Saturday, February 01, 2014

Kisah Ayam, Kucing dan Kuda

Dikisahkan terdapat seekor ayam yang hidup aman damai bersama rakan-rakannya.  Ayam tinggal bersama rakannya kuda.  Mereka berkongsi kandang yang sama.  Ayam juga mempunyai teman rapat dan akrab iaitu kucing.  Namun mereka tidak tinggal bersama kerana kucing tinggal di rumah lain.

Ayam dan kucing sangat akrab.  Kucinglah tempat ayam mengadu masalah dan meminta nasihat.  Kucing lebih berusia daripada ayam.  Lantaran itu kucing sering memberi pandangan dan nasihat jika ayam ada masalah.  Kucing juga merupakan teman rapat kepada ayam.  Sehinggakan mereka pernah berjanji untuk tidak akan berpisah.  Mereka juga seperti adik-beradik.

Kuda merupakan rakan yang rapat dengan ayam.  Ini disebabkan mereka tinggal dalam kandang yang sama.  Kuda sangat rajin.  Beliau sering membersihkan kandang, mencuci pakaian termasuklah pakaian ayam.  Ayam sangat gembira.  Masakan tidak, sebahagian dari tugas hariannya dibereskan kuda.

Ketiga-tiga mereka mempunyai hobi yang sama.  Mereka sukakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan bukit.  Mereka sering mendaki jika ada kelapangan.  Di samping itu juga, ayam gemar melancong.  Ayam sering mengajak kucing bersama-sama dengannya pergi melancong.  Namun, sebagai rakan karibnya, kucing amat teliti dalam merancang kewangan ayam.  Kucing akan menasihatkan ayam supaya tidak terlalu mengikutkan minatnya.  Ini kerana ayam merupakan tunjang keluarganya.  Ayam juga amat menyayangi keluarganya.  Setiap bulan apabila menerima gaji, beliau akan memberikan sebahagian wang tersebut kepada keluarganya.  Atas sebab itu jugalah ayam sering melupakan hasratnya untuk melancong serta membeli keperluan peribadinya semata-mata untuk mendahulukan keluarganya.

Langit tidak selalu cerah.  Pengorbanan ayam kadang-kadang tidak dipandang oleh keluarganya.  Ayam sangat kecewa.  Ayam akan mengadu dengan kucing.  Kucing akan menasihatkan ayam agar bersabar kerana itu merupakan satu dugaan.  Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Setiap minggu ayam akan meminta kucing untuk menghantar wang belanja kepada ayahnya.  Ini kerana kucing menggunakan bank yang sama dengan ayah ayam.  Kadang-kadang ayam akan meminta kucing memasukkan yang lebih kepada ayahnya jika berasa tidak sedap hati.  Gerak hati ayam terhadap keluarganya selalunya tepat.  Jika ayam tidak berduit, maka kucinglah yang akan mendahulukan duitnya.  Begitulah betapa sayangnya ayam kepada keluarganya.

Ayam dan kucing tidak berahsia.  Segala permasalahan akan diceritakannya.  Ini lah yang menyebabkan mereka lebih akrab.  Segala permasalahan akan cuba sedaya upaya diselesaikan bersama.  Mereka umpama adik beradik walaupun hakikatnya tidak kerana ayam tetap ayam dan kucing tetap kucing.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...