Sunday, February 02, 2014

Ayam Jatuh Sakit

Pada suatu ketika, ayam jatuh sakit.  Sakit tersebut pada permulaannya dianggap normal kerana semua haiwan pasti demam juga.  Hari demi hari, demam tersebut masih tidak sembuh.  Hal ini amat merunsingkan fikirannya.  Lalu diadukannya kepada kucing.  Kucing menyarankan agar ayam pergi ke klinik agar pemeriksaan lanjut boleh dibuat.  Tambahan pula di kala itu haiwan-haiwan lain juga ramai yang demam.

Setelah itu, ayam pergi mendapatkan rawatan di klinik.  Doktor menyatakan bahawa ayam demam.  Namun ujian darah perlu dijalankan untuk mengetahui jenis demam tersebut.  Keesokannya, keputusan ujian tersebut telah keluar.  Doktor memberitahu bahawa ayam demam disebabkan oleh serangan kutu.  Ayam tersentak apabila mendengar penjelasan doktor itu.  Semua haiwan amat takut akan serangan kutu.  Sekali dijangkiti kutu maka selamanya kutu tersebut akan bersarang padanya.  Mereka yang dijangkiti kutu akan disisihkan kerana dikhuatiri akan menjangkiti haiwan lain.

Ayam pulang dengan sedih dan menyesal.  Jangkitan ini mungkin kerana dahulunya beliau sering bermain di kawasan kubang babi.  Mana tak nya, di kawasan itu terdapat banyak cacing.  Keseronokan ayam menangkap cacing sebenarnya merupakan mimpi ngeri buatnya kerana kawasan tersebut dihuni juga oleh kutu.  Kucing tahu bahawa ayam suka ke kawasan tersebut.  Maka dinasihatkannya supaya ayam jangan ke sana lagi.  Kucing amat khuatir ayam akan dijangkiti kutu.  Ayam patuh.  Namun, nafsu makannya amat kuat.  Dalam diam ayam tetap ke kawasan tersebut.  Dalam kelekaan tersebut, ayam telah dijangkiti kutu.  

Pada malam itu, ayam tidak berhenti-henti menangis.  Dia tidak mampu untuk tidur.  Dunianya seakan musnah.  Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapi kehidupan mendatang dengan kutu yang mula bersarang.  Mungkinkah keluarga akan menyisihkan dia?  Pelbagai persoalan berlegar di fikirannya.  Pencilkan diri, pindah ke tempat yang jauh atau lebih baik bunuh diri?  Kepada siapa boleh aku mengadu?  Lalu ayam terus menghubungi kucing.  Disusunnya ayat satu persatu untuk memberitahu kucing tentang kutu tersebut.  Ayam risau kucing juga akan menyisihkannya.  Tetapi sangkaannya meleset.  Kucing mendengar rintihan ayam dengan penuh kasih sayang agar sekurang-kurangnya ia dapat melegakan kesakitan yang dialami oleh ayam.  Kucing menasihatkan ayam agar terus berjumpa dengan doktor pakar kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya. 

Beberapa hari kemudian, ayam dan kucing telah berjumpa doktor pakar.  Doktor tersebut telah mengesahkan bahawa sememangnya ayam telah dijangkiti kutu tahap yang serius.  Di mana kutu tersebut telah menghisap darah ayam sedikit demi sedikit.  Kebiasaannya pada tahap ini, pesakit sebenarnya telah lama dijangkiti oleh kutu tersebut.  Begitulah kata doktor.  Doktor menyarankan agar ayam perlu mulakan rawatan intensif dengan segera.  Dikhuatiri kuman yang ada pada kutu tersebut akan mencemari darah ayam.  Kucing menasihati ayam agar menurut sahaja nasihat doktor tersebut kerana beliau lebih arif.  Ayam bersetuju. 

Ayam sangat terharu dengan respon yang kucing berikan.  Dia menyangka kucing akan menjauhkan diri daripadanya kerana takutkan kutu.  Tapi, kucinglah yang telah memberikan kata-kata semangat kepadanya.  Terima kasih kucing.  Di saat aku memerlukan tempat untuk mengadu, kau sering ada. Cetus hati ayam terhadap kucing. 


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...