Thursday, October 06, 2011

Sihat Sebelum Sakit

Seorang sahabat, Abu Darda' bertanya: "Ya Rasulullah, apabila saya sembuh daripada penyakit dan bersyukur kerananya, apakah itu lebih baik daripada saya sakit dan menanggung kesabaran? Rasulullah menjawab, "Rasul mencintai kesihatan sama seperti engkau menyenanginya". Kesihatan itu terlalu bernilai. Memelihara kesihatan adalah penting berbanding merawat apabila sudah terkena penyakit. Falsafah yang disebut seantero dunia iaitu ‘mencegah lebih baik daripada mengubat' agak relevan dengan pegangan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Ia selari dengan pemeliharaan kesihatan yang dianjurkan dalam Islam. Namun, benarkah ia juga menjadi pegangan utama masyarakat Islam dalam dunia kesihatan pada hari ini?


Rasulullah SAW tidak mengajar ilmu perubatan kepada umatnya. Namun, dalam kehidupan dan perilaku seharian baginda jelas menunjukkan aspek gaya hidup sihat yang diamalkan. Dengan lebih jelas lagi, daripada sunnah baginda, kita dapat belajar bagaimana untuk menguruskan kehidupan bagi memelihara kesihatan bahkan meningkatkan status kesihatan kita. Bukannya bagi mempelajari penyembuhan penyakit ataupun perubatan. Secara tuntasnya, Rasulullah SAW ternyata bukan seorang doktor walaupun terdapat beberapa kaedah perubatan yang dinamakan perubatan cara Nabi. Namun, kaedah dan amalannya adalah lebih bersifat pencegahan berbanding dengan penyembuhan.

Kita mempelajari soal memelihara kesihatan daripada Rasulullah SAW dan bukannya mempelajari ilmu perubatan dalam konteks teknik-teknik perubatan. Anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya supaya menjaga kesihatan dan mencegah perkara-perkara yang mampu mendatangkan penyakit kepada badan dan jiwa. Ini kerana, dengan perkembangan teknologi perubatan terkini dan pelbagai penyakit degeneratif berlaku pada masa kini, berkemungkinan tidak pernah wujud dan berkembang pada zaman Rasulullah SAW. Jadi, ia terpulang kepada kita cara bagaimana untuk mengurus dan mengubatinya. Sabda Nabi SAW: "Kamu lebih mengerti urusan duniamu". Ini bermakna, terdapat dalam hal-hal tertentu kita mempunyai pilihan dalam mengendalikan kehidupan. Namun, apa yang penting di sini ialah konsep pemeliharaan kesihatan yang dipamerkan oleh Nabi SAW seharusnya dijadikan teladan sepanjang zaman. Dan intipatinya adalah bersifat pencegahan bukannya pengubatan.


Cuba kita lihat apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini? Apabila sakit menjelma, baru kita tercari-cari ubatnya. Kita baru mengerti apa makna kesihatan, dan mencuba untuk mengawal penyakit tersebut. Walhal, ubatnya adalah sebelum kita mendapat penyakit lagi. Benarlah ungkapan, "kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, seperti mahkota yang berada di atas kepala orang yang sihat, dan hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit."

Dalam dunia kesihatan, pilihan gaya hidup akan menentukan ke mana umat manusia akan melangkah. Aspek ini berperanan dalam menentukan status kesihatan berbanding dengan perkembangan teknologi perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di antara ciri-ciri negara maju terletak kepada fungsi hospitalnya. Hospital yang lebih berorientasikan kepada pencegahan dan promosi kesihatan. Sejurus merenung apa yang berlaku dalam negara kita di mana hospital atau klinik lebih menfokuskan kepada penyembuhan penyakit bukannya pencegahan penyakit. Aktiviti promosi kesihatan hanyalah picisan dalam dunia kesihatan. Ia jelas nampak ketidakseimbangan berlaku antara program promosi pemeliharaan kesihatan dan mengubati pesakit. Kelompongan inilah menyebabkan masyarakat kita tidak dididik dan diperkasakan dengan maklumat untuk memilih aktiviti dan cara hidup berkesan untuk menjaga kesihatan agar tidak mudah mendapat penyakit.

Dalam perspektif fiqh, pemeliharaan kesihatan diri adalah fardhu ain bagi setiap orang. Tubuh badan menjadi amanah yang perlu dijaga dan dipertanggungjawabkan. Jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik, mana mungkin kita dapat menjalankan aktiviti harian yang akhirnya menyumbang pengabdian kepada Allah SWT. Bagaimanapun, kita tidak dapat menyangkal bahawa sakit itu merupakan ujian daripada Allah, namun ia boleh dielak dan dihindari. Maka, bukankah amalan kesihatan seperti mana sunnah Rasulullah SAW mampu menjadi jalan kepada kita menikmati kesihatan berterusan?

Perlu juga disedari bahawa lebih mudah kita mencegah penyakit berbanding kita mengubatinya. Apatah lagi jika penyakit itu bertambah kronik. Begitu juga lebih mudah jika mengubati penyakit itu sekarang daripada membiarkannya berlarutan dan semakin parah. Tambahan pula, kos perubatan pada masa kini terlalu tinggi. Maka semakin mahallah nilai kesihatan itu walaupun ia tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Oleh itu, manusia yang bijak dan peka dengan persoalan sebegini, perlu sedar dan mengubahnya . Ia perlu diperbaiki pada saat ini juga dan tidak boleh ditunda serta ditangguh. Betapa ironinya, apabila ada sesetengah orang yang sanggup mengorbankan kesihatan dan hidup dalam tekanan, semata-mata memburu kekayaan dunia. Akhirnya, meninggal dunia pada usia muda akibat tekanan hidup, persaingan dan juga pekerjaan.


Sebagai jalan yang mudah dan mengambil intipati pengajaran Rasulullah SAW, maka kita perlu mengubah kebiasaan yang diamalkan sambil melakukan amalan-amalan yang baharu sejajar dengan sunnah secara bertahap. Barangkali terlalu banyak amalan kebiasaan yang salah masih kita amalkan dalam kehidupan ini yang akhirnya meruntuhkan nikmat kesihatan yang kita miliki secara beransur-ansur. Umpamanya, tabiat merokok dan amalan pemakanan yang tidak seimbang. Begitu juga kemalasan yang sentiasa bersarang di dalam diri yang menjadi faktor risiko yang sama bahayanya dengan tekanan darah tinggi atau pun kolestrol dalam darah. Ia mampu merosakkan jantung kita. Kemalasan membuatkan fizikal kita kurang bergerak, otak menjadi tidak aktif dan akhirnya kita malas dalam mengubah gaya hidup salah yang kita jalani sekarang. Ia seolah-seolah merosakkan diri secara senyap.

Lebih baik lagi jika kita mampu mengenalpasti penyakit-penyakit yang seringkali berada dalam lingkungan keluarga. Ia adalah untuk menjangkakan kebarangkalian penyakit tersebut berpotensi untuk diwarisi dan jika berlaku sebarang ketidaksempurnaan, langkah-langkah sewajarnya untuk mencegah dan merawat harus kita tangani. Ini kerana genetik juga merupakan faktor risiko seseorang mendapat penyakit tertentu.

Oleh itu, mengenang amanat junjungan besar kita iaitu ‘ingat sihat sebelum datang sakit', manfaat kesihatan yang kita miliki pada hari ini perlu dijaga dan dipelihara. Kadangkala, sebagai manusia biasa, kita seringkali lupa akan kesihatan. Kesihatan adalah seperti matahari yang hadir dalam kehidupan kita pada setiap hari tetapi tidak disedari kemanfaatannya sehingga ia sudah tiada. Maka, jalanilah kehidupan kita pada hari ini dengan gaya hidup yang sihat, amalan pemakanan yang seimbang serta mengubah cara hidup yang salah dan sebati dalam kehidupan kita agar kesihatan itu terus terpelihara dan terjamin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...