Saturday, September 24, 2011

Alim Kucing

Simpulan bahasa ini sering kita dengar dan sering meniti bibir umat
Melayu. Sejak di bangku persekolahan lagi aku telah mempelajarinya.
Aku ada sebuah buku Himpunan Simpulan Bahasa yang sering menjadi
rujukan ketika itu. Mulanya aku tertanya-tanya kenapa kucing itu
dikatakan alim? Kemudian suatu hari barulah aku tahu jawapannya.
Ketika itu emakku sedang membersihkan ikan di dapur. Kucingku hanya
memerhatikan saja dengan matanya yang kuyu. Sebaik emakku berpaling,
dengan pantas kucing itu mencuri sisa ikan yang telah disiang.
Nah....baru aku tahu jawapanya.


Sebenarnya entry kali ni bukan nak bercerita tentang kucing. Tapi aku
nak bercerita tentang sisi gelap kehidupan seorang insan yang pada
mata kasar kelihatan sempurna, namun disebaliknya tidak. Aku nak
merujuk kembali entry sebelum ini tentang kondom yang dijumpai di
dalam beg sekolah remaja perempuan di Hulu Selangor. Bagaimana
terbongkar kegiatan seksnya dengan teman lelaki. Inilah apa yang aku
maksudkan dengan sisi gelap kehidupannya. Mungkin pada zahirnya dia
kelihatan amat baik di hadapan ibu bapanya. Namun sebaliknya terjadi
kegiatan yang amat dahsyat.

Setakat coretan ini dibuat, aku masih lagi bujang. Cuma aku ingin
menyelami perasaan kedua ibu bapa remaja terbabit jika kita berada di
tempat mereka. Perasaan seorang ibu yang mengandungkannya selama
sembilan bulan. Perasaan seorang ayah yang membanting tulang mencari
rezeki untuk menyara keluarga. Ya Allah, aku tak dapat gambarkan
betapa luluhnya hati mereka di saat mengetahuinya. Sekarang bukan
masa untuk menuding jari menyalahkan ibu bapa yang kurang memberi
didikan agama atau pun menyalahkan pihak lain. Sebaliknya individu
tersebutlah yang akan menentukan setiap keputusan yang dibuatnya. Di
samping persekitaran yang akan mempengaruhi keputusan tersebut. Kita
biasa mendengar orang berkata, kalau berkawan dengan tukang besi,
bahang dan busuk tentu akan dirasai. Kalau berkawan dengan penjual
minyak wangi, tentu haruman itu akan melekat jua.

Ada orang yang lahir dari keluarga yang alim, diberikan didikan agama
yang secukupnya samada secara formal atau tidak, dibesarkan dengan roh
jemaah Islamiah, menghafal al-Quran, menjadi pimpinan masyarakat,
menganggotai gerakan dakwah di kalangan NGO atau pun parti politik dan
pelbagai lagi aktiviti harian yang baik dan banyak lagi untuk
disenaraikan. Pendek kata orang baik dan alimlah. Namun, di sisi
gelap kehidupannya dia tewas. Apa yang akan terjadi jika ianya
diketahui masyarakat? Pengikutnya? Rakannya? Keluarganya? Paling
penting kedua ibu bapanya? Yang pasti Allah sememangnya tahu.

Kumpulan Nasyid Raihan pernah berpesan, iman tak dapat diwarisi
mahupun dijual beli. Kisah murtadnya Aisyah Bukhari masih segar dalam
ingatan umat Islam negara ini. Beliau berpendidikan agama, menghafal
surah Yasin dan Sajadah, didedahkan dengan gerakan Islam ketika di
kampus. Namun ketika ayahnya sedang mengimamkan solat tarawih, dia
dimurtadkan. Begitulah jadinya dengan anak isteri nabi Nuh yang
mengingkari perintah Allah dan akhirnya lemas ditenggelam air.

Persoalan yang harus kita fikirkan ialah sanggupkan kita melihat anak
seorang alim hanyut dalam dosa? Atau pun sanggupkah kita mencemarkan maruah keluarga disebabkan nafsu kita? Kita merancang, Allah merancang, tapi ketahuilah sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang sebaik-baiknya.

Entry aku kali ini agak panjang. Diharapkan agar kalian semua beroleh
sedikit iktibar yang boleh kita amal dan sampaikan untuk kemaslahatan
diri, keluarga dan masyarakat. Diri aku ini tidaklah lari dari
kesilapan dan diharapkan coretan ini dapat membetulkan diriku jua.
Wassalam....

--
Sent from my mobile device

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...