Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, May 17, 2012

Gejala LGBT dan Peranan Institusi Agama

Sejak akhir-akhir ini, gejala berkaitan isu cinta dan hubungan sejenis menjadi semakin ketara dalam kelompok masyarakat di negara ini. Ia sering menimbulkan pelbagai reaksi anggota masyarakat, malah menjadi punca kepada konflik sesama mereka. Hakikatnya, telah wujud sekelompok anggota masyarakat yang secara terang-terangan telah menerima dan mengakui diri mereka sebagai pengamal kepada aktiviti ini yang lebih dikenali sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT. Dalam menangani gejala ini, sudah pasti wujud di kalangan masyarakat yang membantah, mahupun yang menyokongnya, atau tidak berpihak kepada mana-mana puak. Namun bagi masyarakat yang berpegang kuat kepada ajaran agama, malah juga bagi kebanyakan mereka yang berpegang kepada nilai-nilai murni adat resam kehidupan, sudah pasti menolaknya dan melihat ia sebagai satu gejala yang tidak bermoral, menentang ajaran agama, dan menyalahi aturan fitrah dan tabi’i.

Agama Islam sudah jelas dan nyata dalam ajaran dan pendiriannya terhadap isu ini. Apa yang amat malang, terdapat semakin ramai umat Islam yang terlibat dalam gejala ini, malah tanpa segan serta bangga menjadi sebahagian dari kumpulan ini. Manakala bagi masyarakat yang majoriti datang dari dunia Barat dan negara yang telah lama maju, aktiviti LGBT dilihat bukanlah sebagai satu gejala atau penyakit, malah menjadi kesalahan pula jika menganggapnya sebagai satu gejala atau penyakit. Dalam masyarakat ini, aktiviti dan kehidupan LGBT merupakan satu pilihan peribadi. Pilihan ini perlu diiktiraf dan disokong oleh semua ahli masyarakat walau di mana mereka berada sebagai satu hak peribadi individu terbabit. Sebarang penolakan atau bantahan merupakan penafian terhadap hak asasi mereka yang mana akhirnya dilihat melanggar piagam Hak Asasi Manusia Sejagat. Sesuatu yang janggal juga di mana kumpulan yang membantah ini pula yang sebaliknya akan terus dicerca dan dipulaukan secara besar-besaran dan menerima tekanan demi tekanan dari kumpulan tertentu sehingga ke peringkat global.

Dari segi sejarahnya, kedudukan LGBT telah mula mendapat perhatian dunia perubatan dan kesihatan atas inisiatif Persatuan Psikiatri Amerika atau APA melalui satu manual kesihatan dan penyakit mental yang mereka terbitkan. Manual itu dikenali sebagai Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders atau DSM. Pada peringkat awal penubuhan manual ini iaitu pada tahun 1952, isu LGBT pada ketika itu lebih menjurus kepada perbincangan berkaitan homoseksualiti yang telah dikategorikan sebagai sejenis gangguan atau penyakit mental, di dalam klasifikasi penyimpangan psikoseksual, yang mengandungi beberapa gangguan identiti seksual lain termasuklah parafilias seperti fedofilia, fetisisme, seksual sadism dan lain-lain berdasarkan kepada naluri dan orientasi seksual yang abnormal individu terbabit.

Akibat dari keabnormalan yang dihidapi, ia mengakibatkan wujudnya rasa kebimbangan dan ketakutan individu terbabit yang akhirnya mengakibatkan tekanan dan penderitaan dalam kehidupan mereka. Ditambah pula dengan perasaan malu dan stigma yang tidak boleh diterima oleh mereka dari masyarakat pada ketika itu. Namun kedaan telah berubah apabila pada tahun 1974, pada revisi ketujuh manual tersebut bagi edisi kedua (DSM-II) ia telah mengeluarkan homoseksualiti daripada senarai kategori penyakit mental, walaupun tanpa sebarang justifikasi yang munasabah, baik dari sudut perubatan atau pun saintifik. Apa yang ada pada ketika itu hanyalah beberapa tekanan dan tuntutan-tuntutan dari puak pelobi hak asasi tertentu yang mewakili kumpulan gay dan homoseks. Usaha dan desakan mereka ini akhirnya membawa kepada kejayaan di mana ia akhirnya dikeluarkan dari senarai manual terbabit dan tindakan yang sama seperti ini disusuli pula oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Apa yang menarik, manual APA pada ketika itu hanyalah mengeluarkan terma atau istilah homoseksualiti sahaja, manakala pemahaman yang ada ialah ia tetap tidak mengiktiraf bahawa homoseksualiti itu adalah sesuatu yang normal atau bukan penyakit, memandangkan gangguan atau gejala homoseks itu telah secara tidak langsung digantikan sebagai “sexual orientation disturbance” dan istilah ini masih lagi wujud sehinggalah ke hari ini. Oleh yang demikian, sebarang bentuk gangguan atau penyakit perlu kepada intervensi tertentu dan rawatan bagi memulihkannya, dan tidak terkecuali juga bagi gejala ini. Bagaimanapaun, atas dasar hak asasi individu dan beberapa alasan politik sempit kumpulan tertentu, pemahaman terhadap gejala ini telah menyimpang dari matlamat asal dan mula diterima secara berleluasa bahawa ia sebagai sesuatu yang normal kerana telah tidak lagi dilihat sebagai satu penyakit dan wajar untuk dipertahankan, yang akhirnya telah menjadi trend dan ikutan sekelompok puak tertentu di peringkat global.

Seterusnya, memandangkan Islam telah mempunyai alasan yang amat kukuh dengan melihat amalan ini sebagai satu gejala yang jauh menyimpang dari fitrah kejadian manusia yang beradab dan berakhlak mulia, tindakan mantap perlu dilaksanakan tanpa lengah lagi. Atas dasar tersebut juga, institusi berkaitan agama Islam, khususnya yang berkaitan penguatkuasaan dan pendakwaan memperluaskan lagi skop dan bidang tugasan dengan turut memfokuskan gejala ini agar ia dapat dibendung dari terus merebak. Manakala institusi agama Islam yang berkaitan dengan penyelidikan dan latihan pula wajar mengukuhkan lagi maklumat dan fakta berkaitan isu ini dan seterusnya merangka pelbagai kaedah intervensi dan latihan yang sesuai agar gejala ini dapat dibanteras di peringkat akar umbi lagi.

Di samping itu, institusi-institusi seperti ini juga wajar mengambil peluang yang ada dengan mengadakan pelbagai kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain agar usaha membanteras dan mengawal gejala ini dapat dilaksanakan secara lebih mantap. Usaha ini, serta kerjasama pelbagai agensi, bukanlah sesuatu yang mustahil, memandangkan telah ada beberapa contoh yang baik telah dilakukan. Umpamanya, JAKIM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah berjaya mewujudkan satu manual rawatan dan latihan yang dikenali sebagai Manual Islam dan HIV/AIDS bagi mengendalikan pelbagi isu berkaitan HIV/AIDS. Usaha murni ini boleh diperpanjangkan dan diperluaskan pula bagi menangani gejala berkaitan LGBT.

Friday, October 14, 2011

Isu Arak Di Malaysia: Mungkinkah Ada Penyelesaian?

Seingat saya penggunaan arak di kalangan orang Islam di Malaysia sudah lama berlaku. Ia selalunya berlaku di kalangan pengunjung kelab malam atau hotel. Arak dihidangkan bagai air dan orang Islam tanpa segan silu meminumnya. Sejak akhir-akhir ini ramai remaja Islam pula kelihatan mendapatkan tin mengandungi arak dan minum bersama kawan-kawan. Antara sebabnya ia mudah didapati di kebanyakan kedai sehingga sesiapa saja boleh membelinya.


Sebagai orang Islam tentunya mereka tahu bahawa arak itu adalah haram. Kita telah diajar tentang perkara itu sejak dari zaman sekolah lagi. Namun timbul persoalan mengapa masih ramai lagi orang Islam yang meminum arak? Juga mengapa begitu mudah mendapatkan arak di kedai-kedai?

Satu penyelidikan yang dijalankan di Britain baru-baru ini mendapati kesan arak adalah lebih teruk lagi kepada individu dan masyarakat berbanding dengan dadah heroin. Ini kerana ia digunakan secara meluas dan mempunyai kesan yang buruk bukan saja terhadap peminumnya tetapi juga mereka yang di sekeliling.

Bila diminum berlebihan, arak atau alkohol akan merosakkan hampir kesemua organ badan. Alkohol juga merupakan antara penyebab kadar kematian dan jenayah terus meningkat.

Justeru, kesan arak atau alkohol adalah lebih dahsyat dari dadah. Maka sepatutnya kawalan dan undang-undang yang lebih ketat lagi harus diadakan. Sebagai sebuah negara Islam kita sepatutnya merasa malu dan jijik apabila melihat penjualan arak di merata-rata.

Di antara alasan orang Islam yang minum arak adalah mereka hanya sekadar merasa atau mengambilnya sedikit sahaja; tidak sampai memabukkan. Ada yang memberi alasan mereka hanya menghidangkan arak, bukan meminumnya. Ada yang memberi alasan mereka sekadar kerja membancuh minuman bercampur arak di kelab, bukan meminumnya. Kita juga berasa sedih melihat orang Islam yang bekerja di kilang-kilang arak.

Tidakkah mereka ini sedar hukum berkenaan arak? Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily pengharaman arak atau seumpamanya bukan sekadar meminumnya atau mengambilnya bahkan termasuk memilikinya atas apa juga alasan, menjual, membeli, menghadiahkan dan sebagainya adalah tertakluk dalam hukum yang sama.


Di Malaysia pemberian lesen penjualan arak adalah di bawah seksyen 35 Akta Eksais 1976 oleh Lembaga Pelesenan. Seksyen 35 Akta ini memberikan kuasa kepada Lembaga Pelesenan untuk mengeluarkan lesen penjualan arak di rumah awam(public house), rumah bir(beer house), kedai jualan runcit(retail shop) dan lesen pemborong(wholesale dealer).

Lesen yang diberikan adalah untuk perniagaan memborong dan menjual arak yang memabukkan yang mengandungi lebih daripada dua peratus alkohol. Ini bermakna bahawa sebarang minuman yang mengandungi kurang dua peratus(2%) alkohol tidak memerlukan lesen daripada Lembaga Pelesenan.

Bandingkan ini dengan undang-undang berkaitan alkohol di negara barat. Norway contohnya, mempunyai undang-undang yang sangat ketat di Eropah. Undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman yang berat iaitu penjara terhadap pemandu yang meminum alkohol. Tahap maksimum kandungan alkohol dalam darah adalah 0.02%.

Di negara Islam contohnya Saudi Arabia, melarang sepenuhnya pembuatan, impot atau pengambilan alkohol dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut. Hukuman termasuk penjara dan sebatan.

Di Qatar, undang-undangnya sama dengan Arab Saudi tetapi hukuman untuk kesalahan yang berkaitan alkohol adalah penjara dan kemungkinan didiportasi. Walau bagaimanapun, alkohol boleh diperolehi di hotel dan bar yang mempunyai lesen menjual alkohol. Pekerja asing yang bukan beragama Islam perlu mendapat permit untuk membeli alkohol.

Kelihatan undang-undang di negara lain lebih ketat berbanding negara kita. Mungkin tiba masanya perkara ini dinilai semula dengan adanya undang-undang yang lebih ketat berkaitan arak agar sesuai dengan imej sebagai sebuah negara Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa di dalam kawasan pentadbiran masing-masing yang memberikan lesen kepada pengusaha perniagaan. Bagi orang Islam pula, terdapat Enakmen Jenayah Syariah Negeri. Timbul persoalan sejauh mana enakmen tersebut berkesan menangani gejala arak, bukan hanya setakat menangkap mereka yang bersalah tetapi juga menasihati mereka.

Justeru semua pihak harus bekerjasama dan memain peranan menangani isu ini. Sehubungan dengan itu, IKIM akan mengadakan Persidangan Meja Bulat “Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan” pada 24 Februari ini dengan harapan agensi-agensi terlibat dapat menyumbang ke arah usaha untuk membanteras arak di kalangan umat Islam; sekaligus mendatangkan kemakmuran kepada negara.

Thursday, October 13, 2011

Nikmati Buah Sebelum Hidangan Utama


Buah-buahan sebagai pencuci mulut ternyata menjadi satu amalan dan tradisi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Tabiat memakan buah setelah hidangan utama dianggap baik untuk mengekalkan kesihatan oleh kebanyakan orang disebabkan oleh sifat buah sebagai pencuci mulut. Namun, hakikat sebenar adalah sebaliknya.

Ramai yang tidak faham mengenai kitaran sistem pencernaan. Masyarakat kita suka mengambil buah dalam keadaan di mana tidak memberi faedah yang optimum kepada tubuh badan. Walaupun pada dasarnya, buah-buahan memberikan manfaat yang banyak kepada kesihatan manusia tetapi jika diambil tidak mengikut masa dan aturannya, tidak akan memberikan pulangan yang baik kepada kesihatan.

Seharusnya, buah-buahan diambil terlebih dahulu sebelum kita menikmati hidangan utama. Ia akan menggalakkan penyerapan tenaga dan zat daripada buah tersebut untuk tubuh secara optimum. Di samping itu, ia membantu melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan manusia. Ini kerana, buah-buahan yang dimakan tidak akan berada dalam salur penghadaman begitu lama dan menyebabkan ia senang dikumuh.

Tabiat memakan buahan mengikut waktu yang terbaik akan memberikan impak yang maksimum kepada kesihatan kita. Seboleh-bolehnya, buah perlu diambil pada ketika perut kosong tanpa sebarang makanan. Namun begitu, ia boleh diambil sepanjang hari selagi mana perut dalam keadaan kosong dan tidak dipenuhi dengan hidangan yang berat. Selepas mengambil buah-buahan, sewajarnya kita tidak mengambil sebarang makanan lain lebih kurang 30 minit untuk memberikan laluan kepada penghadaman buah-buahan tersebut berjalan secara lancar dan optimum.

Terdapat kajian yang dijalankan oleh pengamal perubatan alternatif Amerika yang mendapati bahawa corak pemakanan seseorang yang memakan buah dengan cara yang betul merupakan rahsia untuk kelihatan cantik, sihat, bertenaga, panjang umur dan mempunyai berat badan yang ideal. Walaupun dapatan ini terlalu subjektif untuk menentukurkan kesihatan, kecantikan dan kecergasan seseorang tetapi ianya tidak mustahil. Ini kerana, dengan memakan buah secara teratur akan menentukan penyerapan zat yang terbaik untuk tubuh badan kita. Jika tidak, mungkin kita hanya memakan buah-buahan tetapi zat yang bermanfaat untuk badan tidak dapat diserap secara optimum. Dan ternyata ia hanyalah amalan yang sia-sia.

Kita perlu faham bahawa buah-buahan dihadamkan di usus pencernaan dan bukannya di dalam perut. Oleh sebab itu, ia akan dicernakan secara cepat melalui sistem pencernaan dalam tempoh lebih kurang setengah jam sahaja. Otak kita memerlukan glukosa untuk berfungsi dan buah-buahanlah merupakan sumber yang sangat baik untuk glukosa darah. Pengambilan buah-buahan yang mencukupi akan menormalkan tahap gula dalam darah dan menjadikan sistem tubuh kita dapat berfungsi dengan baik. Di samping itu, ia boleh mengelakkan kita daripada terlebih makan dan fenomena obesiti yang kerap melanda masyarakat pada hari ini. Ini kerana, glukosa yang terdapat pada buah-buahan dapat mengawalatur mekanisma kelaparan tubuh badan kita supaya dapat berfungsi secara optimum.

Makan buah semasa perut masih lagi kosong dapat membantu memulihkan sistem pencernaan. Ini bermakna saluran pencernaan kita dapat menjalani proses penyahtoksikan secara semulajadi. Buah yang dimakan ketika perut kosong akan mempercepatkan proses penghadaman berbanding dengan kumpulan makanan lain. Namun, jika dimakan sejurus selepas makanan lain, ia akan mengalami fermentasi kerana lambat dihadam. Zat-zat yang terkandung didalamnya akan rosak dan akhirnya menyumbang kepada ketidakselesaan kepada perut.


Setelah mengambil hidangan utama, kita perlu memastikan sekurang-kurangnya 3 jam sebelum mengambil sebarang jenis buah-buahan. Ini untuk memastikan agar makanan sebelum itu dihadamkan sempurna di dalam perut dan tidak menjadi berasid serta proses penapaian makanan tersebut dapat dielakkan. Sebenarnya, keadaan sebegini kerap kali berlaku dalam kalangan kita. Seringkali terdengar rungutan seperti perut terasa sebu, berangin dan kembung selepas menikmati hidangan diakhiri dengan buah sebagai pencuci mulut. Keadaan tersebut berlaku kerana buah yang dimakan akan bercampur dengan makanan yang belum sempat dihadamkan lagi akan menghasilkan asid dan perut akan menjadi kembung. Ketidakselesaan ini kadangkala menyebabkan kita cenderung untuk tidak lagi mengambil buah-buahan kerana menyangka sesetengah buah-buahan yang dimakan tersebut bersifat angin. Perkara inilah yang memerlukan masyarakat prihatin terhadap kepentingan dan khasiat buah-buahan agar kita tidak terus menerus dengan sangkaan sedangkan amalan atau tabiat itulah yang akan menentukan baik buruk kesannya kepada kesihatan.

Jika kita perhatikan, sudah banyak sekarang berlaku anjakan pemikiran masyarakat kita contohnya dalam menyediakan juadah ringan untuk mesyuarat atau perbincangan ringkas di tempat kerja. Kalau sebelum ini, tidak dapat tidak hidangan kuih-kuih manis menjadi pilihan utama, tetapi kini digantikan dengan hirisan buah-buahan. Ia merupakan satu tabiat pemakanan yang baik. Di samping bagus dijadikan sebagai "snack food", buah-buahan juga sebagai sumber glukosa untuk otak kita berfungsi dengan baik. Ini dapat memastikan agar kita dapat menjalankan kerja dengan sempurna dan bertenaga.

Saranan memakan buah amat mudah dan tampak remeh namun jika diamalkan ia pasti memberikan natijah yang baik untuk kesihatan. Malah ia juga merupakan sunnah Rasulullah SAW di mana baginda tidak akan memakan buah-buahan selepas memakan gandum, roti dan juga makanan berat berat lain. Amalan Rasulullah SAW ini sudah pasti memberikan impak yang baik untuk kecergasan dan kesihatan tubuh badan baginda. Walaubagaimana pun, kita perlu mengelakkan daripada mengambil buah-buahan dalam tin, buah yang diproses atau dijeruk kerana ia mengandungi sejumlah gula yang tersembunyi, bahan tambah dan perisa lain yang tidak diperlukan oleh tubuh badan. Justeru itu, saranan memakan buah sebelum kita menikmati hidangan yang lain perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita tidak kiralah sama ada di rumah atau di pejabat. Kita perlu kikiskan budaya yang sekian lama bertapak dalam masyarakat kita yang menganggap buah adalah pemanis dan pencuci mulut diambil selepas makan hidangan utama. Walaupun langkahnya kelihatan amat mudah tetapi kesan daripadanya amat signifikan untuk kesihatan yang berkekalan.

Monday, October 10, 2011

Kahwin Lewat: Reaksi dan Realiti


Bukan sekali kita mendengar kekhuatiran pihak kerajaan berhubung dengan permasalahan institusi kekeluargaan yang semakin membimbangkan. Ini termasuklah mengenai tren memilih untuk berkahwin lewat semakin meningkat terutama bagi wanita. Tidak dinafikan wanita adalah pusat bagi sesebuah keluarga dengan tanggungjawab mulia melahirkan zuriat maka apabila keadaan ini berterusan maka kekhuatiran itu tidak hanya berlaku diperingkat keluarga malah diangkat secara makro oleh pihak kerajaan.

Kita mengetahui bahawa pembangunan negara perlu diiringi dengan jumlah populasi yang baik dan seimbang dan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi dan prasarana semata-mata. Sekiranya berlaku salah satu pihak bertindak untuk mengurangkan populasi sama ada secara sedar ataupun tidak, maka agenda pembangunan negara barangkali tidak dapat dicapai sepenuhnya. Selain dari itu, masalah sosial juga dikhuatiri akan meningkat dan membimbangkan kerana institusi perkahwinan dan kekeluargaan tidak lagi dipercayai.

Mengambil contoh yang paling dekat iaitu Singapura, walaupun jumlah populasinya semakin meningkat tetapi kadar kelahiran kasar bagi negara itu telah menurun dari 13.7 (per 1000 orang penduduk) pada tahun 2000 kepada kadar 9.9 pada tahun 2009. Selain itu, Singapura mencatatkan nisbah 1000 wanita bersamaan dengan 976 lelaki bagi tahun 2009. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna lebih ramai wanita di Singapura tidak berkahwin kerana data pada tahun yang sama menunjukkan kadar 19.4% penduduk lelaki yang menetap di republik itu yang berusia 35 hingga 39 tahun yang masih bujang berbanding wanita pada julat usia yang sama iaitu sebanyak 15.6%.

Berbanding dengan Malaysia, nisbah jantina bagi tahun 2009 mencatatkan 103 lelaki bagi 100 wanita. Manakala munurut laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menyatakan penduduk lelaki melebihi penduduk wanita dengan nisbah 105:100. Sungguhpun demikian, peratusan wanita berusia 25 hingga 29 tahun yang masih bujang dikatakan lebih tinggi berbanding lelaki yang berumur di antara 30 hingga 34 tahun.

Kenyataan tersebut sama sekali tidak menunjukkan jumlah wanita bujang adalah lebih tinggi daripada lelaki. Sebaliknya, data tersebut membantu kita membuat anggapan bahawa wanita kini lebih selesa untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan ke atas atau dengan erti kata lain, cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat. Selain itu juga, kita boleh membuat andaian bahawa kadar kelahiran kasar pada masa akan datang berkemungkinan semakin menurun disebabkan faktor umur wanita yang lewat melahirkan anak. Apabila ini berlaku, populasi negara dikhuatiri bakal mengalami pertumbuhan yang perlahan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.


Antara sebab yang dinyatakan sebagai punca wanita hari ini cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat adalah disebabkan oleh faktor pendidikan. Kesedaran ibu bapa pada hari ini yang beranggapan bahawa pendidikan kepada anak-anak baik lelaki dan perempuan sama penting menyebabkan mereka memastikan wanita mendapat pendidikan sebaik lelaki berbanding dengan gaya pemikiran tradisional dahulu. Semestinya pendidikan yang baik menghasilkan modal insan yang berkualiti termasuklah wanita yang kini menjawat jawatan yang lebih baik berbanding dahulu.

Hakikatnya, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh gaya hidup yang semakin berubah. Adalah sukar bagi sesebuah keluarga untuk bergantung hanya kepada satu punca pendapatan sahaja disebabkan faktor kelangsungan hidup manusia. Zaman ini kita telah dihimpit oleh desakan kemahuan material yang semakin meningkat dan sedikiti sebanyak mengikis nilai-nilai murni dan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

Para pelajar yang mendalami ekonomi pasti mendengar istilah "tiada makan tengah hari percuma" yang membayangkan kepada kita bahawa hampir semua kegiatan dan keperluan hendaklah dibayar dengan balasan tertentu. Hakikatnya, persaingan yang tidak adil juga kebergantungan kepada pihak lain menyukarkan kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih berdikari dan tidak bergantung kepada pemikiran kapitalis yang berorentasikan keuntungan maksimum dan kepentingan sendiri.

Apabila faktor material menjadi keutamaan, maka ramai manusia tidak mempunyai pilihan selain daripada berterus-terusan berusaha meningkatkan kepanjangan faktor kelangsungan hidup mereka dan akhirnya meninggalkan fitrah menjadi seorang manusia itu sendiri. Maka timbullah pelbagai masalah lain seperti bersekedudukan, lewat berkahwin atau sama sekali tidak berkahwin kerana merasakan bahawa institusi perkahwinan itu tidak memberi kepuasan dan tidak dapat menjamin kelangsungan hidup mereka.

Inilah yang menjadi kegusaran ramai pihak sekiranya lebih ramai individu memilih untuk bujang akibat hilang kepercayaan kepada institusi keluarga. Menimbulkan kesedaran untuk membina perkahwinan di kalangan penduduk tidak boleh hanya mengetengahkan perihal keburukan tidak berkahwin dan siapa yang paling berkuasa dalam keluarga semata-mata kerana hakikatnya perkahwinan itu menenangkan jiwa manusia dan memberi kebahagiaan dan pencapaian dalam hidup sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Rum ayat 21 yang memberi maksud bahawa diciptakan manusia itu berpasangan (dalam perkahwinan) agar hidup bahagia dan mempunyai perasaan saling berkasih sayang dan belas kasihan dan hal ini menimbulkan kesedaran bagi mereka yang menilainya.

Sifat lebih gemar berdikari dan bijak membuat keputusan sendiri disebabkan pendidikan yang dimiliki boleh diandainya penyebab kepada kecenderungan individu untuk tidak lagi mempercayai institusi kekeluargaan. Maka menunding jari kepada mana-mana pihak bukanlah satu penyelesaian yang bijak sebagaimana ketidakwajaran kita menyalahkan pendidikan sebagai puncanya. Sebaliknya golongan ini perlu disedarkan bahawa perkahwinan sama sekali tidak menyekat keinginan, hobi selagi mana ia berlandaskan kepada syariah dan tidak berlaku pengabaian tanggungjawab. Kita juga perlu wujudkan persefahaman bahawa perkahwinan itu adalah perkongsian dan bukan pendominasian ke atas mana-mana pihak kerana Islam sama sekali tidak pernah menzalimi penganutnya. Sebailknya, perkahwinan menggariskan peraturan dan tanggungjawab yang berbeza kepada kedua-dua pihak agar semuanya mencapai kebahagiaan sebagaimana tujuan prosedur dan garis panduan lain yang selama ini dapat kita patuhi dengan baik.

Friday, October 07, 2011

Lupa Tuhan Mengundang Bencana


Apabila kita berbicara mengenai pembangunan manusia kini, kita akan menjadi bingung buat seketika kerana semakin rancak pembangunan fizikal yang dirancang dan dilaksanakan maka semakin rancak pula keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut semuanya ada dalam pembangunan masa kini. Bermula daripada institusi kekeluargaan yang kucar-kacir hinggalah kepada tandusnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran sihat, budaya rasuah, kotornya amalan politik, kedangkalan ilmu dan seribu satu macam lagi keruntuhan nilai kemanusiaan yang boleh ditulis satu persatu.

Mengapakah boleh terjadi yang sedemikian sedangkan Islam adalah agama yang membangun dan sangat menggalakkan pembangunan. Begitu juga, Islam adalah satu cara hidup yang kukuh lengkap dengan teori dan praktiknya sama ada di bidang kerohanian maupun di bidang fizikal dan pembangunan. Sebabnya banyak dan telah banyak diperkatakan oleh orang sejak kebelakangan ini. Cuma dalam kesempatan ini ingin diajukan satu perkara pokok yang menjadi faktor utama, iaitu manusia kini sudah melupakan Allah, yang merupakan Tuhan sekelian alam. Apabila lupakan Tuhan, maka manusia pun akan turut lupa akan asal usul dirinya, lupa kejadian dan tujuan hidupnya, lupa akan fungsi dan fitrah dirinya, maka akhirnya lupa akan amanah yang dipikulkan ke atasnya.

Dalam keadaan masyarakat kini, tahap melupakan Tuhan juga mempunyai beberapa peringkatnya yang tersendiri. Ada yang terus melupakan dan menolak Allah secara keseluruhan dengan terus terang mengaku keluar dari Islam. Ada pula yang sama ada secara sedar atau tidak sedar menggantikan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain, dan ada pula yang apabila sesekali teringatkan Tuhan maka disembahlah Allah dalam upacara-upacara tertentu seperti agama lain. Tidak kurang juga yang hanya meletakkan Allah hanya pada nama tetapi amalannya jauh terpesong dari landasan sebenar Islam.

Maka apabila manusia itu sudah melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan mereka. Mereka akan dibiarkan dan dibebaskan oleh Allah untuk seketika di dunia ini untuk bertindak sesuka hati menentukan keadaan hidup mereka di dunia. Maka berusahalah mereka menentukan keadaan ekonomi, politik, pendidikan, budaya dan masa depan mereka sendiri. Mereka tidak diberi petunjuk oleh Allah ke jalan yang benar kerana mereka tidak lagi mempedulikan Allah. Bertitik tolak dari sini, maka segala yang memiliki nilai-nilai kerohanian, tuntutan-tuntutan agama, akhlak dan nilai-nilai murni yang berpandukan agama tidak lagi mendapat tempat dan penghargaan yang penting dalam dunia perdagangan, dunia seni, dunia hiburan, dunia politik, dunia pendidikan, dan segala bentuk keduniaan yang membentuk kehidupan manusia itu sendiri. Mereka yang menjadi perancang utama dunia dan kehidupan manusia telah melupakan Allah, maka Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka sibuk menentukan masa depan hidup mereka sendiri. Segala-galanya yang mereka rancang dan tentukan sebenarnya diasaskan di atas landasan yang rapuh dan menunggu saat keruntuhan. Sesungguhnya bibit-bibit keruntuhan itu sudah dapat dilihat dan dirasakan oleh masyarakat dunia masa kini.



Antara sebab lain yang turut membawa kepada keadaan melupakan Allah ini ialah kekeliruan terhadap ilmu. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya demi kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu. Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.

Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh Islam. Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia. Memang ada benarnya apa yang telah dinyatakan oleh Bertrand Russel, bahawa ilmu yang dibangun dan dikembangkan di dunia sekarang telah berjaya menghasilkan "a lost man bukannya a better man".

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya. Pengisiannya telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil kisah sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara seagamanya dengannya.

Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya. Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada Kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertaqwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan kepada ilmu. Perbincangan mengenai ilmu yang baik dianggap tasbih, mempelajarinya dianggap ibadah, mengajarnya dikira sebagai sedekah, mempelajari dan mendalaminya pula dianggap satu jihad.

Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang. Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ianya lebih meruntuhkan dan membahayakan manusia dan dunia. Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikuathiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

Thursday, October 06, 2011

Sihat Sebelum Sakit

Seorang sahabat, Abu Darda' bertanya: "Ya Rasulullah, apabila saya sembuh daripada penyakit dan bersyukur kerananya, apakah itu lebih baik daripada saya sakit dan menanggung kesabaran? Rasulullah menjawab, "Rasul mencintai kesihatan sama seperti engkau menyenanginya". Kesihatan itu terlalu bernilai. Memelihara kesihatan adalah penting berbanding merawat apabila sudah terkena penyakit. Falsafah yang disebut seantero dunia iaitu ‘mencegah lebih baik daripada mengubat' agak relevan dengan pegangan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Ia selari dengan pemeliharaan kesihatan yang dianjurkan dalam Islam. Namun, benarkah ia juga menjadi pegangan utama masyarakat Islam dalam dunia kesihatan pada hari ini?


Rasulullah SAW tidak mengajar ilmu perubatan kepada umatnya. Namun, dalam kehidupan dan perilaku seharian baginda jelas menunjukkan aspek gaya hidup sihat yang diamalkan. Dengan lebih jelas lagi, daripada sunnah baginda, kita dapat belajar bagaimana untuk menguruskan kehidupan bagi memelihara kesihatan bahkan meningkatkan status kesihatan kita. Bukannya bagi mempelajari penyembuhan penyakit ataupun perubatan. Secara tuntasnya, Rasulullah SAW ternyata bukan seorang doktor walaupun terdapat beberapa kaedah perubatan yang dinamakan perubatan cara Nabi. Namun, kaedah dan amalannya adalah lebih bersifat pencegahan berbanding dengan penyembuhan.

Kita mempelajari soal memelihara kesihatan daripada Rasulullah SAW dan bukannya mempelajari ilmu perubatan dalam konteks teknik-teknik perubatan. Anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya supaya menjaga kesihatan dan mencegah perkara-perkara yang mampu mendatangkan penyakit kepada badan dan jiwa. Ini kerana, dengan perkembangan teknologi perubatan terkini dan pelbagai penyakit degeneratif berlaku pada masa kini, berkemungkinan tidak pernah wujud dan berkembang pada zaman Rasulullah SAW. Jadi, ia terpulang kepada kita cara bagaimana untuk mengurus dan mengubatinya. Sabda Nabi SAW: "Kamu lebih mengerti urusan duniamu". Ini bermakna, terdapat dalam hal-hal tertentu kita mempunyai pilihan dalam mengendalikan kehidupan. Namun, apa yang penting di sini ialah konsep pemeliharaan kesihatan yang dipamerkan oleh Nabi SAW seharusnya dijadikan teladan sepanjang zaman. Dan intipatinya adalah bersifat pencegahan bukannya pengubatan.


Cuba kita lihat apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini? Apabila sakit menjelma, baru kita tercari-cari ubatnya. Kita baru mengerti apa makna kesihatan, dan mencuba untuk mengawal penyakit tersebut. Walhal, ubatnya adalah sebelum kita mendapat penyakit lagi. Benarlah ungkapan, "kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, seperti mahkota yang berada di atas kepala orang yang sihat, dan hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit."

Dalam dunia kesihatan, pilihan gaya hidup akan menentukan ke mana umat manusia akan melangkah. Aspek ini berperanan dalam menentukan status kesihatan berbanding dengan perkembangan teknologi perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di antara ciri-ciri negara maju terletak kepada fungsi hospitalnya. Hospital yang lebih berorientasikan kepada pencegahan dan promosi kesihatan. Sejurus merenung apa yang berlaku dalam negara kita di mana hospital atau klinik lebih menfokuskan kepada penyembuhan penyakit bukannya pencegahan penyakit. Aktiviti promosi kesihatan hanyalah picisan dalam dunia kesihatan. Ia jelas nampak ketidakseimbangan berlaku antara program promosi pemeliharaan kesihatan dan mengubati pesakit. Kelompongan inilah menyebabkan masyarakat kita tidak dididik dan diperkasakan dengan maklumat untuk memilih aktiviti dan cara hidup berkesan untuk menjaga kesihatan agar tidak mudah mendapat penyakit.

Dalam perspektif fiqh, pemeliharaan kesihatan diri adalah fardhu ain bagi setiap orang. Tubuh badan menjadi amanah yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan. Jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik, mana mungkin kita dapat menjalankan aktiviti harian yang akhirnya menyumbang pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimanapun, kita tidak dapat menyangkal bahawa sakit itu merupakan ujian daripada Allah, namun ia boleh dielak dan dihindari. Maka, bukankah amalan kesihatan seperti mana sunnah Rasulullah SAW mampu menjadi jalan kepada kita menikmati kesihatan berterusan?

Perlu juga disedari bahawa lebih mudah kita mencegah penyakit berbanding kita mengubatinya. Apatah lagi jika penyakit itu bertambah kronik. Begitu juga lebih mudah jika mengubati penyakit itu sekarang daripada membiarkannya berlarutan dan semakin parah. Tambahan pula, kos perubatan pada masa kini terlalu tinggi. Maka semakin mahallah nilai kesihatan itu walaupun ia tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Oleh itu, manusia yang bijak dan peka dengan persoalan sebegini, perlu sedar dan mengubahnya . Ia perlu diperbaiki pada saat ini juga dan tidak boleh ditunda serta ditangguh. Betapa ironinya, apabila ada sesetengah orang yang sanggup mengorbankan kesihatan dan hidup dalam tekanan, semata-mata memburu kekayaan dunia. Akhirnya, meninggal dunia pada usia muda akibat tekanan hidup, persaingan dan juga pekerjaan.


Sebagai jalan yang mudah dan mengambil intipati pengajaran Rasulullah SAW, maka kita perlu mengubah kebiasaan yang diamalkan sambil melakukan amalan-amalan yang baharu sejajar dengan sunnah secara bertahap. Barangkali terlalu banyak amalan kebiasaan yang salah masih kita amalkan dalam kehidupan ini yang akhirnya meruntuhkan nikmat kesihatan yang kita miliki secara beransur-ansur. Umpamanya, tabiat merokok dan amalan pemakanan yang tidak seimbang. Begitu juga kemalasan yang sentiasa bersarang di dalam diri yang menjadi faktor risiko yang sama bahayanya dengan tekanan darah tinggi atau pun kolestrol dalam darah. Ia mampu merosakkan jantung kita. Kemalasan membuatkan fizikal kita kurang bergerak, otak menjadi tidak aktif dan akhirnya kita malas dalam mengubah gaya hidup salah yang kita jalani sekarang. Ia seolah-seolah merosakkan diri secara senyap.

Lebih baik lagi jika kita mampu mengenalpasti penyakit-penyakit yang seringkali berada dalam lingkungan keluarga. Ia adalah untuk menjangkakan kebarangkalian penyakit tersebut berpotensi untuk diwarisi dan jika berlaku sebarang ketidaksempurnaan, langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah dan merawat harus kita tangani. Ini kerana genetik juga merupakan faktor risiko seseorang mendapat penyakit tertentu.

Oleh itu, mengenang amanat junjungan besar kita iaitu ‘ingat sihat sebelum datang sakit', manfaat kesihatan yang kita miliki pada hari ini perlu dijaga dan dipelihara. Kadangkala, sebagai manusia biasa, kita seringkali lupa akan kesihatan. Kesihatan adalah seperti matahari yang hadir dalam kehidupan kita pada setiap hari tetapi tidak disedari kemanfaatannya sehingga ia sudah tiada. Maka, jalanilah kehidupan kita pada hari ini dengan gaya hidup yang sihat, amalan pemakanan yang seimbang serta mengubah cara hidup yang salah dan sebati dalam kehidupan kita agar kesihatan itu terus terpelihara dan terjamin.

Tuesday, October 04, 2011

Perangi Nafsumu


"Perangilah nafsumu, ertinya segala kehendak nafsu yang ingin menyeleweng
dari tuntutan agama".

Imam Sahl at Tastariy berkata :

"Sejelek-jelek maksiat ialah daya upaya nafsu. Kemungkinan kebanyakan manusia tidak memperhitungkan bahawa daya upaya nafsu itu merupakan dosa. Apabila seorang murid bisa menjaga dirinya untuk tidak memperhatikan sejolak nafsu dan dia selalu berzikir (ingat kepada Allah) nescaya hatinya menyala kerana zikir itu dan jadilah hatinya sebagai kerahsiaan yang dijaga oleh Allah. Dalam keadaan begitu syaitan menjauhi daripadanya sejauh-jauhnya dan daya upaya nafsu syaitan pun menjauh pula daripadanya.


Yang masih bersama dengannya hanyalah kehendak-kehendak nafsu (yang lebih ringan). Dan ketika dalam keadaan begitu dia mudah berusaha memotong (menghancurkan) dan membersihkan kehendak-kehendak nafsu dengan memakai ukuran ilmu". "Dan mereka yang berjuang untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik".


(Surah Al Ankabut, 69)

Monday, October 03, 2011

Madu Itu Penawar


Madu adalah merupakan penawar bagi pelbagai jenis penyakit. Keistimewaan madu lebah telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud "Daripada perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya sebagai PENAWAR bagi manusia", (An-Nahl:69). Madu lebah juga mengandungi Vitamin B1, B2, B3, B5  dan Vitamin C di samping pelbagai zat logam seperti magnesium, potasium, kalsium, sodium, klorin, belerang dan zat besi.  Pakar dari Poland memberitahu persidangan bahawa madu lebah berkesan dalam merawat Penyakit Buasir, Penyakit Kulit dan Penyakit Puan.

Maka tidak hairanlah jika orang yang mempunyai lebih dari satu isteri itu dikatakan bermadu. Madu sememangnya manis dan disukai pelbagai lapisan usia. Banyak perumpamaan menggunakan perkataan madu untuk menggambarkan kemanisan dan keindahan sesuatu perkara itu.

Yang selalu kita dengar ialah Madu Yang Diberi, Tuba Yang Dibalas. Ertinya hendaklah kita menghargai perbuatan atau pemberian seseorang itu dengan sebaiknya. Janganlah pula membalas kebaikan itu dengan kejahatan ataupun kemudaratan. Mungkin pemberiannya itu tidaklah seberapa nilainya. Namun penghargaan yang diberi akan membuatkan ikatan kasih sayang akan kekal utuh.


Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa tingkah laku kita itu boleh melukakan hati orang lain. Kerana itulah peri pentingnya rakan disekeliling yang dapat membantu kita dan bukan menjahanamkan kita. Setiap perbuatan itu memerlukan gerak kerja dari diri kita sendiri. Samada perbuatan itu baik atau buruk, diri kitalah yang akan menggerakkannya. Tidak perlulah kita menuding jari kepada pihak lain. Sebaliknya muhasabahlah diri sendiri semoga kita tidak terlambat. Jangan sampai nanti orang kata NASI DAH JADI BUBUR.

Musnahnya Sebuah Janji


Pepatah melayu ada mengatakan Lembu Berpegang Pada Tali, Manusia Berpegang Pada JANJI. Betapa indahnya susunan bahasa kita. Penuh dengan mesej dan makna yang amat mendalam. Hari ni aku nak bercerita berkenaan kepentingan sebuah janji untuk kekal dipegang. Kita sering menyebut "InsyaAllah" untuk memuaskan hati pihak lain contohnya apabila menerima undangan kenduri. Tapi sedarkah kita bahawa perkataan itu merupakan sebuah janji yang harus kita penuhi jika tiada sebarang keuzuran? Janganlah kita menyalahgunakan sesuatu perkataan itu hanya untuk kepentingan diri. Pada masa yang sama kita tidak pernah ingin memenuhi janji itu.

Pada aku janji itu adalah merupakan satu amanah yang wajib kita pegang dan penuhi. Janji itu merupakan satu kepastian yang kita berikan agar pihak yang satu lagi yakin dan percaya kepada kita. Betapa besarnya kesan janji itu.

Orang yang bercinta juga tidak lekang bibirnya menitip janji-janji manis buat pasangan kekasihnya. Janji untuk kekal sehidup sematilah. Janji untuk setialah. Janji untuk jujurlah. Wah....indah sungguh telinga yang mendengarnya.

Namun, apakah nilai sebuah perhubungan itu jika janji itu hanya indah pada mulut semata, tapi tidak pernah dipenuhi langsung? Ataupun janji itu telah dimungkiri? Maka akan musnahlah kepercayaan pada pemungkir janji itu. Bagi orang yang bercinta, mungkin akan terputuslah sebuah ikatan. Adakah perpisahan akan terjadi?

Wednesday, September 28, 2011

Mengajar Amalan Baik vs Mengajar Amalan Jahat

Rasulullah pernah berpesan kepada kita untuk menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Amalan yang baik ini jika disampaikan kepada seseorang itu amatlah besar ganjaran yang bakal diterima daripada Allah swt. Tambahan pula jika orang itu terus mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Maka pahala yang diterima oleh si pengajar akan berterusan. Begitulah sebaliknya, jika kita mengajar orang berbuat jahat dan kemungkaran, maka selagi mana orang itu melaksanakannya maka dosa merupakan ganjaran ke atas kita.


Rasulullah bersabda, ‘Barangsiapa membuat kelakuan (amalan) maka diamalkannya dan diajarkannya(orang lain) dengan kebaikan itu baginya pahala, seperti orang yang mengamalkan dari amalan yang dia beramal dengannya tidak mengurangi dari pahala mereka (yang mengamalkannya) sedikitpun. Dan barang siapa membuat kelakuan yang jahat (tidak baik) maka beramal dengannya dan mengajarkan orang lain (diberatkan atasnya) dosa dan dosa barangsiapa yang mengamalkannya dengan kelakuan tidak baik itu tidak mengurangi dari dosa (orang lain yang beramal) tersebut sedikit pun.’ [Hadith Ibnu Majah] 

Maka jelas di sini bahawasanya setiap ajaran yang kita sampaikan sama ada baik atau pun jahat pasti akan mendapat balasan samada berbentuk pahala atau pun dosa yang berpanjangan. Oleh yang demikian, perbanyakkanlah mengajak orang lain melakukan amal yang soleh supaya kita akan memperoleh pahala daripada Allah swt. Sebaliknya jika kita pernah membimbing orang melakukan kejahatan, maka perbetulkanlah ia supaya amalan yang jahat itu terhenti di situ dan kita tidak akan berterusan mendapat dosa yang pastinya akan membawa kepada kemurkaan Allah. Bimbinglah kembali mereka itu ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun kecuali atas dosa mensyirikkanNya.

Monday, September 26, 2011

Gay Ancaman Fitrah Kehidupan Manusia

Entry kali ni aku kutip daripada laman web rasmi IKIM sebagai renungan dan mutiara hati di pagi yang indah ini. Marilah sama-sama kita hayati dan fikirkan isu yang sedang melanda masyarakat kini.

===================

Isu tentang seorang paderi gay berasal dari Malaysia ingin membuat satu resepsi perkahwinan sejenis di tanahair setelah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan beliau di New York, Amerika Syarikat menjadi bualan khalayak ramai. Apa yang menarik resepsi perkahwinan sejenis ini ingin dilakukan dalam negara Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan aliran agama, budaya yang menolak gay apatah lagi perkahwinan sejenis. Walaupun perkara ini melibatkan seorang yang bukan Muslim tetapi kegairahannya untuk menonjolkan kehidupan gay beliau secara terang-terangan dalam kehidupan masyarakat perlu dipandang serius oleh kita sebagai umat Islam. Ini kerana penerimaan secara terbuka pengikutnya di Malaysia sudah tentu memberi kesan secara langsung atau tidak kepada umat Islam di tanahair. Dengan pelbagai hujah seperti kerana kasih sayang, keadilan, toleransi, hak asasi manusia yang ditafsir secara melencong, golongan ini boleh mempengaruhi ramai di kalangan umat Islam yang boleh bersimpati, bahkan terjebak ke dalam gejala negatif ini serta bangga dengan perlakuan mereka.


Kita perlu memahami bahawa kehidupan dan perkahwinan gay sendiri merupakan satu aliran minoriti di Barat dan bukan menjadi dokongan masyarakat majoriti mereka. Bahkan dalam tahun 1988 Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton telah menandatangani satu Akta Perlindungan Perkahwinan yang mentakrifkan perkahwinan di sisi undang-undang ialah ikatan yang sah di antara lelaki dan wanita sebagai suami dan isteri. Di negara Amerika Syarikat iaitu sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang mengandungi 50 buah negeri, hanya sepuluh buah negeri sahaja yang tidak menghalang perkahwinan sejenis berbanding negeri-negeri baki yang lain.

Di Malaysia, perundangan negara telah jelas termaktub bahawa hubungan gay atau homoseks adalah satu kesalahan samada di sisi perundangan sivil atau pun syariah. Dalam perundangan sivil kesalahan ini adalah mengikut Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii melalui dubur. Hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. Dalam perundangan syariah seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25 liwat iaitu mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Dalam aspek melangsungkan perkahwinan bagi bukan Islam di Malaysia, mereka tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Sebarang perkahwinan yang diupacarakan tetapi tidak mengikut di bawah akta ini adalah satu perkahwinan yang tidak sah. Perlu dimaklumi bahawa upacara perkahwinan yang disebut di bawah akta ini ialah upacara perkahwinan yang sah mengikut undang-undang, agama, adat atau kelaziman masyarakat. Jadi perkahwinan sejenis bukan daripada norma dan adat masyarakat Malaysia.

Bagi umat Islam, ulama telah mendefinisikan perkahwinan dengan jelas. Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud berkumpul, bercampur atau bercantum. Pada maksud syarak pula ialah akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan kelamin di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Umat Islam yang ingin berkahwin perlu mengikut undang-undang Syariah dan bukan Undang-undang Sivil. Undang-undang Syariah diperjelaskan dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri.

Perkahwinan dalam Islam merupakan satu institusi yang memenuhi keperluan fitrah manusia. Berkahwin merupakan satu Sunnah. Nabi SAW sendiri bersabda "Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan daripada golonganku". (Riwayat Ibnu Majah).

Tujuan asas perkahwinan mengikut syariah ialah untuk menghalalkan perhubungan kelamin di antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga bertujuan untuk menghasilkan zuriat manusia demi meramaikan umat. Sabda Nabi SAW "Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat". (Riwayat al-Baihaqi).

Jika kita lihat kepada proses penambahan umat manusia, tidak dapat tidak ia memerlukan percantuman sperma lelaki dan wanita. Maka perkahwinan sejenis golongan gay terang-terangan telah menolak fitrah kejadian manusia dengan menghalang proses kesinambungan zuriat manusia.

Apabila kita melihat kepada Syariah Islam itu sendiri, amalan gay atau homoseks sudah pun berlaku khasnya pada zaman nabi Luth a.s. Ia merupakan perkara haram dan suatu yang dikeji. Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab daripada Allah (yang Engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Luth berdoa dengan berkata:"Wahai Tuhanku! tolonglah akan daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)!" (Al-Ankabut: 29-30).

Umat nabi Luth a.s. yang mendatangi kaum lelaki sejenis akhirnya ditimpa bala bencana yang amat dahsyat akibat perbuatan mereka.

Oleh itu usaha yang boleh menonjolkan gay di negara kita atas sebarang alasan atau yang dicetuskan oleh golongan yang mengaku sebagai cendiakawan sekalipun maka masyarakat perlu menongkah aliran ini secara bersungguh-sungguh kerana sistem gay yang songsang itu bukan daripada budaya dan sistem nilai hidup masyarakat majmuk negara kita. Bahkan gay melanggar hukum Syarak yang memelihara fitrah kejadian manusia.

Saturday, September 24, 2011

Alim Kucing

Simpulan bahasa ini sering kita dengar dan sering meniti bibir umat
Melayu. Sejak di bangku persekolahan lagi aku telah mempelajarinya.
Aku ada sebuah buku Himpunan Simpulan Bahasa yang sering menjadi
rujukan ketika itu. Mulanya aku tertanya-tanya kenapa kucing itu
dikatakan alim? Kemudian suatu hari barulah aku tahu jawapannya.
Ketika itu emakku sedang membersihkan ikan di dapur. Kucingku hanya
memerhatikan saja dengan matanya yang kuyu. Sebaik emakku berpaling,
dengan pantas kucing itu mencuri sisa ikan yang telah disiang.
Nah....baru aku tahu jawapanya.


Sebenarnya entry kali ni bukan nak bercerita tentang kucing. Tapi aku
nak bercerita tentang sisi gelap kehidupan seorang insan yang pada
mata kasar kelihatan sempurna, namun disebaliknya tidak. Aku nak
merujuk kembali entry sebelum ini tentang kondom yang dijumpai di
dalam beg sekolah remaja perempuan di Hulu Selangor. Bagaimana
terbongkar kegiatan seksnya dengan teman lelaki. Inilah apa yang aku
maksudkan dengan sisi gelap kehidupannya. Mungkin pada zahirnya dia
kelihatan amat baik di hadapan ibu bapanya. Namun sebaliknya terjadi
kegiatan yang amat dahsyat.

Setakat coretan ini dibuat, aku masih lagi bujang. Cuma aku ingin
menyelami perasaan kedua ibu bapa remaja terbabit jika kita berada di
tempat mereka. Perasaan seorang ibu yang mengandungkannya selama
sembilan bulan. Perasaan seorang ayah yang membanting tulang mencari
rezeki untuk menyara keluarga. Ya Allah, aku tak dapat gambarkan
betapa luluhnya hati mereka di saat mengetahuinya. Sekarang bukan
masa untuk menuding jari menyalahkan ibu bapa yang kurang memberi
didikan agama atau pun menyalahkan pihak lain. Sebaliknya individu
tersebutlah yang akan menentukan setiap keputusan yang dibuatnya. Di
samping persekitaran yang akan mempengaruhi keputusan tersebut. Kita
biasa mendengar orang berkata, kalau berkawan dengan tukang besi,
bahang dan busuk tentu akan dirasai. Kalau berkawan dengan penjual
minyak wangi, tentu haruman itu akan melekat jua.

Ada orang yang lahir dari keluarga yang alim, diberikan didikan agama
yang secukupnya samada secara formal atau tidak, dibesarkan dengan roh
jemaah Islamiah, menghafal al-Quran, menjadi pimpinan masyarakat,
menganggotai gerakan dakwah di kalangan NGO atau pun parti politik dan
pelbagai lagi aktiviti harian yang baik dan banyak lagi untuk
disenaraikan. Pendek kata orang baik dan alimlah. Namun, di sisi
gelap kehidupannya dia tewas. Apa yang akan terjadi jika ianya
diketahui masyarakat? Pengikutnya? Rakannya? Keluarganya? Paling
penting kedua ibu bapanya? Yang pasti Allah sememangnya tahu.

Kumpulan Nasyid Raihan pernah berpesan, iman tak dapat diwarisi
mahupun dijual beli. Kisah murtadnya Aisyah Bukhari masih segar dalam
ingatan umat Islam negara ini. Beliau berpendidikan agama, menghafal
surah Yasin dan Sajadah, didedahkan dengan gerakan Islam ketika di
kampus. Namun ketika ayahnya sedang mengimamkan solat tarawih, dia
dimurtadkan. Begitulah jadinya dengan anak isteri nabi Nuh yang
mengingkari perintah Allah dan akhirnya lemas ditenggelam air.

Persoalan yang harus kita fikirkan ialah sanggupkan kita melihat anak
seorang alim hanyut dalam dosa? Atau pun sanggupkah kita mencemarkan maruah keluarga disebabkan nafsu kita? Kita merancang, Allah merancang, tapi ketahuilah sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang sebaik-baiknya.

Entry aku kali ini agak panjang. Diharapkan agar kalian semua beroleh
sedikit iktibar yang boleh kita amal dan sampaikan untuk kemaslahatan
diri, keluarga dan masyarakat. Diri aku ini tidaklah lari dari
kesilapan dan diharapkan coretan ini dapat membetulkan diriku jua.
Wassalam....

--
Sent from my mobile device

Thursday, September 22, 2011

Seks Remaja


Kondom dalam beg sekolah anak
HULU SELANGOR: Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.
Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.
Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.
Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.  “Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.
“Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan.
Sumber: Harian Metro (22/09/2011)

Wahai remaja, anda adalah pewaris bangsa dan agama. Ketahuilah keseronokan dunia hanya sementara.  Kehidupan di akhirat kekal abadi.  Setiap yang muda pasti akan tua.  Itu adalah sunnatullah.  Cuba bayangkan jika anda berada di tempat ibu atau bapa budak tu.  Apa perasaan anda di kala menjumpai kondom dalam beg sekolah anak anda?  Tambah pula jika anda tahu bahawa anak anda telah berzina?  Siapa yang patut dipersalahkan?  Padahal ketika muda, anda sendiri pernah melakukannya.  Nauzubillah.....

Ya Allah Ya Rabbuljalil, jauhkanlah aku dari lemas dalam keseronokan dunia. Hindarilah aku, keluargaku, saudaraku serta umat Islam keseluruhannya dari leka mengingatimu, cintakan dunia, takutkan mati. Sesungguhnya aku berpesan kepada para pembaca sekalian serta diriku sendiri juga.

Wassalam.....

Friday, September 09, 2011

Wahai Jiwa Yang Tenang

Wahai jiwa yang tenang, ketahuilah oleh mu bahawa Allah itu maha berkuasa. Allah itu maha penyayang. Allah masih memberikanmu peluang.

Tika engkau resah, gelisah, khuatir atas keputusan itu, Dialah tempat engkau bergantung harap. Doa dipanjatkan setinggi gunung dan seluas lautan sebagai pengharapan agar keputusan itu tidak akan menjadi bebanan ataupun hukuman kelak.

Ketika itu engkau dibebani dengan pelbagai ranjau berduri. Kawan-kawanmu sudah tak kelihatan. Kekasihmu sudah pergi jauh. Orang yang kau sayang juga mula menjauhimu. Tidak kurang mereka yang terpaksa meninggalkanmu. Saat itu engkau tidak ada tempat untuk mengadu nasib.



Engkau mula berdoa, "Ya Allah...hanya kepada Mu sahaja tempat aku berharap. Aku tidak ada tempat lain lagi yang boleh aku bergantung. Ampunilah segala dosaku. Aku menyesal atas segala kemungkaran yang telah aku lakukan. Berikanlah aku peluang."

Kini, Allah telah memperkenankan permintaanmu. Keputusan itu telah pun engkau peroleh. Engkau pun mula tersenyum lebar. Segala resahmu telah hilang. Orang yang disayangi telah kembali.

Wahai jiwa yang tenang, aku amat berharap agar engkau tidak akan melupai segala janjimu. Janganlah engkau alpa dan lupa diri atas kurniaan Allah itu. Jangan jadikan keputusan itu sebagai tiket untuk engkau mengulangi kesilapan lampau. Sebaliknya jadikanlah ia iktibar untuk hari mendatang.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, September 08, 2011

Mentari Pagi

Tika saat berlabuhnya tirai malam, umat manusia masih diulit mimpi.  Ada yang indah, tidak kurang yang sedih.  Ada juga yang telah bangun mengadap Allah dengan ibadah qiamullail.  Ada juga yang masih leka melayan mainan tidur.  Sang mentari akan mula menyinari alam ini dengan cahayanya.

Begitulah ibaratnya kehidupan kita.  Kadang-kadang kita terlalu asyik dan leka dengan keseronokan dunia.  Kita lupa bahawa ianya hanya sementara.  Kerana malam pasti akan menjelma.

Ada juga mereka yang sedar akan hakikat itu.  Lalu mereka cuba untuk bersiap sedia menunggu kedatangan malam.  Suis dihidupkan.  Maka sinar cahaya memancar dari lampu itu.  Pasti malam ini cahayanya akan menyinari kegelapan malam. 

Ada juga yang bersiap sedia dengan menyalakan lilin atau pelita.  Namun tika cahaya mula menyinari segenap ruang rumah, tiba-tiba angin bertiup kencang lalu memadamkan cahaya itu tadi. 

Arghhh......aku tertewas lagi, bentaknya.

Wednesday, September 07, 2011

Ramadhan Itu


 Aku masih ingat akan petang itu. Kedai itu. Iftar itu. Masjid itu. Terawih itu. Malam itu. Sahur itu. Ramadhan itu. Semuanya berlaku tanpa dirancang.

Masa beredar begitu pantas. Dari saat ke minit. Minit ke jam. Jam ke hari. Hari ke minggu. Minggu ke bulan. Nah.... Syawal kini menjelma lagi.

Tapi aku masih inginkan Ramadhan itu. Biar pun ia telah pergi meninggalkan ku. Namun, apa yang pasti ia akan muncul kembali pada tahun hadapan. Persoalannya, adakah sama lagi Ramadhan itu?

Syawal yang dirayakan hampir ke pertengahannya. Aku masih belum mula berpuasa enam. Bukan malas. Bukan tak nak bepuasa. Tapi aku masih ingat akan janji itu. Mungkirkah aku kalau berpuasa sekarang? Entahlah.....

Api itu panas. Air itu basah. Ku sangka panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengahari. Mungkinkah pelangi akan muncul selepas ini?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, September 06, 2011

Wahai Hati


Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa Hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu.

Hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu.

Maka, eratkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antaranya. Tunjukkanlah kepada Hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu.

Hidup suburkanlah Hati ini dengan ma'rifat tentang Mu. Jika Engkau takdirkan mati, maka matikanlah pemilik Hati ini sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu.


Justeru, janganlah Engkau biarkan Hati ini bersedih atas pemergiannya. Tabahkanlah pemiliknya untuk menempuh hari-hari mendatang. Sesungguhnya Engkau maha mengetahui sesuatu daripada yang lain.

Wahai Hati.....janganlah engkau bersedih.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, August 30, 2011

Pagi 1 Syawal 1432H

Ketika ini umat Islam sedang berada di masjid dan surau untuk sama-sama menunaikan satu fardu kifayah iaitu solat sunat hari raya aidilfitri.  Begitu juga aku.  Aku kini sedang berada di Masjid al-Khairiah, Kg Air Ganda Temenggor.  Namun posting ini telah aku jadualkan pada jam 9.00 pagi 1 Syawal.




Marilah sama-sama kita renungi kata-kata berikut:

"Kadang kita meminta pada Allah setangkai bunga yg indah, tapi Allah SWT berikan kaktus berduri,Kita meminta kupu-kupu, tapi diberikan ulat. Kita pun sedih, kecewa bahkan marah!! Namun kemudian kaktus itu berbunga yg indah sekali & ulat itu pun menjadi kupu-kupu yg cantik. Itulah jalan ALLAH SWT, indah pada waktu-Nya! Allah tidak memberi apa yg kita harapkan, tapi ALLAH SWT memberikan apa yg kita perlukan."
Akhir kalam, renung-renungkan dan mari kita ziarah menziarahi saudara mara dan sahabat taulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...