Friday, October 14, 2011

Isu Arak Di Malaysia: Mungkinkah Ada Penyelesaian?

Seingat saya penggunaan arak di kalangan orang Islam di Malaysia sudah lama berlaku. Ia selalunya berlaku di kalangan pengunjung kelab malam atau hotel. Arak dihidangkan bagai air dan orang Islam tanpa segan silu meminumnya. Sejak akhir-akhir ini ramai remaja Islam pula kelihatan mendapatkan tin mengandungi arak dan minum bersama kawan-kawan. Antara sebabnya ia mudah didapati di kebanyakan kedai sehingga sesiapa saja boleh membelinya.


Sebagai orang Islam tentunya mereka tahu bahawa arak itu adalah haram. Kita telah diajar tentang perkara itu sejak dari zaman sekolah lagi. Namun timbul persoalan mengapa masih ramai lagi orang Islam yang meminum arak? Juga mengapa begitu mudah mendapatkan arak di kedai-kedai?

Satu penyelidikan yang dijalankan di Britain baru-baru ini mendapati kesan arak adalah lebih teruk lagi kepada individu dan masyarakat berbanding dengan dadah heroin. Ini kerana ia digunakan secara meluas dan mempunyai kesan yang buruk bukan saja terhadap peminumnya tetapi juga mereka yang di sekeliling.

Bila diminum berlebihan, arak atau alkohol akan merosakkan hampir kesemua organ badan. Alkohol juga merupakan antara penyebab kadar kematian dan jenayah terus meningkat.

Justeru, kesan arak atau alkohol adalah lebih dahsyat dari dadah. Maka sepatutnya kawalan dan undang-undang yang lebih ketat lagi harus diadakan. Sebagai sebuah negara Islam kita sepatutnya merasa malu dan jijik apabila melihat penjualan arak di merata-rata.

Di antara alasan orang Islam yang minum arak adalah mereka hanya sekadar merasa atau mengambilnya sedikit sahaja; tidak sampai memabukkan. Ada yang memberi alasan mereka hanya menghidangkan arak, bukan meminumnya. Ada yang memberi alasan mereka sekadar kerja membancuh minuman bercampur arak di kelab, bukan meminumnya. Kita juga berasa sedih melihat orang Islam yang bekerja di kilang-kilang arak.

Tidakkah mereka ini sedar hukum berkenaan arak? Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily pengharaman arak atau seumpamanya bukan sekadar meminumnya atau mengambilnya bahkan termasuk memilikinya atas apa juga alasan, menjual, membeli, menghadiahkan dan sebagainya adalah tertakluk dalam hukum yang sama.


Di Malaysia pemberian lesen penjualan arak adalah di bawah seksyen 35 Akta Eksais 1976 oleh Lembaga Pelesenan. Seksyen 35 Akta ini memberikan kuasa kepada Lembaga Pelesenan untuk mengeluarkan lesen penjualan arak di rumah awam(public house), rumah bir(beer house), kedai jualan runcit(retail shop) dan lesen pemborong(wholesale dealer).

Lesen yang diberikan adalah untuk perniagaan memborong dan menjual arak yang memabukkan yang mengandungi lebih daripada dua peratus alkohol. Ini bermakna bahawa sebarang minuman yang mengandungi kurang dua peratus(2%) alkohol tidak memerlukan lesen daripada Lembaga Pelesenan.

Bandingkan ini dengan undang-undang berkaitan alkohol di negara barat. Norway contohnya, mempunyai undang-undang yang sangat ketat di Eropah. Undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman yang berat iaitu penjara terhadap pemandu yang meminum alkohol. Tahap maksimum kandungan alkohol dalam darah adalah 0.02%.

Di negara Islam contohnya Saudi Arabia, melarang sepenuhnya pembuatan, impot atau pengambilan alkohol dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut. Hukuman termasuk penjara dan sebatan.

Di Qatar, undang-undangnya sama dengan Arab Saudi tetapi hukuman untuk kesalahan yang berkaitan alkohol adalah penjara dan kemungkinan didiportasi. Walau bagaimanapun, alkohol boleh diperolehi di hotel dan bar yang mempunyai lesen menjual alkohol. Pekerja asing yang bukan beragama Islam perlu mendapat permit untuk membeli alkohol.

Kelihatan undang-undang di negara lain lebih ketat berbanding negara kita. Mungkin tiba masanya perkara ini dinilai semula dengan adanya undang-undang yang lebih ketat berkaitan arak agar sesuai dengan imej sebagai sebuah negara Islam.

Selain daripada itu, terdapat juga undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa di dalam kawasan pentadbiran masing-masing yang memberikan lesen kepada pengusaha perniagaan. Bagi orang Islam pula, terdapat Enakmen Jenayah Syariah Negeri. Timbul persoalan sejauh mana enakmen tersebut berkesan menangani gejala arak, bukan hanya setakat menangkap mereka yang bersalah tetapi juga menasihati mereka.

Justeru semua pihak harus bekerjasama dan memain peranan menangani isu ini. Sehubungan dengan itu, IKIM akan mengadakan Persidangan Meja Bulat “Arak dan Pencegahannya: Pengalaman Agensi-agensi Berkaitan” pada 24 Februari ini dengan harapan agensi-agensi terlibat dapat menyumbang ke arah usaha untuk membanteras arak di kalangan umat Islam; sekaligus mendatangkan kemakmuran kepada negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...