepercayaan kepada institusi keluarga. Menimbulkan kesedaran untuk membina perkahwinan di kalangan penduduk tidak boleh hanya mengetengahkan perihal keburukan tidak berkahwin dan siapa yang paling berkuasa dalam keluarga semata-mata kerana hakikatnya perkahwinan itu menenangkan jiwa manusia dan memberi kebahagiaan dan pencapaian dalam hidup sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Rum ayat 21 yang memberi maksud bahawa diciptakan manusia itu berpasangan (dalam perkahwinan) agar hidup bahagia dan mempunyai perasaan saling berkasih sayang dan belas kasihan dan hal ini menimbulkan kesedaran bagi mereka yang menilainya.

Sifat lebih gemar berdikari dan bijak membuat keputusan sendiri disebabkan pendidikan yang dimiliki boleh diandainya penyebab kepada kecenderungan individu untuk tidak lagi mempercayai institusi kekeluargaan. Maka menunding jari kepada mana-mana pihak bukanlah satu penyelesaian yang bijak sebagaimana ketidakwajaran kita menyalahkan pendidikan sebagai puncanya. Sebaliknya golongan ini perlu disedarkan bahawa perkahwinan sama sekali tidak menyekat keinginan, hobi selagi mana ia berlandaskan kepada syariah dan tidak berlaku pengabaian tanggungjawab. Kita juga perlu wujudkan persefahaman bahawa perkahwinan itu adalah perkongsian dan bukan pendominasian ke atas mana-mana pihak kerana Islam sama sekali tidak pernah menzalimi penganutnya. Sebailknya, perkahwinan menggariskan peraturan dan tanggungjawab yang berbeza kepada kedua-dua pihak agar semuanya mencapai kebahagiaan sebagaimana tujuan prosedur dan garis panduan lain yang selama ini dapat kita patuhi dengan baik.

Friday, October 07, 2011

Lupa Tuhan Mengundang Bencana


Apabila kita berbicara mengenai pembangunan manusia kini, kita akan menjadi bingung buat seketika kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut semuanya ada dalam pembangunan masa kini. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu.

Mengapakah boleh terjadi yang sedemikian sedangkan Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Begitu juga, Islam adalah satu cara hidup yang kukuh lengkap dengan teori dan praktiknya sama ada di bidang kerohanian maupun di bidang fizikal dan pembangunan. Sebabnya banyak dan telah banyak diperkatakan oleh orang sejak kebelakangan ini. Cuma dalam kesempatan ini ingin diajukan satu perkara pokok yang menjadi faktor utama, iaitu manusia kini sudah melupakan Allah, yang merupakan Tuhan sekelian alam. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, lupa akan fungsi dan fitrah dirinya, maka akhirnya lupa akan amanah yang dipikulkan ke atasnya.

Dalam keadaan masyarakat kini, tahap melupakan Tuhan juga mempunyai beberapa peringkatnya yang tersendiri. Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak sedar menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Tidak kurang juga yang hanya meletakkan Allah hanya pada nama tetapi amalannya jauh terpesong dari landasan sebenar Islam.

Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Bertitik tolak dari sini, maka segala yang memiliki nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, akhlak dan nilai-nilai murni yang berpandukan agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan yang penting dalam dunia perdagangan, dunia seni, dunia hiburan, dunia politik, dunia pendidikan, dan segala bentuk keduniaan yang membentuk kehidupan manusia itu sendiri. Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup mereka sendiri. Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan. Sesungguhnya bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini.



Antara sebab lain yang turut membawa kepada keadaan melupakan Allah ini ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.

Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh Islam. Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia. Memang ada benarnya apa yang telah dinyatakan oleh Bertrand Russel, bahawa ilmu yang dibangun dan dikembangkan di dunia sekarang telah berjaya menghasilkan "a lost man bukannya a better man".

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya. Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil kisah sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara seagamanya dengannya.

Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada Kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertaqwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan kepada ilmu. Perbincangan mengenai ilmu yang baik dianggap tasbih, mempelajarinya dianggap ibadah, mengajarnya dikira sebagai sedekah, mempelajari dan mendalaminya pula dianggap satu jihad.

Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang. Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ianya lebih meruntuhkan dan membahayakan manusia dan dunia. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikuathiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

Thursday, October 06, 2011

Sihat Sebelum Sakit

Seorang sahabat, Abu Darda' bertanya: "Ya Rasulullah, apabila saya sembuh daripada penyakit dan bersyukur kerananya, apakah itu lebih baik daripada saya sakit dan menanggung kesabaran? Rasulullah menjawab, "Rasul mencintai kesihatan sama seperti engkau menyenanginya". Kesihatan itu terlalu bernilai. Memelihara kesihatan adalah penting berbanding merawat apabila sudah terkena penyakit. Falsafah yang disebut seantero dunia iaitu ‘mencegah lebih baik daripada mengubat' agak relevan dengan pegangan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Ia selari dengan pemeliharaan kesihatan yang dianjurkan dalam Islam. Namun, benarkah ia juga menjadi pegangan utama masyarakat Islam dalam dunia kesihatan pada hari ini?


Rasulullah SAW tidak mengajar ilmu perubatan kepada umatnya. Namun, dalam kehidupan dan perilaku seharian baginda jelas menunjukkan aspek gaya hidup sihat yang diamalkan. Dengan lebih jelas lagi, daripada sunnah baginda, kita dapat belajar bagaimana untuk menguruskan kehidupan bagi memelihara kesihatan bahkan meningkatkan status kesihatan kita. Bukannya bagi mempelajari penyembuhan penyakit ataupun perubatan. Secara tuntasnya, Rasulullah SAW ternyata bukan seorang doktor walaupun terdapat beberapa kaedah perubatan yang dinamakan perubatan cara Nabi. Namun, kaedah dan amalannya adalah lebih bersifat pencegahan berbanding dengan penyembuhan.

Kita mempelajari soal memelihara kesihatan daripada Rasulullah SAW dan bukannya mempelajari ilmu perubatan dalam konteks teknik-teknik perubatan. Anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya supaya menjaga kesihatan dan mencegah perkara-perkara yang mampu mendatangkan penyakit kepada badan dan jiwa. Ini kerana, dengan perkembangan teknologi perubatan terkini dan pelbagai penyakit degeneratif berlaku pada masa kini, berkemungkinan tidak pernah wujud dan berkembang pada zaman Rasulullah SAW. Jadi, ia terpulang kepada kita cara bagaimana untuk mengurus dan mengubatinya. Sabda Nabi SAW: "Kamu lebih mengerti urusan duniamu". Ini bermakna, terdapat dalam hal-hal tertentu kita mempunyai pilihan dalam mengendalikan kehidupan. Namun, apa yang penting di sini ialah konsep pemeliharaan kesihatan yang dipamerkan oleh Nabi SAW seharusnya dijadikan teladan sepanjang zaman. Dan intipatinya adalah bersifat pencegahan bukannya pengubatan.


Cuba kita lihat apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini? Apabila sakit menjelma, baru kita tercari-cari ubatnya. Kita baru mengerti apa makna kesihatan, dan mencuba untuk mengawal penyakit tersebut. Walhal, ubatnya adalah sebelum kita mendapat penyakit lagi. Benarlah ungkapan, "kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, seperti mahkota yang berada di atas kepala orang yang sihat, dan hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit."

Dalam dunia kesihatan, pilihan gaya hidup akan menentukan ke mana umat manusia akan melangkah. Aspek ini berperanan dalam menentukan status kesihatan berbanding dengan perkembangan teknologi perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di antara ciri-ciri negara maju terletak kepada fungsi hospitalnya. Hospital yang lebih berorientasikan kepada pencegahan dan promosi kesihatan. Sejurus merenung apa yang berlaku dalam negara kita di mana hospital atau klinik lebih menfokuskan kepada penyembuhan penyakit bukannya pencegahan penyakit. Aktiviti promosi kesihatan hanyalah picisan dalam dunia kesihatan. Ia jelas nampak ketidakseimbangan berlaku antara program promosi pemeliharaan kesihatan dan mengubati pesakit. Kelompongan inilah menyebabkan masyarakat kita tidak dididik dan diperkasakan dengan maklumat untuk memilih aktiviti dan cara hidup berkesan untuk menjaga kesihatan agar tidak mudah mendapat penyakit.

Dalam perspektif fiqh, pemeliharaan kesihatan diri adalah fardhu ain bagi setiap orang. Tubuh badan menjadi amanah yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan. Jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik, mana mungkin kita dapat menjalankan aktiviti harian yang akhirnya menyumbang pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimanapun, kita tidak dapat menyangkal bahawa sakit itu merupakan ujian daripada Allah, namun ia boleh dielak dan dihindari. Maka, bukankah amalan kesihatan seperti mana sunnah Rasulullah SAW mampu menjadi jalan kepada kita menikmati kesihatan berterusan?

Perlu juga disedari bahawa lebih mudah kita mencegah penyakit berbanding kita mengubatinya. Apatah lagi jika penyakit itu bertambah kronik. Begitu juga lebih mudah jika mengubati penyakit itu sekarang daripada membiarkannya berlarutan dan semakin parah. Tambahan pula, kos perubatan pada masa kini terlalu tinggi. Maka semakin mahallah nilai kesihatan itu walaupun ia tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Oleh itu, manusia yang bijak dan peka dengan persoalan sebegini, perlu sedar dan mengubahnya . Ia perlu diperbaiki pada saat ini juga dan tidak boleh ditunda serta ditangguh. Betapa ironinya, apabila ada sesetengah orang yang sanggup mengorbankan kesihatan dan hidup dalam tekanan, semata-mata memburu kekayaan dunia. Akhirnya, meninggal dunia pada usia muda akibat tekanan hidup, persaingan dan juga pekerjaan.


Sebagai jalan yang mudah dan mengambil intipati pengajaran Rasulullah SAW, maka kita perlu mengubah kebiasaan yang diamalkan sambil melakukan amalan-amalan yang baharu sejajar dengan sunnah secara bertahap. Barangkali terlalu banyak amalan kebiasaan yang salah masih kita amalkan dalam kehidupan ini yang akhirnya meruntuhkan nikmat kesihatan yang kita miliki secara beransur-ansur. Umpamanya, tabiat merokok dan amalan pemakanan yang tidak seimbang. Begitu juga kemalasan yang sentiasa bersarang di dalam diri yang menjadi faktor risiko yang sama bahayanya dengan tekanan darah tinggi atau pun kolestrol dalam darah. Ia mampu merosakkan jantung kita. Kemalasan membuatkan fizikal kita kurang bergerak, otak menjadi tidak aktif dan akhirnya kita malas dalam mengubah gaya hidup salah yang kita jalani sekarang. Ia seolah-seolah merosakkan diri secara senyap.

Lebih baik lagi jika kita mampu mengenalpasti penyakit-penyakit yang seringkali berada dalam lingkungan keluarga. Ia adalah untuk menjangkakan kebarangkalian penyakit tersebut berpotensi untuk diwarisi dan jika berlaku sebarang ketidaksempurnaan, langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah dan merawat harus kita tangani. Ini kerana genetik juga merupakan faktor risiko seseorang mendapat penyakit tertentu.

Oleh itu, mengenang amanat junjungan besar kita iaitu ‘ingat sihat sebelum datang sakit', manfaat kesihatan yang kita miliki pada hari ini perlu dijaga dan dipelihara. Kadangkala, sebagai manusia biasa, kita seringkali lupa akan kesihatan. Kesihatan adalah seperti matahari yang hadir dalam kehidupan kita pada setiap hari tetapi tidak disedari kemanfaatannya sehingga ia sudah tiada. Maka, jalanilah kehidupan kita pada hari ini dengan gaya hidup yang sihat, amalan pemakanan yang seimbang serta mengubah cara hidup yang salah dan sebati dalam kehidupan kita agar kesihatan itu terus terpelihara dan terjamin.

Wednesday, October 05, 2011

Perpustakaan Awam Di Negeri Selangor Yang Bertaraf Dunia


Bangunan yang anda lihat pada gambar di atas merupakan sebuah perpustakaan yang letaknya di Seksyen 13, Shah Alam. Jika anda pertama kali melihatnya, pasti anda tidak menyangka bahawa bangunan tersebut adalah sebuah perpustakaan kerana bangunannya yang nampak sangat mewah. 




Perpustakaan tersebut bernilai RM70 juta dan baru sahaja dibuka sekitar bulan Julai lalu. Melihat keadaan dalamnya menerusi gambar-gambar kat bawah ni, boleh kami katakan yang ianya adalah sebuah perpustakaan di Malaysia yang bertaraf dunia. Ya, bertaraf dunia. Anda lihatlah sendiri.









 
Info tambahan:
- Menyediakan perkhidmatan XD theater / 6D theater.
- Menyediakan ruangan khas untuk setiap peringkat umur.
- Dilengkapi dengan ruangan bermain untuk kanak-kanak.
- Semua komputer yang disediakan di perpustakaan ini berjenama Apple.

WAKTU PERKHIDMATAN
PERPUSTAKAAN RAJA TUN UDA, SHAH ALAM
HARI
MASA
ISNIN
* 10.00 Pagi - 6.00 Petang
SELASA - JUMAAT
9.30 Pagi - 6.00 Petang
SABTU & AHAD
9.30 Pagi - 5.00 Petang
*Perkhidmatan Kaunter DIBUKA pada jam 12.00 tengahari


Tuesday, October 04, 2011

Perangi Nafsumu


"Perangilah nafsumu, ertinya segala kehendak nafsu yang ingin menyeleweng
dari tuntutan agama".

Imam Sahl at Tastariy berkata :

"Sejelek-jelek maksiat ialah daya upaya nafsu. Kemungkinan kebanyakan manusia tidak memperhitungkan bahawa daya upaya nafsu itu merupakan dosa. Apabila seorang murid bisa menjaga dirinya untuk tidak memperhatikan sejolak nafsu dan dia selalu berzikir (ingat kepada Allah) nescaya hatinya menyala kerana zikir itu dan jadilah hatinya sebagai kerahsiaan yang dijaga oleh Allah. Dalam keadaan begitu syaitan menjauhi daripadanya sejauh-jauhnya dan daya upaya nafsu syaitan pun menjauh pula daripadanya.


Yang masih bersama dengannya hanyalah kehendak-kehendak nafsu (yang lebih ringan). Dan ketika dalam keadaan begitu dia mudah berusaha memotong (menghancurkan) dan membersihkan kehendak-kehendak nafsu dengan memakai ukuran ilmu". "Dan mereka yang berjuang untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik".


(Surah Al Ankabut, 69)

Monday, October 03, 2011

Madu Itu Penawar


Madu adalah merupakan penawar bagi pelbagai jenis penyakit. Keistimewaan madu lebah telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud "Daripada perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya sebagai PENAWAR bagi manusia", (An-Nahl:69). Madu lebah juga mengandungi Vitamin B1, B2, B3, B5  dan Vitamin C di samping pelbagai zat logam seperti magnesium, potasium, kalsium, sodium, klorin, belerang dan zat besi.  Pakar dari Poland memberitahu persidangan bahawa madu lebah berkesan dalam merawat Penyakit Buasir, Penyakit Kulit dan Penyakit Puan.

Maka tidak hairanlah jika orang yang mempunyai lebih dari satu isteri itu dikatakan bermadu. Madu sememangnya manis dan disukai pelbagai lapisan usia. Banyak perumpamaan menggunakan perkataan madu untuk menggambarkan kemanisan dan keindahan sesuatu perkara itu.

Yang selalu kita dengar ialah Madu Yang Diberi, Tuba Yang Dibalas. Ertinya hendaklah kita menghargai perbuatan atau pemberian seseorang itu dengan sebaiknya. Janganlah pula membalas kebaikan itu dengan kejahatan ataupun kemudaratan. Mungkin pemberiannya itu tidaklah seberapa nilainya. Namun penghargaan yang diberi akan membuatkan ikatan kasih sayang akan kekal utuh.


Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa tingkah laku kita itu boleh melukakan hati orang lain. Kerana itulah peri pentingnya rakan disekeliling yang dapat membantu kita dan bukan menjahanamkan kita. Setiap perbuatan itu memerlukan gerak kerja dari diri kita sendiri. Samada perbuatan itu baik atau buruk, diri kitalah yang akan menggerakkannya. Tidak perlulah kita menuding jari kepada pihak lain. Sebaliknya muhasabahlah diri sendiri semoga kita tidak terlambat. Jangan sampai nanti orang kata NASI DAH JADI BUBUR.

Musnahnya Sebuah Janji


Pepatah melayu ada mengatakan Lembu Berpegang Pada Tali, Manusia Berpegang Pada JANJI. Betapa indahnya susunan bahasa kita. Penuh dengan mesej dan makna yang amat mendalam. Hari ni aku nak bercerita berkenaan kepentingan sebuah janji untuk kekal dipegang. Kita sering menyebut "InsyaAllah" untuk memuaskan hati pihak lain contohnya apabila menerima undangan kenduri. Tapi sedarkah kita bahawa perkataan itu merupakan sebuah janji yang harus kita penuhi jika tiada sebarang keuzuran? Janganlah kita menyalahgunakan sesuatu perkataan itu hanya untuk kepentingan diri. Pada masa yang sama kita tidak pernah ingin memenuhi janji itu.

Pada aku janji itu adalah merupakan satu amanah yang wajib kita pegang dan penuhi. Janji itu merupakan satu kepastian yang kita berikan agar pihak yang satu lagi yakin dan percaya kepada kita. Betapa besarnya kesan janji itu.

Orang yang bercinta juga tidak lekang bibirnya menitip janji-janji manis buat pasangan kekasihnya. Janji untuk kekal sehidup sematilah. Janji untuk setialah. Janji untuk jujurlah. Wah....indah sungguh telinga yang mendengarnya.

Namun, apakah nilai sebuah perhubungan itu jika janji itu hanya indah pada mulut semata, tapi tidak pernah dipenuhi langsung? Ataupun janji itu telah dimungkiri? Maka akan musnahlah kepercayaan pada pemungkir janji itu. Bagi orang yang bercinta, mungkin akan terputuslah sebuah ikatan. Adakah perpisahan akan terjadi?

Sunday, October 02, 2011

Siapa tokoh pejuang kemerdekaan tulen?

Sudah tentu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan ialah mereka yang berjuang ke arah membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah oleh kuasa penjajah, dan nilai-nilai negatif yang terdapat dalam masyarakat negara itu yang mencengkam, mengongkong dan membelenggu minda masyarakat tadi.

Selalunya kuasa penjajah dan nilai-nilai negatif itu akan menjajah masyarakat dan negara secara fizikal, mental, spiritual dan moral dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Oleh yang demikian, apabila dikatakan kuasa penjajah, ia bukan sahaja merujuk kepada kuasa penjajah secara fizikal seperti kuasa-kuasa kolonial Barat iaitu Portugis, Belanda, Inggeris dan kuasa kolonial Timur iaitu Jepun.

Akan tetapi, ia juga merujuk kepada penguasaan suatu nilai dalam satu budaya dan masyarakat yang menindas dan mengongkong minda serta "Worldview" masyarakat itu. Secara mudahnya dapatlah disimpulkan pola-pola dan nilai-nilai penjajahan yang wujud dalam sejarah masyarakat Malaysia sebagaimana berikut.

1. Kedatangan kuasa-kuasa penjajah ke alam Melayu seperti kuasa Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Kedatangan kuasa-kuasa itu menguasai, mengongkong, menindas dan memeras kehidupan anak-anak tempatan dari segi politik, ekonomi dan sosial demi kepentingan hegemonisme kuasa masing-masing.

2. Secara mental dan spiritualnya, kuasa-kuasa penjajah tadi menyogok dan menakluki pemikiran dan jiwa masyarakat tempatan dengan suatu falsafah bahawa bangsa penjajah adalah "superior" dan bangsa yang dijajah adalah "inferior".

Falsafah demikian boleh mewujudkan anak tempatan kehilangan kayakinan diri dan boleh digolongkan dalam istilah "the captive mind" atau orang-orang yang terjajah pemikirannya. Kewujudan era perang dingin selepas peperangan dunia ke II di antara blog liberal Barat dan blog Komunis turut memperhebatkan lagi ciri-ciri penjajahan minda ini ke atas Worldview masyarakat dunia yang dijajah termasuk masyarakat Malaysia.

Ciri-ciri penjajahan minda dalam era ini wujud dalam bentuk yang lebih sofistikated lagi. Kemudiannya pula dalam era kini apabila wujud kuasa tunggal dunia iaitu gabungan kuasa Amerika Syarikat dan Inggeris selepas kejatuhan empayar Kesatuan Soviet dalam penghujung abad ke-20, maka pola politik, ekonomi dan sosial dunia banyak pula dijalurkan oleh gabungan kuasa Hegemoni ini.



Masyarakat Malaysia turut merasai bahang kerakusan fizikal, mental, moral dan spiritual tindakan kuasa Neo Kolonialisme tadi.

3. Kesinambungan nilai-nilai saikologikal feudalisme dalam masyarakat Melayu kini. Maksud saikologikal feudalisme di sini ialah wujudnya pemikiran dan jiwa masyarakat yang setia melulu kepada badan-badan, nilai-nilai dan personalit-personaliti tertentu. Kesetiaan demikian akan melahirkan ciri-ciri tertentu pula. Antaranya ialah sebagaimana berikut:

a. Membela yang salah dan menghukum yang benar.
b. Masyarakat yang terlalu mementingkan upacara (ceremonial) sehingga mengatasi sesuatu objektifnya.
c. Wang pemimpin dan wang badan atau negeri tidak ada garis pemisah yang jelas.
d. Wujud kepercayaan tahayul yang kuat dalam masyarakat.
e. Masyarakat yang mementingkan ciri-ciri kepahlawanan dan kekuatan lebih daripada keilmuan dan kebenaran.

Nilai-nilai ini berpokok-pangkal daripada masyarakat Melayu tradisional dahulu. Nilai-nilai ini juga mencengkam dan mengongkong pemikiran serta jiwa Melayu. Kewujudan nilai-nilai ini dalam masyarakat kini ialah dalam bentuk dan rupa yang baru. Kewujudan nilai-nilai ini turut pula mempolarisasi minda dan bentuk politik, ekonomi dan sosial bangsa. Pada penulis nilai-nilai ini turut menjajah pemikiran dan jiwa Melayu sehingga wujudnya ramai orang-orang Melayu yang masih belum merdeka pada erti kata yang sebenarnya.

Walaupun Malaya diisytihar merdeka dalam tahun 1957 dan Malaysia dalam tahun 1963, akan tetapi justeru kerana wujudnya pula pola dan nilai-nilai tadi berterusan dalam masyarakat dan negara, maka hakikat kemerdekaan masyarakat kita yang sebenarnya masih boleh dipersoalkan lagi.

Berasaskan kepada pola-pola dan nilai-nilai di atas timbul persoalan di sini siapa sebenarnya tokoh-tokoh yang berjuang kearah memerangi pola-pola dan nilai-nilai negatif demikian?

Pendudukan kuasa penjajah penjajah di Malaysia mulai tahun 1511 memberi impak kepada wujudnya ciri-ciri kebangkitan masyarakat Melayu menentang kuasa kolonial tadi. Kebangkitan-kebangkitan ini mengalami kesinambungannya, semenjak kedatangan kuasa penjajah Portugis(1511) sehingga tahun 1957. Secara ringkasnya dapat kita lihat siri siri kebangkitan ini sebagaimana berikut.

1. Kewujudan empayar Johor/Riau/Lingga sebagai suatu menifestasi penentangan masyarakat Melayu terhadap pendudukan kuasa Portugis di Melaka. Kewujudan empayar ini bermula pada awal abad ke-16 dan berakhir dalam awal abad ke-19 dengan termeterainya Perjanjian London (1824).

2. Kebangkitan tokoh-tokoh tradisional Melayu Dol Said (Tok Naning) di Melaka, Mat Kilau/Datuk Bahaman/Tok Gajah di Pahang, Datuk Maharajalela/Puntung di Perak dalam abad ke-19 dan Haji Hassan (Tok Janggut) di Kelantan serta Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dalam awal abad ke-20.



3. Kebangkitan ulama-ulama reformis yang dikenali dengan panggilan ulama-ulama kaum muda Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Alhadi, Haji Abas Taha dalam awal abad ke-20 sehingga perang dunia ke II dengan fokus perjuangannya ke arah mengislahkan pemikiran Islam masyarakat Melayu dengan terselit juga semangat anti-kolonial dan cogan kata kearah Pan Islamisme.

4. Kebangkitan aliran Nasionalisme progresif di bawah pimpinan Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al Helmy, Ahmad Boestaman dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan perjuangan ke arah kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Indonesia Raya dan secara maksudnya juga perjuangan mereka kearah menentang nilai-nilai saikologikal feudalisme dan sikap kapitalisma serta oportunisma rakus. Perjuangan mereka ini dapat dilihat melalui badan-badan Politik Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), KRIS, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

5. Kebangkitan puak-puak progresif dalam nisbah konservatisma anak-anak aristokrat feudal bermula dengan penentangan menentang Malayan Union di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar, Dato Abdul Razak Hussin, Capt Hussein Onn dan kemudian membawa kepada wujudnya UMNO dan seterusnya Independence Malayan Party (IMP) dan parti negara (Dato Abdul Razak kekal dalam UMNO kecuali Dato Onn dan Capt Hussein Onn menyertai IMP dan parti negara seterusnya).



Siri-siri kebangkitan ini kalaulah dilihat dalam konteks Worldview perjuangan dalam era masing-masing menampakkan wujudnya kepelbagaian warna. Kewujudan kepelbagaian Worldview inilah yang perlu dianalisa berasaskan kepada pola-pola dan nilai-nilai yang penulis rencanakan pada bahagian awal tadi.

Pendekatan demikian diambil demi untuk membuat suatu kesimpulan siapa sebenarnya pejuang-pejuang kemerdekaan tulen. Sifat ketulenan inilah yang sepatutnya menjadi inspirasi dan ikutan kepada generasi kini sebagai suatu paradigma untuk mentransformasikan bangsa Malaysia tercinta dalam bidang politik, ekonomi dan sosial demi menghadapi realiti persoalan masyarakat kini dan gelombang arus globalisasi yang penuh dengan pancaroba ini.

Generasi kini yang Patriotis semestinya merasa bangga dengan wujudnya kebangkitan empayar Johor/Riau/Lingga mulai awal abad ke-16 hingga awal abad ke-19 sebagai suatu menifestasi penentangan umat Melayu terhadap pendudukan kuasa Portugis dan kuasa Belanda di Melaka.

Kebangkitan ini perlu dihormati oleh kita kini justeru kerana ia menunjukkan bahawa nenek moyang kita ada mempunyai maruah dalam konteks tidak rela bangsa dan negara tercinta dijajah dan dizalimi oleh kuasa-kuasa penjajah. Pun demikian kalaulah dinilai dari segi matlamat perjuangannya ke arah mengristorasikan kewujudan sistem pemerintahan raja yang mutlak, maka banyak pula persoalan yang boleh ditimbulkan dalam konteks kini.

Sudah tentu sistem demikian adalah 'outdated' dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia dan prinsip keadilan itu sendiri. Demikian juga kalau kita lihat kepada matlamat pokok perjuangan kebangkitan Tok Naning di Melaka, Dato Bahaman/Mat Kilau/Tok Gajah di Pahang, Dato Maharajalela/Puntung di Perak, Tok Janggut di Kelantan dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dalam penentangan mereka menentang kuasa kolonial Inggeris di negeri masing-masing.



Mungkin kebangkitan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu ada sedikit kelainannya dari segi matlamat. Kelainan ini wujud justeru kerana jiwa ulamanya. Akan tetapi persoalannya apakah Worldview dan persepsi politik Islamnya sejajar dengan Worldview politik Islam yang didokong oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu.

Penulis berpendapat masih banyak kekaburan kalaulah Worldview perjuangan Islam Haji Abdul Rahman Limbong hendak dianalisakan dari sudut itu. Apa yang dapat dilihat ciri-ciri jiwa kebangkitan tokoh-tokoh pejuang bangsa dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 dalam menentang kuasa kolonial Inggeris masih di selang-seli dengan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai saikologikal feudalisme dan dokongan mereka terhadap sistem pemerintahan raja yang mutlak. Perjuangan demikian walaupun cocok dalam konteks budaya Melayu pada masa itu akan tetapi meleset kalaulah dilihat dalam konteks arus globalisasi kini.

Kebangkitan ulama-ulama kaum muda dalam awal abad ke-20 sehingga perang Jepun dengan ada juga menyentuh semangat anti-kolonial dan kearah gagasan Pan Islamisme memang enak didengar. Akan tetapi pada penulis dalam konteks periodisasi tadi dimana semangat nasionalisme sedang membara di seluruh alam Islami dengan persoalan negara bangsa masing-masing apakah gagasan ini mampu direalisasikan?

Lebih-lebih lagi pula umat Islam pada keseluruhannya pada masa itu tidak bersatu dan berpecah-belah atas persoalan berlainan mazhab dan persoalan-persoalan khilafiyah agama yang banyak.

Era mulai tahun 1930 sehingga tahun 1957 di Malaysia adalah penuh dengan pergolakan anti-kolonial dan persoalan persepsi politik dan ideologikal. Dalam era inilah muncul tokoh-tokoh nasionalis yang datang daripada pelbagai latar belakang keluarga dan pendidikan yang kemudian mencorak Worldview perjuangan masing-masing.

Pada umumnya kebangkitan semangat nasionalisme Melayu dalam era ini kalaulah hendak dikategorikan dalam konteks ideologikal terbahagi kepada 3 kumpulan besar.

1. Kumpulan nasionalisme kiri (istilah kiri ini ialah istilah penjajah) yang progresif.

2. Kumpulan nasionalisme kanan (istilah kanan ini istilah penjajah).

3. Kumpulan madrasah dan pondok yang dipimpin oleh ulama-ulama.

Kumpulan Nasionalisme Kiri yang progresif

Kumpulan ini mewujudkan parti politik KMM (1937), KRIS, PKMM, API dan AWAS (kesemuanya dalam tahun 1940-an). Gabungan PKMM, API dan AWAS mewujudkan PUTERA (juga dalam tahun 1940-an)

Kumpulan Nasionalisme Kanan

Wujud parti politik sebagai wadah perjuangan kearah kemerdekaan dikalangan kumpulan ini berlaku selepas suatu kebangkitan perhimpunan Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar menentang Malayan Union kuasa Inggeris dalam tahun 1946.

Parti ini yang dikenali dengan nama UMNO pada umumnya dipimpin oleh anak-anak aristocrat feudal. Kemudian UMNO berpecah dan ujud IMP dan seterusnya parti negara.

Dalam UMNO juga muncul PAS dalam tahun 1952 apabila keluar kumpulan agama dalam parti itu yang dipimpin oleh Haji Ahmad Fuad (parti PAS ini kemudiannya dipimpin oleh Dr Hj Abas sekejap dan seterusnya anggota parti itu mempelawa Dr Burhanuddin Al Helmi untuk memimpin parti ini. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmi parti ini lebih dekat kepada kumpulan Nasionalisme Kiri yang progresif).

Kumpulan Madrasah dan Pondok

Kumpulan ini menubuhkan sebuah parti politik dalam tahun 1947 bernama Hizbul Muslimin di bawah pimpinan Haji Abu Bakar Al Baqir. Kebangkitan kumpulan ini disokong oleh Dr Burhanuddin Al Helmi akan tetapi ditentang oleh Dato Onn Jaafar pemimpin Nasionalisme Kanan. Usia parti ini singkat kerana diharamkan oleh kuasa Inggeris.

Semangat Nasionalisme dan tuntutan kearah kemerdekaan negara bangsa di Asia sedang membara dan memuncak dalam tahun-tahun 1940-an.

Hakikat ini dapat dilihat di India, Burma, Indonesia dan Filipina. Kebangkitan-kebangkitan ini membimbangkan dan menakutkan kuasa-kuasa penjajah.

Di Malaysia dalam konteks kepartian KMM lah yang memulakan perjuangan kearah kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Indonesia Raya. Selepas pengharaman KMM oleh kuasa Inggeris, semangat ini diteruskan oleh PKMM, API dan AWAS.

Kebangkitan dan keberanian pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri ini patut diberi pujian yang tinggi kerana dalam era ini ramai anak-anak Melayu terutama anak-anak aristokrat feudal yang menduduki dalam birokrasi kuasa Inggeris masih lena dan selesa berada di bawah kuasa penjajah itu.

Mereka juga tidak yakin Melaya mampu merdeka. Kebangkitan puak-puak Nasionalisme Kiri yang progresif ini dipimpin oleh Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako).

Kebangkitan mereka ini merisaukan kuasa Inggeris. Lebih-lebih lagi apabila melihat personaliti dan Worldview tokoh-tokoh pejuang ini yang sangat tidak cocok dengan jiwa Hegemonisma mereka.

Menyedari bahawa adalah suatu yang mustahil untuk menyekat arus Nasionalisma Melayu dalam tahap ini dan melihat pula ujudnya kebangkitan anak-anak Aristokrat feudal yang progresif yang pula mendapat latar belakang pendidikan di London seperti Dato Onn Jaafar mulai tahun 1946, maka kuasa Inggeris di Malaya berusaha mengatur strategi baru ke arah mewujudkan senario yang berbeza dalam arus kebangkitan nasionalisme Melayu seterusnya.

Strategi ini dibuat dengan percubaan kuasa Inggeris mengenepikan tokoh-tokoh kiri yang progresif ini melalui pengharaman parti-parti nasionalisme kiri dan penangkapan pemimpin-pemimpin mereka. Pemimpin-pemimpin ini pula diberi imej kiri dan pro-komunis melalui media massa kuasa Inggeris yang menguasai penyebaran berita dan maklumat pada masa itu.

Strategi untuk mewujudkan senario baru dalam kebangkitan nasionalisme Melayu ini lebih dirasakan oleh kuasa Inggeris khususnya selepas tahun 1950, apabila disedari bahawa mahu tidak mahu Malaya mesti diberikan kemerdekaan dalam waktu-waktu yang terdekat. Kesedaran ini timbul di kalangan pihak kolonial Inggeris apabila melihat pula kepada faktor-faktor berikut.

1. Kejayaan masyarakat Melayu bersatu baik kumpulan kanan, kumpulan kiri dan kumpulan madrasah dan pondok untuk menentang gagasan Malayan Union Inggeris dalam tahun 1946 di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar.

2. Kejayaan negara-negara di Asia mencapai kemerdekaan dalam tahun-tahun 1940-an lebih-lebih lagi Indonesia, benar-benar membuka mata ramai orang-orang Melayu ke arah menuntut kemerdekaan.

3. Perjuangan anggota PKM dalam hutan menentang kuasa Inggeris mulai tahun 1948 menampakkan ada juga sokongan anak-anak Melayu. Tidak mustahil sekiranya kuasa Inggeris menangguh-nangguh dan melambatkan pemberian kemerdekaan kepada Malaya maka ramai lagi orang-orang Melayu yang kecewa dan tidak sabar dengan kuasa Inggeris akan memberi sokongan pula kepada gerakan-gerakan nasionalisme kiri yang progresif dan gerakan PKM yang bergerak secara militan di dalam hutan (PKM pada masa itu sudah pun mendapat sokongan ramai orang-orang Cina).

Gabungan faktor-faktor di atas dan dengan faktor kemunculan anak Aristokrat feudal Dato Onn Jaafar yang mempunyai latar belakang pendidikan Barat dengan Worldview beliau yang banyak cocok dengan orientasi Barat serta pula mempunyai daya karisma yang tersendiri (daya karisma beliau ini terbukti dengan kebangkitan masyarakat Melayu di bawah seruan dan pimpinannya menentang gagasan Malayan Union).

Kuasa Inggeris mulai nampak pola nasionalisme kiri yang menguasai arus nasionalisme Melayu dalam tahun 1940-an boleh dicorak ke arah dominasi kumpulan nasionalisme kanan seterusnya. Pada kuasa Inggeris pola nasionalisme demikian penting dibentuk apabila kuasa kolonial ini mulai awal tahun 1950 an menyedari bahawa kuasanya tidak dapat bertahan lama lagi di Malaya.

Mahu tidak mahu kuasanya terpaksa menyerahkan kemerdekaan kepada Malaya dalam masa yang terdekat. Pada kuasa Inggeris Malaya di bawah pimpinan tokoh nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar selepas merdeka kelak lebih menjamin keselamatan ekonomi mereka berbanding dengan Melaya merdeka di bawah kuasa kepimpinan puak-puak kiri yang progresif.

Justeru kerana itu kuasa Inggeris mengatur strategi ke arah pembinaaan imej pemimpin-pemimpin nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar. Strategi Inggeris ini membantu kearah memberi laluan yang lebih mudah kepada pemimpin nasionalisme kanan untuk menguasai dan mendominasi perjalanan nasionalisme Melayu bermula selepas perlaksanaan perlembagaan persekutuan tahun 1948.

Oleh kerana hasrat Dato Onn Jaafar dalam awal tahun 1950-an hendak menjadikan UMNO parti yang benar-benar bersifat nasional dengan membuka keahliannya kepada yang bukan Melayu yang sudah pun menjadi rakyat pada waktu itu dan oleh kerana hasrat itu ditolak oleh ahli-ahli UMNO, maka UMNO seterusnya mengalami perubahan kepimpinan.

Perubahan berlaku apabila Dato Onn Jaafar berkeras dengan hasratnya itu dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Kekosongan jawataan yang tertinggi dalam UMNO ini kemudiannya diisi oleh Tunku Abdul Rahman Putra melalui proses perlembagaan parti. (Dato Onn keluar UMNO dan menubuhkan IMP dan seterusnya Parti Negara).

Perubahan pucuk pimpinan parti UMNO dan kemenangan besar UMNO dalam pilihan raya tahun 1952 (pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur) dan dalam tahun 1955 (pilihan raya umum Malaya) mengalah parti Dato Onn dalam gabungan semangat ketiga-tiga bangsa Melayu, Cina dan India dalam konteks yang berbeza daripada IMP iaitu gabungan 'Inter Party' UMNO/MCA/MIC tidak juga membimbangkan kuasa kolonial Inggeris. Ketidak bimbangan ini juga ujud di kalangan kuasa kolonial Inggeris apabila melihat latar belakang keluarga pendidikan dan Worldview umum Tunku Abdul Rahman tidaklah jauh sangat berbeza daripada Dato Onn.

Kebijaksanaan Tunku seterusnya dari segi diplomasi dan perundingan dengan kuasa Inggeris menyebabkan Malaya (1957) dan seterusnya Malaysia (1963) mencapai kemerdekaan.

Memang kuasa kolonial Inggeris licik dalam mengatur strategi politik kearah menjaga kepentingannya di tanah jajahan ini. Cara dan pendekatannya dalam soal ini tidak ubah seperti memberi makanan yang enak-enak kepada musuhnya. Akan tetapi disebalik makanan tadi ada pula racun arseniknya yang begitu berbisa. Racun arsenik ini pula boleh membunuh manusia secara perlahan-lahan tanpa disedari oleh bangsa kita. Demikianlah nasib bangsa kita di bawah penjajahan Inggeris, disamping ada menerima elemen elemen positif daripada kuasa penjajah itu secara kebetulan, banyak pula menerima elemen elemen yang memusnah dan mematikan jiwa Melayu.

Elemen elemen yang negatif ini masih wujud dalam masyarakat kita sehingga kini. Kelicikan kuasa Inggeris ini sangat berbeza dengan pendekatan dan strategi kuasa kolonial Belanda dan kuasa hegemonisme komunis Soviet Union.

Hakikat ini dapat dilihat dengan pendekatan dan strategi kuasa Inggeris di negeri-negeri Melayu dan pendekatan serta strategi kuasa Belanda dalam skima penjajahannya di Indonesia.

Pendekatan kuasa Inggeris untuk mencapai cita-cita penjajahannya di negeri negeri Melayu Bersekutu dan di negeri negeri Melayu tidak Berasekutu ialah dengan menjajah dan memerintah melalui meresap masuk kuasa itu dalam sistem politik Melayu dengan mengekalkan institusi kesultanan di peringkat tertinggi dari segi De Juri. Manakala realiti kuasa politik dan pentadbiran di sebalik De Juri institusi kesultanan dan pembesar-pembesar Melayu diambil oleh penasihat Inggeris atau 'British Resident' atas nama dan istilah sebagai penasihat.

Sedangkan pada realiti atau De Factonya apa yang di nasihati oleh penasihat Inggeris atau 'British Resident' mesti diikuti oleh sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Sebaliknya pula kuasa kolonial Belanda menjajah dan memerintah Indonesia melalui mengubah sistem politik dan nilai-nilai pribumi. Oleh itu kita lihat di negeri-negeri Melayu bersekutu (Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak) dan di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu (Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu) dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 tidak timbul penentangan masyarakat Melayu tempatan secara besar-besaran dan merata.

Sebaliknya pula kita lihat rakyat di Jawa dan di Sumatera menentang kuasa Belanda secara nisbinya jauh lebih hebat dan terbuka berbanding dengan apa yang berlaku di negeri-negeri Melayu bersekutu dan di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu. Kuasa Inggeris juga licik dalam melaga-lagakan di kalangan orang-orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu demi untuk mengelakkan perpaduan dan kerjasama di antara orang-orang Melayu dengan orang-orang bukan Melayu terutamanya orang-orang Cina. Dengan cara taktik demikian kuasa kolonial Inggeris akan sentiasa menjadi perlu dan relevan untuk terus memerintah di Malaya secara De Fakto.

Latar belakang sejarah permainan sepak terajang politik kuasa Inggeris secara halus inilah yang perlu di analisa sebelum kita membuat suatu kesimpulan tentang sesuatu kebangkitan dalam perkembangan nasionalisme di Malaysia. Permainan jahat politik kuasa kolonial Inggeris ini difahami oleh puak-puak nasionalisme kiri yang progresif di Malaysia.

Lebih-lebih lagi pemimpin dan anggota PKM. Justeru kerana itu pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri di Malaysia dan pengikut-pengikut mereka menganggap kepimpinan nasionalisme kanan Malaysia termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan anggota-anggota polis pada awal tahun 1950-an sebagai alat dan boneka kepada kuasa penjajah.

Atas dasar inilah ujudnya serangan dan pembakaran balai polis bukit kepong dalam tahun 1950 oleh anggota PKM dengan disertai orang-orang Melayu kiri termasuk Mat Indra. Penglibatan Mat Indra dalam peristiwa yang menyedihkan ini adalah ekoran daripada manifestasi kemarahan yang amat sangat orang-orang Melayu kiri kepada kuasa Inggeris. Kemasukan tokoh-tokoh Melayu seperti Musa Ahmad, Abdullah CD, Rashid Maidin, Samsiah Fakeh dan lain-lain kedalam hutan bersama-sama dengan kepimpinan dan anggota PKM untuk menentang kolonial Inggeris adalah ekoran daripada terlalu benci dan marah dengan kejahatan kuasa kolonial itu.

Akan tetapi malangnya kemarahan mereka terhadap kuasa Inggeris telah dapat digunakan dan dimanipulasi oleh PKM yang pula didalangi oleh gerakan komunis antarabangsa yang juga mempunyai sifat hegemoni.

Justeru kerana itu kalaulah dianalisa dalam perspektif yang adil peristiwa serangan bukit kepong yang melibatkan Mat Indra di satu pihak dengan Kopral Jamil dan lain-lain anggota polis di pihak lain boleh diibaratkan seperti pelanduk lurus bendul (dalam perspektif politik percaturan kuasa kuasa besar dunia antara blok liberal barat dengan blok kesatuan Soviet) berperang sama pelanduk lurus bendul dan kemudian kedua-duanya mati di tengah-tengah dan di celah-celah kedua-dua gajah yang hegemonis yang sedang bertarung dengan menggunakan pelanduk-pelanduk di pihak masing-masing tadi (Kopral Jamil dan ramai polis-polis serta isteri isteri dan anak mati dalam peristiwa serangan komunis di bukit kepong itu.

Mat Indra salah seorang yang mengepalai serangan itu juga dalam masa yang lain turut mati dibunuh oleh tentera gurka bagi pihak kuasa kolonial Inggeris).

Inilah salah satu episod tragis dan menyedihkan dalam perkembangan arus kebangkitan nasionalisme Malaysia. Episod ini gagal dianalisa secara adil oleh ramai ahli-ahli politik dan lebih menyedihkan lagi ialah beberapa tokoh-tokoh sejarah dan ahli akademik menara gading Malaysia.

Penulis berpendapat kegagalan orang-orang yang arif dalam menganalisa peristiwa serangan ini ialah kerana faktor dalaman masing-masing yang pada hakikatnya hanya Allah SWT dan diri mereka sahaja yang tahu.

Pejuang-pejuang nasionalisme seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan rakan-rakan kiri yang progresif yang tidak menyertai PKM nampaknya bebas daripada kedua-dua kuasa hegemoni tadi. Mereka juga marah kepada nilai-nilai saikologikal feudalisme yang mengongkong 'Worldview Melayu'.

Demikian juga mereka tidak boleh kompromi dengan kapitalis rakus dan oportunis rakus. Sebaliknya pula pemimpin-pemimpin nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, dan Dato Abdul Razak Hussen dan Kapten Hussein Onn walaupun mereka berjuang untuk kemerdekaan tanah air daripada kuasa kolonial Inggeris akan tetapi dari segi perspektif dan Worldview mereka banyak terikat dengan nilai-nilai Barat.

Walaupun pemimpim-pemimpin nasionalisme kiri yang progresif tidak bersetuju dengan nilai-nilai saikologikal feudalisme akan tetapi atas dasar memahami latar belakang sejarah dan budaya Melayu dalam konteks Malaysia mereka tetap mendokong konsep raja berpelembagaan. Dalam isu ini mereka tidak berbeza dengan perjuangan pemimpim nasionalis kanan.

Satu perkara yang perlu juga disentuh di sini ialah tentang perjuangan pemimpim-pemimpin nasionalisme kiri dalam penghujung tahun 1930-an dan tahun tahun 1940-an kearah kemerdekaan Melaya dalam linkungan Indonesia Raya.

Mungkin ramai dikalangan generasi kini merasa aneh dengan perjuangan demikian, akan tetapi kalaulah dilihat kepada sejarah dan semangat jiwa Melayu Islam nusantara, perjuangan demikian ada asas sejarahnya. Sejarah telah memberitahu kepada kita bahawa perpecahan Melaya dengan Indonesia dari segi geopolitiknya ialah bermula dengan perpecahan empayar Johor/Riau/Lingga, akibat permainan dan percaturan politik dan ekonomi di antara Inggeris dan Belanda melalui perjanjian London (1824).

Pun demikian menyedari tentang realiti politik di Malaya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan menyedari susahnya Malaya untuk mencapai kemerdekaan nasional tanpa kerjasama dengan bangsa-bangsa lain maka PUTERA (gabungan PKMM, API dan AWAS) semasa di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmi mengorak langkah kearah berunding dengan AMCJA dibawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Usaha ini merupakan satu fenomena menarik dalam konteks sejarah kerjasama bangsa Melayu dengan bangsa yang lain kearah menuntut kemerdekaan di Malaya. Kerjasama demikian merupakan langkah pertama dalam sejarah parti-parti politik di Malaysia kearah bergabung dan bekerjasama di antara parti Melayu dengan parti bukan Melayu.

Namun demikian oleh kerana langkah demikian diusahakan oleh kumpulan nasionalisme kiri Melayu, maka ia tidak mendapat sokongan moral dan kerjasama dari kuasa Inggeris.

Berdasarkan pada fakta-fakta sejarah, perjuangan parti-parti politik yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasionalisme kiri yang progresif, secara kronologinya dapat dilihat bahawa tokoh-tokoh nasionalisme inilah yang sebenarnya mula meletakkan tapak perjuangan ke arah kemerdekaan nasional, sehingga kemudian timbul kesedaran di kalangan orang-orang Melayu seterusnya kearah cita-cita murni ini.

Pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri yang progresif ini juga menampakkan gigih berjuang walaupun terpaksa meringkuk dalam penjara kolonial Inggeris. Malangnya pola sejarah nasionalisme Melayu yang didominasi oleh parti-parti haluan kiri dalam penghujung tahun 1930-an dan tahun tahun 1940-an telah berubah kepada penguasaan tokoh-tokoh anak-anak aristokrat feudal dalam tahun-tahun 1950-an justeru kerana permainan politik kuasa kolonial Inggeris sebagaimana yang sudah dinyatakan.

Ironinya tokoh-tokoh nasionalisme kiri yang jauh lebih awal berjuang dan bersedia bergadai nyawa dan kepentingan keluarga menentang kuasa kolonial Inggeris demi untuk kemerdekaan tanah air, seterusnya mengalami tragedi yang sama pula selepas Malaya dan Malaysia mencapai kemerdekaan. Fakta sejarah telah menunjukkan mereka iaitu Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad selepas Malaya dan seterusnya Malaysia mencapai kemerdekaan sekali lagi pula disumbat dalam penjara oleh kerajaan perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman di bawah akta ISA dengan alasan-alasan yang boleh dipersoalkan.



Antara yang paling menderita ialah Dr Burhanuddin Al Helmi yang justeru kerana ditahan dalam keadaan kesihatan yang kurang baik menyebabkan penyakitnya itu bertambah kronik semasa dalam penjara, sehingga kemudiannya beliau dihantar oleh kerajaan ke Australia untuk berubat.

Selepas beliau dibebaskan daripada tahanan ISA dan selepas pulang ketanah air dari Australia beliau kemudiannya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Nyata pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri yang meletak asas perjuangan ke arah kemerdekaan tanah air telah mengalami tribulasi demi tribulasi samada sebelum negara merdeka atau pun selepas negara merdeka.

Inilah hadiah penjara yang dianugerahkan oleh negara merdeka Malaysia kepada mereka selepas begitu lama mereka dan keluarga masing-masing sengsara berjuang di bawah kolonial Inggeris. Demikianlah satu lagi episod kesengsaraan dan kepedihan yang terdapat dalam arus perkembangan nasionalisme Malaysia.

Demi kerana prinsip kebenaran sejarah, penulis tidak boleh menafikan juga peranan tokoh-tokoh nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Dato Abdul Razak Hussen, Dr Ismail Abdul Rahman dan Kapten Hussein Onn dalam memberi sumbangan kearah kemerdekaan Malaya tahun 1957 dan kemerdekaan Malaysia tahun 1963.

Kalaulah Dato Onn Jaafar memain peranan besar dalam memimpin masyarakat Melayu menentang gagasan Malayan Union dan Tunku Abdul Rahman pula berjaya memperolehi kemerdekaan negara, Tun Abdul Razak Hussen pula telah menunjukkan suatu khidmat cemerlang zaman era perdana menterinya dalam mengisi kemerdekaan dengan mewujudkan falsafah negara iaitu rukun negara dan dasar nasional negara seperti dasar luar negara yang neutral, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan nasional dan dasar pembangunan luar bandar.

Walaupun ada kelemahan-kelemahan tertentu dalam zaman pemerintahannya akan tetapi sejarah tidak boleh menafikan beliau bersama-sama dengan rakan-rakan politiknya baik tokoh-tokoh kanan maupun tokoh-tokoh kiri, benar-benar meletakkan asas pembangunan negara kearah kecemerlangan.

Sayang usaha gigih dan baik Tun Abdul Razak Hussein ini kemudiannya selepas era pengharaman UMNO dan perlaksanaan dasar pengswastaan negara, kita telah mengalami keadaan yang penuh haru biru dan krisis dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kehakiman, pendidikan, moral dan lain-lain.

Penutup

Fakta-fakta sejarah di atas boleh memandu kita dalam menentukan hala tuju jiwa merdeka negara seterusnya. Kebangkitan tokoh-tokoh nasionalisme kiri progresif dalam tahap awal cuba meletakkan platfom nasionalisme di atas prinsip keadilan politik, ekonomi dan sosial yang berpaksi kepada pembelaan terhadap kaum Marhaen seperti kaum buruh, nelayan, petani dan mereka yang berpendapatan kecil.

Nasionalisme mereka menuntut jiwa keislaman yang tinggi dan tidak boleh berkompromi dengan kaum kapitalis rakus, oportunis-oportunis rakus, nilai-nilai saikologikal feudalisme dan jiwa serta pemikiran 'The Captive Mind'.

Dalam konteks masyarakat Malaysia nasionalisme mereka bersifat "Multiracialist" dan dalam konteks politik antarabangsa sikap dan dasar mereka ialah bebas daripada dibelenggu oleh kuasa besar liberal Barat dan kearah negara Malaya dan Malaysia yang neutral di antara kuasa blok liberal barat dengan kuasa komunis Kesatuan Soviet dan tanah besar China.

Penulis berpendapat platfom nasionalisme demikian sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada kebangkitan jiwa merdeka kini.

Adalah menjadi kesilapan yang besar apabila peranan tokoh-tokoh nasionalisme kiri progresif seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan rakan-rakan seperjuangan di 'Blackout' oleh media massa kerajaan kini.

Sebagai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tulen yang mengasaskan kebangkitan nasionalisme di Malaysia. Idealisme dan peranan tokoh-tokoh ini sepatutnya di review kembali dalam penulisan sejarah semoga generasi kini boleh mengambil iktibar daripada falsafah politik mereka.

Lebih-lebih lagi tokoh Dr Burhanuddin selaku seorang ulama yang reformis, sufi, bersifat progresif, nasionalis dan multirasialis adalah suatu tokoh unik yang hebat.

Idealisme politik dan agamanya sekiranya dimanafaatkan mungkin boleh membantu kearah penyelesaian masalah dan dilemma dalam banyak hal yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh Islam kini dalam apa yang dikatakan era kebangkitan Islam dalam konteks realiti politik, ekonomi dan sosial dunia kini.

-----------------------------------------------

Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Hassan. Penulis adalah bekas pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM

Sumber: http://www.malaysiakini.com/letters/177476


Sent from my iPad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...