Monday, October 10, 2011

Kahwin Lewat: Reaksi dan Realiti


Bukan sekali kita mendengar kekhuatiran pihak kerajaan berhubung dengan permasalahan institusi kekeluargaan yang semakin membimbangkan. Ini termasuklah mengenai tren memilih untuk berkahwin lewat semakin meningkat terutama bagi wanita. Tidak dinafikan wanita adalah pusat bagi sesebuah keluarga dengan tanggungjawab mulia melahirkan zuriat maka apabila keadaan ini berterusan maka kekhuatiran itu tidak hanya berlaku diperingkat keluarga malah diangkat secara makro oleh pihak kerajaan.

Kita mengetahui bahawa pembangunan negara perlu diiringi dengan jumlah populasi yang baik dan seimbang dan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi dan prasarana semata-mata. Sekiranya berlaku salah satu pihak bertindak untuk mengurangkan populasi sama ada secara sedar ataupun tidak, maka agenda pembangunan negara barangkali tidak dapat dicapai sepenuhnya. Selain dari itu, masalah sosial juga dikhuatiri akan meningkat dan membimbangkan kerana institusi perkahwinan dan kekeluargaan tidak lagi dipercayai.

Mengambil contoh yang paling dekat iaitu Singapura, walaupun jumlah populasinya semakin meningkat tetapi kadar kelahiran kasar bagi negara itu telah menurun dari 13.7 (per 1000 orang penduduk) pada tahun 2000 kepada kadar 9.9 pada tahun 2009. Selain itu, Singapura mencatatkan nisbah 1000 wanita bersamaan dengan 976 lelaki bagi tahun 2009. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna lebih ramai wanita di Singapura tidak berkahwin kerana data pada tahun yang sama menunjukkan kadar 19.4% penduduk lelaki yang menetap di republik itu yang berusia 35 hingga 39 tahun yang masih bujang berbanding wanita pada julat usia yang sama iaitu sebanyak 15.6%.

Berbanding dengan Malaysia, nisbah jantina bagi tahun 2009 mencatatkan 103 lelaki bagi 100 wanita. Manakala munurut laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menyatakan penduduk lelaki melebihi penduduk wanita dengan nisbah 105:100. Sungguhpun demikian, peratusan wanita berusia 25 hingga 29 tahun yang masih bujang dikatakan lebih tinggi berbanding lelaki yang berumur di antara 30 hingga 34 tahun.

Kenyataan tersebut sama sekali tidak menunjukkan jumlah wanita bujang adalah lebih tinggi daripada lelaki. Sebaliknya, data tersebut membantu kita membuat anggapan bahawa wanita kini lebih selesa untuk berkahwin pada usia 30 tahun dan ke atas atau dengan erti kata lain, cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat. Selain itu juga, kita boleh membuat andaian bahawa kadar kelahiran kasar pada masa akan datang berkemungkinan semakin menurun disebabkan faktor umur wanita yang lewat melahirkan anak. Apabila ini berlaku, populasi negara dikhuatiri bakal mengalami pertumbuhan yang perlahan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.


Antara sebab yang dinyatakan sebagai punca wanita hari ini cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat adalah disebabkan oleh faktor pendidikan. Kesedaran ibu bapa pada hari ini yang beranggapan bahawa pendidikan kepada anak-anak baik lelaki dan perempuan sama penting menyebabkan mereka memastikan wanita mendapat pendidikan sebaik lelaki berbanding dengan gaya pemikiran tradisional dahulu. Semestinya pendidikan yang baik menghasilkan modal insan yang berkualiti termasuklah wanita yang kini menjawat jawatan yang lebih baik berbanding dahulu.

Hakikatnya, kesedaran mengenai kepentingan pendidikan pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh gaya hidup yang semakin berubah. Adalah sukar bagi sesebuah keluarga untuk bergantung hanya kepada satu punca pendapatan sahaja disebabkan faktor kelangsungan hidup manusia. Zaman ini kita telah dihimpit oleh desakan kemahuan material yang semakin meningkat dan sedikiti sebanyak mengikis nilai-nilai murni dan tanggungjawab sebagai seorang manusia.

Para pelajar yang mendalami ekonomi pasti mendengar istilah "tiada makan tengah hari percuma" yang membayangkan kepada kita bahawa hampir semua kegiatan dan keperluan hendaklah dibayar dengan balasan tertentu. Hakikatnya, persaingan yang tidak adil juga kebergantungan kepada pihak lain menyukarkan kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih berdikari dan tidak bergantung kepada pemikiran kapitalis yang berorentasikan keuntungan maksimum dan kepentingan sendiri.

Apabila faktor material menjadi keutamaan, maka ramai manusia tidak mempunyai pilihan selain daripada berterus-terusan berusaha meningkatkan kepanjangan faktor kelangsungan hidup mereka dan akhirnya meninggalkan fitrah menjadi seorang manusia itu sendiri. Maka timbullah pelbagai masalah lain seperti bersekedudukan, lewat berkahwin atau sama sekali tidak berkahwin kerana merasakan bahawa institusi perkahwinan itu tidak memberi kepuasan dan tidak dapat menjamin kelangsungan hidup mereka.

Inilah yang menjadi kegusaran ramai pihak sekiranya lebih ramai individu memilih untuk bujang akibat hilang kepercayaan kepada institusi keluarga. Menimbulkan kesedaran untuk membina perkahwinan di kalangan penduduk tidak boleh hanya mengetengahkan perihal keburukan tidak berkahwin dan siapa yang paling berkuasa dalam keluarga semata-mata kerana hakikatnya perkahwinan itu menenangkan jiwa manusia dan memberi kebahagiaan dan pencapaian dalam hidup sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Rum ayat 21 yang memberi maksud bahawa diciptakan manusia itu berpasangan (dalam perkahwinan) agar hidup bahagia dan mempunyai perasaan saling berkasih sayang dan belas kasihan dan hal ini menimbulkan kesedaran bagi mereka yang menilainya.

Sifat lebih gemar berdikari dan bijak membuat keputusan sendiri disebabkan pendidikan yang dimiliki boleh diandainya penyebab kepada kecenderungan individu untuk tidak lagi mempercayai institusi kekeluargaan. Maka menunding jari kepada mana-mana pihak bukanlah satu penyelesaian yang bijak sebagaimana ketidakwajaran kita menyalahkan pendidikan sebagai puncanya. Sebaliknya golongan ini perlu disedarkan bahawa perkahwinan sama sekali tidak menyekat keinginan, hobi selagi mana ia berlandaskan kepada syariah dan tidak berlaku pengabaian tanggungjawab. Kita juga perlu wujudkan persefahaman bahawa perkahwinan itu adalah perkongsian dan bukan pendominasian ke atas mana-mana pihak kerana Islam sama sekali tidak pernah menzalimi penganutnya. Sebailknya, perkahwinan menggariskan peraturan dan tanggungjawab yang berbeza kepada kedua-dua pihak agar semuanya mencapai kebahagiaan sebagaimana tujuan prosedur dan garis panduan lain yang selama ini dapat kita patuhi dengan baik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...